PROJEK LAUNCHPAD BANTU PELARIAN WANITA SEMASA PKP

Pelajar-pelajar kelihatan tekun membuat tuala wanita sebelum bermula PKP.


Lebih daripada 500 pad sanitari (tuala wanita) dengan ciri boleh guna semula diedarkan melalui pos ekspres kepada 250 wanita berstatus pelarian yang terdedah kepada risiko, ia diagihkan oleh penuntut universiti dan kolej Taylor’s yang menetap di hostel institut berkenaan sewaktu penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan. 

Tuala wanita buatan tangan yang boleh digunakan semula ini merupakan sebahagian daripada inisiatif LaunchPad Project yang dicetuskan oleh badan Pengurusan Hostel Taylor’s, yang berhasrat untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan warga pelarian yang menetap di Malaysia. Diperbuat daripada bahan-bahan yang boleh dikitar semula seperti baju kemeja, setiap pad sanitari ini mengambil masa 20 minit untuk dijahit dan disiapkan dan mempunyai jangka hayat bertempoh dua tahun. 

Untuk menjayakan pelancaran projek ini sewaktu PKP, lebih daripada 40 penuntut universiti dan kolej Taylor’s yang berasal daripada 12 buah negara, termasuk tiga penjahit yang berstatus pelarian berasal dari Afghanistan telah bekerjasama untuk mempercepatkan produksi pad tersebut agar ia dapat diagihkan tepat pada masanya. 

Inisiatif ini telah berlangsung menerusi jalinan usaha sama yang dimeterai dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), Persatuan Rohingya Malaysia (RSM) dan Komuniti Pelarian Somalia Malaysia. 

“Kebersihan wanita dalam golongan ini adalah yang paling terdedah dan ianya menjadi isu berterusan yang perlu ditangani. Keperluan tuala wanita juga meningkat ketika PKP kerana warga pelarian tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menyimpan stok tuala wanita, serta keadaan bertambah buruk dengan kekangan yang dihadapi oleh mereka untuk meninggalkan kediaman masing-masing dan kehilangan punca pendapatan,” ujar Eudora Yap Xin Yun, penuntut berusia 19 tahun yang juga merupakan ahli LaunchPad Project. 


Idea LaunchPad Project ini bermula pada tahun 2019 sewaktu kunjungan ke komuniti pelarian dibuat; di situ, para pelajar mendapati bahawa akses ke atas tuala wanita menjadi satu cabaran yang besar. Bermula sebagai Program Pembelajaran Khidmat Masyarakat yang diperkenalkan oleh badan Pengurusan Hostel Taylor’s untuk membantu para pelajar memahami tentang cabaran-cabaran yang wujud di peringkat nasional dan antarabangsa, LaunchPad Project kini mempunyai peranan yang lebih signifikan dengan menyuluh isu melibatkan kebersihan wanita, pemerkasaan warga pelarian di Malaysia dan mengutarakan isu-isu kelestarian pada masa yang sama. 

Pelaksanaan projek ini hadir dalam waktu penguatkuasaan PKP yang sesuai, bersertakan beberapa inisiatif lain yang diusulkan oleh Taylor’s University seperti penyediaan kursus bahasa secara percuma, termasuk usaha sama dengan organisasi-organisasi seperti Biji-Biji Initiative untuk mengkoordinasikan produksi perisai muka bagi petugas baris hadapan. 

“Pelan asal kami adalah untuk mengedarkan pad ini pada pertengahan bulan April sewaktu berlangsungnya bengkel produksi untuk warga pelarian. Bagaimanapun, setelah kami melihat keperluan bagi produk-produk sanitari meningkat naik ketika PKP, kami memilih untuk tidak melengahkannya lagi,” tambah Eudora. 

Setakat ini, LaunchPad telah mengagihkan pad boleh guna semula ini kepada 250 warga pelarian yang menetap di Lembah Klang sewaktu penguatkuasaan PKP, penerima dapat dikenal pasti dengan bantuan rakan-rakan kongsi organisasi pelarian masing-masing. Setiap penerima diberikan dua tuala wanita yang lengkap dengan panduan penggunaan dan penjagaan berserta tip asas yang boleh dipatuhi untuk memastikan pad tersebut digunakan secara bersih. 

Tidak dapat pulang ke kampung halaman mereka ketika MCO dan dihadkan dari segi kebebasan, kesukaran yang dihadapi oleh warga pelarian telah memberi dorongan kepada para penuntut untuk meneruskan inisiatif berkenaan meskipun dicabar dengan krisis semasa. 

“Pandemik COVID-19 memberi kesan kepada semua orang, tanpa mengira kewarganegaraan dan jantina. Warga pelarian lebih terdedah kepada risiko kerana mereka tidak memiliki hak untuk bekerja dan tidak dapat bergerak bebas seperti orang lain. Akses yang terhad ke atas produk-produk kebersihan haid bukan sahaja menjadi masalah bagi golongan wanita, malah ia merupakan masalah seisi keluarga,” jelas penuntut warga Malaysia berusia 19 tahun, Muhammad Zahidi bin Muhammad Zamri. 

Buat masa ini, pad sanitari berkenaan tidak disediakan untuk dijual, dan ahli-ahli LaunchPad Project bersama rakan kongsi, Rangkaian Pembangunan Wanita Rohingya (RWDN) berhasrat untuk memperkasakan golongan pelarian agar mereka dapat menubuhkan perusahaan sosial mereka sendiri untuk menjual produk-produk tersebut dan mewujudkan pendekatan bagi membiayai aktiviti-aktiviti komuniti dan pembangunan yang lain. 

Naib Presiden Kediaman Pelajar Taylor’s, Elaine Yap telah menzahirkan kebanggaan terhadap usaha yang dicurahkan oleh para pelajar. “Kami berbesar hati untuk melihat pelajar-pelajar kami, di bawah bimbingan Pengurus Perhubungan, Acara dan Pembangunan Pelajar, Lew Pik-Svonn; menimba ilmu yang bermakna dan keluar dari zon keselesaan mereka untuk menghulurkan bantuan kepada komuniti yang memerlukan menerusi projek yang disemai sendiri seperti LaunchPad,” simpul beliau. 

Jika anda ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek ini dan menghulurkan sumbangan, sila layari http://taylorshostel.taylors.edu.my.


Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING