TIP KESELAMATAN DALAM TALIAN BAGI KANAK-KANAK SEWAKTU PKP



Penutupan sekolah yang dibuat rentetan daripada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memperlihatkan kanak-kanak meluangkan lebih banyak masa dalam talian. Ia merupakan alat yang sempurna bagi mereka untuk belajar, bermain dan bersosial dengan rakan-rakan! Namun pada masa yang sama, ibu bapa juga perlu berwaspada dengan kewujudan risiko yang hadir bersama penggunaan internet. 

Menurut pakar yang mahir dalam bidang keselamatan siber kanak-kanak di Digi, Philip Ling yang merupakan seorang bapa bagi dua anak perempuannya yang aktif, beliau mengongsikan tip bagaimana ibu bapa dapat mewujudkan pengalaman kepenggunaan internet yang lebih selamat bagi anak-anak mereka. 

“Ketika kemelut yang tidak diduga ini masih berpanjangan, kita semua meluangkan lebih banyak masa dalam talian untuk bekerja, bersosial dan menjalani kehidupan seharian. Pemeliharaan persekitaran dunia dalam talian yang sihat adalah lebih penting pada waktu ini demi anak-anak kita. Mereka perlu diajar untuk mengenali corak pengguna internet dan kemahiran untuk mengenal pasti risiko, termasuk cara untuk menangani risiko tersebut,” jelas beliau. 

1. Berbicara dengan anak anda dan peroleh kepercayaan mereka 

Kanak-kanak kaya dengan sifat ingin tahu serta masih naif, akan mudah percaya informasi yang dipaparkan – dan bergantung kepada tahap kematangan mereka, kanak-kanak tidak dapat membezakan antara yang betul dan salah, serta membezakan karakter yang palsu atau tulus. 

Buat pemerhatian dengan menyertai aktiviti internet anak-anak anda. Peroleh kepercayaan mereka dengan menunjukkan minat ke atas perkara yang mereka lakukan dalam talian, ketahui laman dan aplikasi apa yang mereka gunakan, dan dengan siapa mereka berkawan. Dan nyatakan dengan jelas mengenai senario dan risiko yang mungkin mereka hadapi di internet. 

Beritahu dan yakinkan mereka boleh mendapatkan bantuan atau nasihat mengenai sebarang pengalaman yang kurang menyenangkan atau kandungan tidak sesuai yang mereka temui dalam talian. Jika anda mendapati anak anda mula menunjukkan tingkah laku luar biasa, berbicara dengan mereka dalam kadar segera untuk mengenal pasti jika mereka ada masalah. 

2. Tetapkan peraturan dan rutin secara bersama 

Kanak-kanak yang terperuk di rumah cenderung untuk meluangkan lebih banyak masa dalam talian. Ambil peluang ini untuk membatasi masa yang mereka luangkan dalam talian serta akses ke atas material yang bermanfaat dengan menggunakan fungsi “bookmark”, menstrukturkan penyaring kandungan atau menyediakan senarai material yang telah disemak. 

Tetapkan peraturan bagi anak-anak kecil supaya mereka meminta kebenaran sebelum memuat turun sebarang aplikasi ke dalam peranti mereka. Anda juga boleh merujuk laman web khas untuk ibu bapa yang mengulas aplikasi-aplikasi tertentu, ia boleh digunakan sebagai panduan untuk menentukan aplikasi mana yang sesuai untuk anak-anak anda. 

3. Galakkan anak-anak untuk meluangkan masa berkualiti dalam talian 

Kekangan untuk meninggalkan rumah dan keluar bermain dengan rakan-rakan mungkin memberi kesan pada kanak-kanak. Oleh itu, pemeliharaan hubungan sosial adalah penting bagi mereka dan ia boleh dilakukan melalui media sosial. Ajar mereka cara untuk menggunakan kemudahan sidang video secara bertanggungjawab untuk kekal terhubung dan membantu mereka mempelajari tentang amalan baik dan buruk. 

Terdapat pelbagai material yang dipercayai dan percuma untuk kegunaan dan hiburan anak-anak anda. Cabar mereka untuk mempelajari bahasa baharu atau bermain permainan yang memupuk pemikiran kritis. Tonton video Kebingkasan Digital Digi atau kunjungi laman web Digiworld untuk menikmati pelbagai sumber dan kuiz yang menyeronokkan. 

4. Manfaatkan waktu terluang bersama keluarga 

Jika anda menilai situasi semasa dari sudut positif, anda akan sedar bahawa kini anda dapat meluangkan lebih banyak masa bersama insan tersayang. Manfaatkan waktu ini dengan berehat daripada bersemuka dengan kaca skrin dan lakukan aktiviti-aktiviti menyeronokkan bersama keluarga di rumah. Kerja-kerja rumah juga boleh dijadikan aktiviti yang menyeronokkan! Ingat, terdapat pelbagai kemahiran hidup yang turut boleh dipelajari di luar talian. 

Minta anak-anak anda mencuba resipi baharu yang ditemui di media sosial atau anjurkan peraduan memasak anda sendiri. Pasangkan video senaman tarian atau belajar untuk bermain permainan video yang menjadi kegemaran anak anda. Mungkin ahli keluarga anda sahaja yang menjadi peneman pada waktu ini, jadi manfaatkan ia dengan sebaiknya! 


Digi membekalkan lebih banyak sumber mengenai keselamatan siber yang dapat membantu anda serta ahli keluarga, sila layari https://cybersafeinschools.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Comments

Popular posts from this blog

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

PROGRAM BAHARU ‘THE HARDEST SINGING SHOW’ CABAR VOKAL DAN KREATIVITI PENYANYI HEBAT TEMPATAN DI ASTRO