COVID-19: AMALKAN KEBERSIHAN DEMI KESELAMATAN DIRI



Memandangkan pada keadaan semasa pandemik COVID-19 yang semakin menular, kerajaan telah melaksanakan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi mengekang penyebaran virus tersebut. Sepanjang tempoh ini, kita dinasihatkan untuk mengamalkan langkah berjaga-jaga seperti penjarakkan sosial, mengekalkan aspek kebersihan yang betul, elakkan dari mengadakan perhimpunan besar dan hanya duduk di rumah pada sepanjang masa. 

Walau bagaimanapun, terdapat masa-masa tertentu yang memerlukan kita keluar dari rumah seperti membeli barangan dapur atau sekiranya berlaku sebarang situasi kecemasan. Selain itu, bagi mereka yang bekerja dalam perkhidmatan penting, tugas perlu dilaksanakan seperti biasa. Oleh sebab itu, penting untuk kita mengekalkan kebersihan kenderaan, yang mana akan memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Berikut adalah panduan dan saranan daripada PROTON mengenai cara-cara untuk menjadikan kenderaan anda sebuah ruang yang bersih dan sihat, bukan sahaja untuk tempoh sepanjang PKP malahan untuk jangka masa panjang. 

Untuk melindungi, lakukan pembersihan nyahjangkit 

Pertama sekali, lakukan pembersihan nyahjangkitan secara kerap pada permukaan yang selalu disentuh. Contohnya adalah seperti stereng, tombol gear, pemegang pintu (dalam dan luar), butang ‘start-stop’ enjin dan kunci kereta anda. 

Terdapat kajian terbaharu mendapati bahawa virus tersebut mampu bertahan selama 2-3 hari pada plastik dan permukaan keluli tahan karat. Ini menunjukkan bahawa ia boleh berada di mana-mana permukaan kenderaan anda sekiranya tidak dinyahjangkit selepas disentuh. Oleh itu, penting untuk kita membersihkan atau mengelap semua permukaan secara kerap, terutama selepas membeli barangan keperluan. 

Bukan setakat itu sahaja, terdapat juga bahagian-bahagian lain pada kenderaan yang perlu dibersihkan dengan teliti. Sebagai contoh, jika sistem audio kenderaan anda dilengkapi dengan skrin sentuh seperti Unit Infotainmen (IHU) yang ada pada PROTON X70 2020, skrin tersebut perlu dibersihkan dengan kerap. Bersihkan dengan menggunakan kain lembut yang telah disembur sedikit dengan semburan anti-bakteria. Hati-hati agar tidak keterlaluan. 

Selain itu, bersihkan kerusi kenderaan anda secara berkala. Sila ambil perhatian bahawa kerusi kulit mungkin tidak sesuai untuk dibersihkan dengan menggunakan cecair nyahkuman. Bahan kimia yang kasar mungkin akan merosakkannya. Oleh itu, anda perlu mencari cecair yang sesuai untuk membersihkan kerusi kulit kenderaan anda, dan pastikan selepas dilap, kerusi tersebut benar-benar kering untuk mengelakkan daripada kesan bertompok atau merekah. 

Tidak perlu risau lagi dengan penggunaan alat bebas tangan 

Pada saat-saat seperti ini, semua orang kini sudah terbiasa mengamalkan kebersihan diri yang paling asas iaitu mencuci tangan secara kerap dan meminimakan sentuhan menggunakan tangan seperti bersalaman dan menyentuh muka. Ini kerana tangan kita memainkan peranan utama dalam semua aktiviti harian yang dilakukan, daripada memegang barangan sehinggalah menyentuh sesuatu objek ataupun manusia. 

Salah satu cara untuk meminimakan sentuhan yang tidak perlu di dalam kenderaan anda adalah dengan menggunakan fungsi bebas tangan seperti arahan suara yang membantu anda mengawal pelbagai fungsi di dalam SUV milik anda termasuklah untuk membuka radio, penstriman muzik dan menggunakan navigasi serta membuka but belakang dengan menggunakan sensor kaki yang mana hanya memerlukan anda menggerakkan kaki di bawah bampar belakang dan secara automatik ia akan terbuka. Ini hanya memerlukan anda menyimpan kunci utama di dalam poket anda. 

Bersihkan udara dan tenangkan minda anda 

Penggunaan penulen udara mampu menyegarkan udara di dalam kenderaan anda kerana fungsinya yang menapis dan menyingkirkan gas merbahaya, bau busuk serta membunuh bakteria. Sesetengah kenderaan seperti PROTON X70 telah dilengkapi dengan sistem ini pada alat hawa dingin model tersebut. Selain itu, anda turut digalakkan untuk membersihkan semua sampah dan habuk di dalam kenderaan dengan menggunakan vakum. Ini akan membantu menghilangkan kotoran dan sisa makanan yang mungkin akan mengundang kehadiran serangga di dalam kenderaan anda. 

Sepanjang tempoh PKP ini, PROTON berharap agar semua pengguna dapat mengamalkan kebersihan yang baik dan yang paling penting adalah duduk di rumah. Walau bagaimanapun, sekiranya anda perlu keluar, amalkan panduan yang dikongsi dan pandu kereta dengan selamat! Dalam kita sama-sama menempuhi cabaran ini, kita sebagai rakyat Malaysia perlu menjaga keselamatan dan cekal sentiasa! 


Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai produk dan perkhidmatan kami, layari laman web PROTON di https://www.proton.com/en/find-a-car/overview.


Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA