#STAYHOMESG: 14 ANAK SENI SINGAPURA BERGABUNG SUARA



Universal Music Group menghimpunkan 14 artis berbakat Singapura dari pelbagai etnik dan latar belakang untuk menghasilkan Stay Home, satu trek yang menyentuh kalbu mengenai mesej kekuatan dalam perpaduan, untuk memberikan sokongan terhadap usaha negara dalam memerangi wabak COVID-19 . Single ini menampilkan 14 artis terdiri daripada Charlie Lim, Yung Raja, Fariz Jabba, ShiGGa Shay, Alif, ABANGSAPAU, Tosh Rock, Iman, Aisyah Aziz, Shye, Zadon, YAØ, Hashy dan Dee Kosh.

Stay Home membawa mesej yang teguh bahawa jarak sosial tidak bermaksud menjarakkan emosi kita. Projek ini menyoroti bagaimana muzik dapat terus hidup dengan kaedah digital dan kolaborasi melalui teknologi. Meletakkan muzik sebagai bahasa sejagat, projek ini bertujuan untuk menenangkan rakyat Singapura melalui suara 14 penyanyi dan pada masa yang sama lirik lagu tersebut diharap dapat memberi motivasi kepada mereka untuk terus tabah.

Calvin Wong, Ketua Pegawai Eksekutif Universal Music Asia Tenggara menjelaskan, “Kami sangat teruja dengan inisiatif ini, yang memperlihatkan semangat para artis dan eksekutif muzik bekerjasama secara harmoni dalam waktu yang singkat untuk menghasilkan karya yang luar biasa. Kami amat berbangga dengan 14 artis ini yang mewakili generasi baru rakyat Singapura dalam mengharungi cabaran kala ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan media kami kerana kerap memberikan pendedahan untuk lagu ini.”

Terinspirasi dengan #JanganKeluar versi Malaysia, single yang dikeluarkan sebagai reaksi terhadap inisiatif PKP negara mereka, Stay Home adalah interpretasi lagu tersebut untuk rakyat Singapura. Walaupun mengekalkan lagu asal, versi Singapura ini mengolah semua baris melodi dan paduan suara untuk menyuntik kreativiti tersendiri, bagi menghasilkan persembahan yang unik untuk Singapura. Kesemua artis menulis dan merakam single serta muzik video dari rumah masing-masing, dan berjaya menghabiskan projek ini dalam masa 11 hari.

Lagu ini juga menampilkan empat bahasa yang berbeza iaitu Bahasa Inggeris, Mandarin, Melayu & Tamil bagi meraikan masyarakat berbilang kaum di Singapura. Muzik video ini memperlihatkan bagaimana para artis ini menyibukkan diri mereka di rumah dan berharap dapat mempengaruhi lebih ramai orang untuk memainkan peranan mereka bagi menjayakan "Circuit Breaker" ini dengan memberi komitmen untuk tetap di rumah.


Stay Home akan dilancarkan oleh Universal Music Singapore pada jam 9 pagi, Jumaat, 24 April 2020. Lagu ini boleh didapati di semua platform striming utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan KKBox pada jam 9 pagi dan di stesen radio Mediacorp dan MeListen antara jam 9 - 10 pagi. 

Muzik video rasmi untuk tayangan perdana di YouTube pada jam 8 malam pada hari yang sama akan turut memberi peluang kepada para peminat untuk berinteraksi secara langsung dengan 14 artis yang terlibat dalam projek ini.



Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

NESTLÉ MALAYSIA DAN BSMM BERGANDING BAHU MEMBANTU PENDUDUK TERJEJAS BANJIR : 5,000 KOTAK BARANGAN MAKANAN ASAS DISEDIAKAN BARISAN SUKARELAWAN

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?