SINGLE TERBAHARU 'TIADA' UBATI RINDU PEMINAT LIZA HANIM



Setelah beberapa tahun tidak muncul dengan lagu baharu akhirnya Liza Hanim, 41 tahun tampil dengan lagu TIADA bagi mengubat kerinduan sebilangan besar peminat yang terus menerus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya sejak dahulu lagi.

Meskipun dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilalui oleh rakyat Malaysia ketika ini, Liza tidak menganggap itu sebagai satu halangan besar dan mengharapkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap TIADA yang turut dilancarkan serentak di semua platform digital mulai hari ini. 

Baginya, TIADA bukan sebagai sebuah naskhah yang biasa malah seluruh tenaga dan jiwa diletakkan ke dalam lagu yang merupakan luahan isi hatinya terhadap sebuah kerinduan kepada insan yang telah pergi buat selama-lamanya. 

Seperti mana yang semua sedia maklum, Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim kehilangan bapanya pada tahun lalu. Kerinduan yang bersarang dalam hatinya itulah yang menjadi intipati penting dalam TIADA. 

Bertindak sendiri selaku komposer, isi hatinya itu diceritakan dan diterjemah dengan baik oleh Fedtri Yahya selaku penulis lirik setersunya mendapat sentuhan Sharon Paul yang bertindak selaku Penerbit Muzik untuk lagu ini. Lagu ini bagai hadir tepat pada masanya. 

Di saat satu persatu nyawa terkorban angkara Covid-19, TIADA pastinya akan membangkitkan lagi rasa simpati dan kasih sayang berterusan antara yang meninggalkan dan yang ditinggalkan. 

Liza yang kini bernaung di bawah pengurusan Laugh Out Loud (LOL) Entertainment yakin TIADA bukan sahaja akan dekat di hati peminat malah mengembalikan semula semangatnya untuk terus berjuang dalam bidang seni tanah air.

Comments

Popular posts from this blog

ANTA MALAYSIA MELANCARKAN KEMPEN SUMBANGAN KASUT SEMPENA RAMADAN

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA