STRIM ‘SEMBILAN’ SECARA EKSKLUSIF DI APLIKASI ASTRO GO



Istimewa buat penonton Astro, sebuah drama bersiri eksklusif Astro GO, ‘SEMBILAN’ bakal menemui penggemar drama tanah air tidak lama lagi. ‘SEMBILAN’ yang bergenre seram thriller ini mempunyai 10 episod dan setiap satunya berdurasi satu jam. Lebih menarik, ia boleh distrim secara eksklusif di aplikasi Astro GO secara percuma mulai 6 Disember ini.

‘SEMBILAN’ mendapatkan khidmat sutradara berbakat besar, Razaisyam Rashid di posisi pengarah. Razaisyam yang juga merupakan pengarah filem ‘Pusaka’ terbitan Astro Shaw, turut menggalas tugas yang sama untuk karya-karya beliau sebelum ini seperti ‘CEO’, telefilem ‘Gadis Kosmos’, ‘Hamba Bilis’ dan banyak lagi. Hasil garapannya bukan sahaja menjadi perhatian peminat-peminat tempatan, malah turut mendapat pengiktirafan di anugerah-anugerah berprestij tanah air.

Drama bersiri arahan Razaisyam yang juga disiarkan Astro sebelum ini, ‘Mandatori’, telah melayakkan beliau dinobat sebagai ‘Pengarah Terbaik di Anugerah Telenovela 2018’. Pada tahun 2016, Razaisyam turut diumumkan sebagai ‘Pengarah Terbaik Anugerah Skrin 2016’ menerusi telefilem berjudul ‘Fatin’.

Kini sekali lagi, Razaisyam mempertaruhkan sebuah lagi air tangannya menerusi ‘SEMBILAN’.

Penggambaran yang berlangsung selama 74 hari telah diadakan di sekitar Kampung Orang Asli Kuala Boh (Cameron Highlands), Sungai Lembing (Pahang), Lembah Klang dan Studio Pinewood Iskandar di Johor Bahru. Hasil kerja Razaisyam kerap dipuji penggemar karya-karya tempatan khususnya.

Hasil garapan untuk setiap plot dan jalan penceritaan ‘SEMBILAN’ diolah dengan baik dan mampu membuat penonton kagum terutamanya menerusi hasil warna, pergerakkan kamera dan peralihan babak ke babak. ‘SEMBILAN’ sarat dengan babak-babak yang mendebarkan, aksi suspen dan ganas.


Namun begitu, pada masa yang sama turut diapit dengan pergolakan emosi, pengorbanan dan ikatan kekeluargaan. Mempertaruhkan nama-nama hebat industri dari kedua-dua buah negara, Malaysia dan Indonesia di sebalik ‘SEMBILAN’, drama bersiri premium ini menyaksikan Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh bertindak sebagai Penerbit Eksekutif. Ia turut mendapat sentuhan Yadi Sugandi sebagai Pengarah Sinematografi. Pak Yadi merupakan seorang pengarah sinematografi terkenal Indonesia yang sebelum ini telah melahirkan stail-stail visual cukup memukau untuk karya-karya seperti ‘Ada Apa Dengan Cinta 2’, ‘Laskar Pelangi’, ‘Sang Penari’, ‘Darah Garuda’ dan banyak lagi.

Dalam pada itu, ‘SEMBILAN’ turut mendapatkan khidmat Salman Aristo sebagai penulis skrip. Salman, satu nama yang cukup disegani di Indonesia merupakan penulis skrip untuk karya-karya pecah panggung seperti ‘Ayat-Ayat Cinta’, ‘Laskar Pelangi’, ‘Garuda di Dadaku’ dan ‘Sang Penari’. Pencapaian terkini Salman adalah di Festival Filem Indonesia 2016 yang mana beliau telah dinobatkan anugerah Penulis Lakon Layar Terbaik untuk filem ‘Athirah’.


‘SEMBILAN’ dibarisi pelakon-pelakon hebat gabungan dua buah negara; Malaysia dan Indonesia bagi menggerakkan setiap watak dalam jalan cerita. Nama-nama yang terlibat dari Malaysia adalah Beto Kusyairi, Amerul Affendi, Azhan Rani, Sara Ali dan Luqman Hafidz serta bintang Indonesia, Atiqah Hasiholan, Bima Azriel, Endhita Wibisono dan Roy Marten. Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad,

‘SEMBILAN’ adalah sebuah drama bersiri eksklusif yang menggabungkan bakat-bakat kreatif dari dua negara, dalam menjayakannya.

“Trend dan corak tontonan penonton pada hari ini telah berubah seiring dengan pembangunan teknologi yang kian pesat berlangsung di seluruh dunia. Penonton dilihat mempunyai lebih pilihan untuk mendapatkan kandungan kegemaran masing-masing secara atas talian dan menerusi aplikasi penstriman. Astro GO sebagai medium penstriman video menawarkan lebih dari 50,000 video On Demand yang boleh diakses pelanggan Astro pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada. Menyedari akan kehendak pelanggan yang sentiasa menginginkan kandungan original dan berkualiti tinggi, Astro GO buat julung kalinya menghasilkan sebuah kandungan premium dan eksklusif, khas untuk tontonan pelanggan. ‘SEMBILAN’ merupakan karya asal pertama dan merupakan drama bersiri Nusantara terbitan Astro yang boleh dinikmati di aplikasi Astro GO mulai 6 Disember ini, secara percuma.

Ini adalah permulaan yang baik buat Astro GO untuk terus menghasilkan karya-karya asli yang lebih hebat, unik dan menarik buat pelanggan Astro di masa-masa akan datang.


‘SEMBILAN’ mengisahkan tentang watak seorang pelacur bernama Rimbun (lakonan Atiqah Hasiholan) yang mempunyai reputasi buruk di kalangan penduduk Kampung Tanah Merah. Rimbun dikenali sebagai pelacur yang sanggup melayan sesiapa sahaja yang melanggannya. Rimbun kemudiannya hamil dan melahirkan seorang bayi lelaki bernama Taduh (lakonan Bima Azriel).

Namun begitu, Rimbun tidak mengetahui siapakah bapa kandung kepada Taduh. Sepanjang 9 tahun membesarkan Taduh, Rimbun sering mengabaikan dan melayan anaknya dengan kasar. Sehinggalah pada suatu hari, Taduh tiba-tiba hilang tanpa dikesan. Pada ketika saat itulah, Rimbun akhirnya menyedari yang Taduh adalah satu-satunya harta yang dia miliki dan tidak sanggup kehilangannya. Rimbun berusaha mencari Taduh dan sanggup merayu kepada penduduk kampung untuk membantu mencari Taduh.

Namun, usaha pencarian mereka menemui jalan buntu. Setelah 9 tahun berlalu sejak kehilangan misteri Taduh, Rimbun menyesali kehidupan ‘gelap’ zaman lampaunya dan sudah bertaubat ke jalan lurus. Rimbun juga sudah bertemu jodoh dan mendirikan rumah tangga dengan seorang peniaga bernama Azim (lakonan Beto Kusyairy).


Pasangan ini menjalani kehidupan serba sederhana dengan cukup bahagia. Rimbun juga dikurniakan rezeki untuk hamil sekali lagi dan mengharapkan agar bayi ini mampu mengubat kerinduannya kepada Taduh. Namun, misteri kehilangan Taduh yang belum terungkai tiba-tiba dikejutkan pula dengan kemunculan semula Taduh tetapi masih dalam keadaan usia 9 tahun sama seperti sewaktu kehilangannya dahulu.

Kepulangan Taduh mengundang pelbagai spekulasi daripada penduduk Kampung Tanah Merah. Adakah dia masih ‘Taduh’ ataupun cuma jelmaan?

Nantikan di Astro GO, 6 Disember ini. Untuk menonton menerusi aplikasi Astro GO, pengguna iPhone boleh memuat turun aplikasi menerusi AppStore dan pengguna Android menerusi Playstore. 

Comments

Popular Posts