SUNWAY MALLS MEMPERKETATKAN PIAWAIAN KESELAMATAN



Ketika Malaysia membuat persiapan untuk memulihkan aktiviti-aktiviti ekonomi negara, Sunway Malls (Rangkaian Pusat Beli-Belah Sunway) mengunjurkan sokongan kepada strategi pemulihan ekonomi COVID-19 yang digagaskan oleh kerajaan dengan mendorong amalan penjarakan sosial yang lebih ketat bagi memastikan keselamatan pembeli-belah dan peruncit terpelihara dalam usaha untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19. 

Sejajar dengan inisiatif ‘Your Safe Space, Our Safe Space’, Sunway Malls telah memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam rangkaian pusat beli-belahnya yang terletak di seluruh negara untuk merangkumkan Pegawai-Pegawai Penjarakan Sosial (SDO) – iaitu sebuah pasukan yang dikhaskan untuk mengenal pasti ruang-ruang berisiko tinggi di dalam pusat beli-belah mereka agar pembeli-belah dan peruncit dapat dipastikan mengamalkan piawaian penjarakan sosial yang digariskan oleh pihak pengurusan. 

SDO berkenaan, yang terdiri daripada kakitangan Sunway Malls, telah ditugaskan untuk menjalankan tanggungjawab seperti meleraikan kumpulan individu yang besar di dalam kedai, menjarakkan pembeli-belah dalam barisan mengikut garis pemisah, mengambil suhu pembeli-belah di pintu masuk, mengingatkan pembeli-belah dan peruncit untuk memakai pelitup muka, mencegah individu daripada berkeliaran di kawasan umum atau ruang kongsi, memastikan pensanitasi tangan dan termometer berfungsi dengan seeloknya serta memelihara kebersihan pusat beli-belah berkenaan. 

Untuk menjamin keberkesanan inisiatif ini, penyewa-penyewa yang terpilih juga akan dilantik dan dilatih sebagai Kru Runcit Penjarakan Sosial untuk mengingatkan pembeli-belah agar mereka menjaga jarak masing-masing di dalam kedai. 

Potongan imej personaliti penjarakan sosial bersaiz sebenar yang menampilkan kakitangan Sunway Malls serta polis bantuan diletakkan di seluruh pusat beli-belah bagi mengingatkan pembeli-belah tentang amalan pemakaian pelitup muka, penjagaan kebersihan dan pemeliharaan jarak sosial. 


Sunway Pyramid telah membawa inisiatif ini ke aras yang lebih tinggi dengan meletakkan boneka yang dikenakan pakaian daripada jenama-jenama fesyen di pusat beli-belah berkenaan di bangku-bangku sekitar premis Sunway Pyramid untuk mencegah kontak rapat antara pembeli-belah. Maskot kesayangan pusat beli-belah ini, Leo dan Leona juga akan membuat penampilan sebagai figura kadbod 3D yang akan diletakkan di bangku-bangku berkenaan bagi tujuan yang sama. 

Kevin Tan, Ketua Pegawai Operasi Sunway Malls menjelaskan bahawa usaha tersebut diperkenalkan atas sebahagian daripada pelan ‘Restart, Restore, Recover’ untuk membolehkan pembeli-belah dan peruncit berlapang dada sepanjang waktu yang diluangkan di dalam pusat-pusat beli-belah berkenaan. 

“Berlatarkan situasi semasa yang mencabar ini, kami di Sunway Malls telah merangka pelan yang jelas untuk memberi kepastian kepada para pengunjung bahawa rangkaian pusat beli-belah kami adalah selamat untuk dikunjungi. Kami mengutamakan keselamatan pembeli-belah, memfaktorkan aspek kelajuan dalam tindakan yang perlu kami ambil, dan menginovasi untuk membantu pihak kami, serta para pelanggan menjalani kehidupan dengan terus mara ke hadapan. Kami percaya hasrat ini boleh dicapai asalkan kita semua berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing dalam mematuhi panduan keselamatan dan kebersihan yang digariskan demi kebaikan setiap individu yang memasuki premis kami,” ujar beliau. 

Keselamatan buat Semua 

Lebih daripada 4,000 kamera CCTV telah dipasang di rangkaian pusat beli-belah berkenaan, 30 daripadanya dilengkapi dengan teknologi pengecam wajah untuk mendorong penjarakan sosial. 12 unit kamera suhu berketepatan tinggi juga akan dipasang di premis-premis berkenaan, termasuk imbasan suhu tanpa sentuh sebagai langkah pencegahan. Di samping itu, duta-duta prihatin akan dikerahkan di rangkaian pusat beli-belah ini untuk menawarkan pelanggan yang tidak mempunyai pelitup muka sebuah kit penjagaan yang terdiri daripada pelitup muka dan tisu pengelap. 

Sunway Malls turut memperkenalkan ‘chatbot’ di platform media sosialnya untuk membolehkan para pelanggan mengaju pertanyaan mengenai ketersediaan barangan yang ingin mereka beli. Stesen-stesen ‘Order and collect’ juga telah disediakan agar pembeli-belah dapat membuat panggilan dan memesan daripada peruncit-peruncit, lalu datang mengambil barangan mereka tanpa perlu memasuki pusat beli-belah tersebut. 

Usaha sanitasi dilangsungkan dengan membasmi kuman pada permukaan dan titik sentuh yang utama setiap 45 minit untuk mencegah penyebaran kuman dan bakteria. Ia meliputi susur tangan eskalator, butang lif, susur tangan di ruangan am, butang ‘press to open’ di semua ruang lobi dan pintu masuk, hendal pintu, direktori iPad, bilik bayi, tandas kanak-kanak, ruang permainan kanak-kanak dan pengering tangan. 

Menerajui kelestarian perniagaan 

Kesemua penyewa di Sunway Malls telah diberi pilihan untuk beroperasi dalam jangka waktu yang lebih pendek setelah PKP tamat untuk membantu para penyewa memelihara aliran tunai sepanjang bulan-bulan yang akan datang sementara mereka cuba mengembalikan operasi harian secara beransur-ansur. Penyewa boleh memilih untuk beroperasi dalam jangka waktu minimum berjumlah lapan (8) jam sehari berbanding jangka waktu yang lazim iaitu 12 jam, maka penyewa boleh menjimatkan kos yang disumbang oleh waktu operasi dan sewaan, serta gaji kakitangan. Bagaimanapun, rangkaian pusat beli-belah ini akan terus beroperasi seperti biasa bersama dengan peruncit-peruncit asas seperti pasar raya, farmasi, kedai serbaneka dan outlet F&B. 

Sunway Malls telah mengedarkan pekeliling kepada para penyewa yang merangkumi maklumat penting seperti garis panduan serta amalan yang terbaik ketika menjalankan operasi untuk memastikan mereka dapat menjaga keselamatan sambil menawarkan perkhidmatan kepada pembeli-belah. Ditunjangi oleh 12,000 warga kerja yang berdedikasi merentasi seluruh rangkaian pusat beli-belah ini, Sunway juga telah menjalankan latihan bagi semua kakitangan untuk mendidik mereka tentang aspek kesihatan dan langkah pencegahan yang berkait dengan COVID-19. 


Peringatan Mesra 

Makluman dalam bentuk visual juga akan diletakkan di sekitar rangkaian pusat beli-belah ini sebagai peringatan kepada pembeli-belah agar amalan penjarakan sosial dan kebersihan dipelihara. Pembeli-belah juga boleh mengunjungi platform media sosial pusat-pusat beli-belah berkenaan untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai inisiatif keselamatan dan kebersihan yang dirangka demi kepentingan para pengunjung. 

Maklumat lanjut mengenai inisiatif Restart, Restore, Recover oleh Sunway Malls boleh didapati di https://www.sunwaymalls.com/

Sunway Malls sedang membuat persiapan untuk menjadi antara pemilik-operator pusat beli-belah yang terbesar di Malaysia dengan projek-projek sedia ada dan yang dirancang kini meliputi NLA berjumlah 7.7 juta kaki persegi, dan angka ini bakal ditingkatkan kepada NLA berjumlah 10.2 juta kaki persegi tidak lama lagi. 

Pusat-pusat beli-belah tersebut ialah:- 
  • Sunway Pyramid, Sunway City, Kuala Lumpur 
  • Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur 
  • Sunway Big Box Retail Park, Sunway Iskandar, Johor 
  • Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur 
  • Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang 
  • Sunway Citrine, Sunway Iskandar, Johor 
  • Sunway Giza Mall, Kota Damansara

Comments

Popular posts from this blog

CARIAN TAHUN 2024: INILAH PERKARA YANG DICARI, DISAMBUT, DAN DIINGATI OLEH RAKYAT MALAYSIA

‘REAL MEN MALAYSIA: WIRA MERAH’- 8 SELEBRITI JALANI KEHIDUPAN SEBENAR JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA

SEBARKAN KASIH SAYANG DAN KEBAIKAN DENGAN VOLUNTOURISM