BRITISH COUNCIL BERI PENGIKTIRAFAN KEPADA ALUMNI UK



British Council telah memberi pengiktirafan kepada beberapa alumni UK cemerlang kelahiran Malaysia atas sumbangan profesional dan pencapaian luar biasa mereka selaku peneraju perniagaan, usahawan dan pemimpin komuniti di Study UK Alumni Awards 2020. 

Dianjurkan buat kali ketiga di Malaysia, anugerah antarabangsa berprestij ini meraikan sistem pendidikan tinggi UK dan pencapaian-pencapaian alumni UK di Malaysia, seterusnya memperkukuh jalinan kerjasama antara UK dan Malaysia. Pada tahun 2019, anugerah tersebut menerima hampir 1,000 pencalonan daripada jaringan antarabangsa alumni UK terdiri daripada lebih 100 buah negara, mewakili lebih 120 institusi pendidikan tinggi di sekitar UK. 

Bagi Malaysia, tiga penerima anugerah telah terpilih daripada tujuh buah pencalonan berdasarkan kriteria-kriteria tersebut: impak, pengaruh UK, liputan media, potensi untuk mempengaruhi dan memberi inspirasi kepada generasi pelajar akan datang, dan juga kualiti pencalonan. Para penerima anugerah tersebut masing-masing telah terpilih bagi tiga buah kategori: Pencapaian Profesional, Keusahawanan, dan Impak Sosial. 

Oon Chern Ein telah dianugerahkan Anugerah Pencapaian Profesional, manakala Howe Wong dan Goh Ai Ching masing-masing telah menerima anugerah bagi kategori Impak Sosial dan Keusahawanan. 

Sarah Deverall, Pengarah Malaysia, British Council berkata, ‘Kami berasa bangga dengan tiga pemenang kami serta kesemua tujuh calon yang lain, atas kejayaan mereka memaksimakan pengalaman pendidikan UK dan memberi impak yang amat besar kepada komuniti mereka. Anugerah Alumni ini memberi ruang kepada kami untuk turut bersama meraikan individu-individu berkenaan, dan juga peranan pelajar-pelajar antarabangsa dalam membolehkan UK untuk menjadi salah satu destinasi pendidikan tinggi yang paling meraikan kepelbagaian, dinamik, dan memuaskan.’ 

Penerima-penerima anugerah tersebut mendedikasikan pencapaian mereka kepada pengalaman pendidikan UK mereka, dan mengakui bahawa ia sememangnya memberi inspirasi kepada mereka untuk berjaya dalam bidang masing-masing. 

Penerima Anugerah Impak Sosial, Howe Wong berkerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan untuk memberi manfaat kepada 30,000 penduduk di kawasan luar bandar Sarawak yang tidak mempunyai akses bekalan elektrik menerusi projek-projek penjanaan elektrik luar bandar beliau. Menerusi projek tersebut, komuniti-komuniti masyarakat yang terimpak kini mampu menikmati bekalan elektrik 24 jam sehari tanpa perlu lagi membayar kos penjana bahan api fosil yang tinggi. 

‘Pengalaman menimba ilmu di UK telah membolehkan saya untuk merealisasikan impian saya: membawa perubahan positif dan meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar di Sarawak. Sejak dari itu, saya menuruti minat saya dan ia telah membentuk diri saya hari ini. Saya sangat gembira dengan penganugerahan Anugerah Impak Sosial ini dan berterima kasih kepada British Council atas pengiktirafan ini,’ ujar Wong selepas menerima anugerah tersebut. 

Anugerah Keusahawanan, anugerah yang mengketengahkan alumni yang telah memainkan peranan penting dalam inovasi atau penyelesaian masalah secara kreatif telah dianugerahkan kepaa Goh Ai Ching, pengasas bersama Piktochart, sebuah wadah komunikasi visual yang menterjemahkan informasi ke dalam bentuk penceritaan visual. 

Ujar Goh, ‘Saya sangat berbangga dengan penganugerahan Anugerah Keusahawanan daripada British Council. Penubuhan Piktochart adalah sebuah pengalaman yang sangat menguji pada permulaannya, namun saya yakin bahawa kisah saya mampu memberi galakan kepada para belia bahawa pendedahan di peringkat antarabangsa mampu membentuk jati diri dan seterusnya menjadi insan yang berfikiran matang. Ia sememangnya mengkagumkan tentang bagaimana syarikat pemula saya di Pulau Pinang kita memiliki 18 juta pengguna di seluruh dunia. Saya sangat gembira dengan kejayaan saya mendatangkan sebuah pendekatan baharu tentang konsep kemajuan.’ 

Anugerah terakhir, iaitu Anugerah Pencapaian Profesional yang mengiktiraf alumni yang telah mempamerkan teladan kepimpinan dalam bidang professional mereka, telah dianugerahkan kepada Oon Chern Ein, yang kini sedang mengkaji penemuan penawar kanser menerusi usaha-usaha beliau dalam komunikasi sains dan pendidikan awam, di samping memberikan penekanan kepada komuniti-komuniti kurang berkemampuan. 

‘Anugerah Pencapaian Profesional ini bukan sahaja merupakan pengiktirafan kejayaan peribadi saya – ia juga merupakan sebuah pengiktirafan buat perkembangan kajian kanser di Malaysia, di mana ia akan mampu untuk menjadi dorongan besar buat para belia dalam bidang sains. Saya berharap agar anugerah ini mampu untuk menginspirasikan generasi akan dating untuk menjadi saintis yang beretika, dan juga menggalakkan lebih ramai wanita dan golongan kurang bernasib baik untuk berkecimpung dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dalam usaha untuk mempromosikan kecelikan sains di kawasan-kawasan yang kurang dibangunkan di sekitar tanah air dan seluruh dunia,’ ulas Oon. 

Tentang impak sistem pendidikan UK ke atas para pelajar, Sarah Deverall menambah, ‘Menerusi pengalaman pendidikan yang holistik, para pelajar yang melanjutkan pengajian di UK bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, bahkan juga lebih bersedia untuk menceburi bidang kerja dan lebih serba berkebolehan. Anugerah Alumni ini menyediakan peluang buat kami untuk mengiktiraf pencapaian mereka. Kami sangat berbangga selaku pemangkin kejayaan mereka, dan berharap bahawa pencapaian-pencapaian mereka mampu menginspirasikan generasi pelajar akan dating. 

Para penerima anugerah tersebut bakal berkongsi pengalaman dan kemahiran mereka di acara dwi-tahunan Study UK Fair anjuran British Council pada 22 Mac 2020 di InterContinental Kuala Lumpur, daripada 1.00pm hinggan 6.00pm. Wakil daripada universiti-universiti UK yang berprestij tinggi akan berada di karnival kerjaya tersebut untuk menyalurkan lebih informasi dan merungkai semua persoalan tentang pendidikan tinggi di UK. Untuk maklumat lanjut, layari: http://bit.ly/studyUKFair

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING