COVID-19: DBE GURNEY RESOURCES BHD. SUMBANG 7 TAN SAYURAN

YDP Manjung, Shamsul Hazeman Md Salleh (tengah) dan Perancang Projek dari DBE Gurney Resources Sdn. Bhd Mohd Shukri Bongsu menyampaikan sumbangan sayuran segar kepada barisan hadapan Covid -19

Manjung, Perak, 29 Mac 2020 - Pelbagai cara digunakan oleh rakyat Malaysia untuk menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada para petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi Covid-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di berkuat kuasakan. Sebuah syarikat perumahan dari Manjung, Perak, DBE Gurney Resources Bhd. turut mahu menunjukkan penghargaan dan rasa terima kasih kepada para petugas ini namun melalui cara yang sedikit berlainan. 

Syarikat pembangunan perumahan mampu milik yang beroperasi di Perak itu bertindak menyumbang 7 tan sayur-sayuran segar untuk diedarkan kepada semua petugas-petugas barisan hadapan di daerah Manjung. Sayur-sayuran yang bernilai hampir RM30,000 yang dibeli dari Cameron Highlands diedarkan kepada para petugas barisan hadapan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung (MPM). 

DBE Gurney Resources menyerahkan sayur-sayuran itu kepada MPM yang seterusnya akan membantu mengkoordinasi cara penyampaian sumbangan sayur-sayuran berkenaan kepada para petugas barisan hadapan yang akan diagihkan secara berperingkat bagi mengelakkan sebarang perhimpunan orang ramai. 

Yang Dipertua MPM, Shamsul Hazeman Md Salleh merakamkan penghargaan kepada DBE Gurney Resources Bhd. Bagi menyahut inisiatif kerajaan untuk tujuan menyumbang dana kepada barisan hadapan yang telah bertungkus – lumus untuk menangani jangkitan ini. 

“Majlis Perbandaran Manjung menerusi Jabatan Komuniti dan Pembangunan Sosial akan menjadualkan pengagihan barang – barang segar timun, sawi, kailan, salad, kubis and bak choy kepada para barisan hadapan secara berperingkat mengikut kumpulan kecil bagi mengelakkan perjumpaan besar – besaran semasa tempoh kuarantin ini,” katanya. 

Penguatkuasa undang – undang dan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan kakitangan kesihatan (hospital dan Jabatan Kesihatan) terus bersiap siaga melaksanakan tugas mereka untuk memastikan bahawa penduduk di Manjung tidak berisiko dijangkiti Covid – 19. 

“Kami juga akan menyumbang dana ini kepada rumah anak – anak yatim, rumah orang tua, sekolah tahfiz, penerima e – Kasih dan penduduk yang kurang berkemampuan dalam daerah kami kerana mereka adalah golongan yang lebih berisiko terhadap virus ini jika terdedah. Kami berharap agar jasa baik daripada perbadanan akan memotivasikan para barisan hadapan kita untuk meneruskan usaha mereka dalam memastikan keselamatan daerah ini sehingga 14 April atau sehingga maklumat selanjutnya,” tambahannya. 

DBE Gurney Resources Bhd telah diwakili oleh Perancang Projek, Mohd Shukri bin Bongsu. “Kami merancang untuk menyampaikan sumbangan yang serupa di daerah lain dalam negeri Perak yang terjejas oleh PKP minggu hadapan. Fokus kami adalah untuk mengurangkan bebanan kewangan sebanyak yang mungkin dalam tempoh getir ini,” kata beliau.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING