IMMUNISE4LIFE LANCAR KEMPEN "CEGAH FLU, NORMA BAHARU"



Tatkala rakyat Malaysia sedang mengubah gaya hidup akibat pandemik COVID-19, program Imunisasi Sepanjang Hayat (Immunise4Life) akan bekerjasama dengan beberapa badan perubatan, organisasi bukan kerajaan (NGO) serta individu berpengaruh bagi menjayakan ‘Cegah Flu, Norma Baharu’ – sebuah kempen ikrar atas talian kebangsaan yang menggesa orangramai untuk terus melindungi diri masing-masing dan orang tersayang daripada influenza. 

Orang ramai akan melihat pakar-pakar perubatan, selebriti media sosial dan artis yang disayangi menyokong inisiatif ini melalui aktiviti-aktiviti yang menarik, termasuklah video yang memberi inspirasi, iklan khidmat masyarakat yang berimpak, temu bual media, artikel media, dan konsert atas talian! 

Setiap individu yang terlibat akan memaparkan ikon dua hati yang unik di tapak tangan yang memberi maksud pencegahan flu adalah tanda kasih sayang. 

Mesej mereka kepada rakyat Malaysia adalah untuk mendapatkan vaksinasi flu setiap tahun di samping mengamalkan kebersihan diri yang baik dan gaya hidup sihat bagi melindungi diri daripada penyakit tersebut. 

Kempen ini, yang menyasarkan sebanyak 300,000 ikrar menjelang Oktober, disokong oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menjadikan pencegahan flu sebagai keutamaan. 


Menurut Professor Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal program Immunise4Life (IFL), membuat ikrar peribadi bagi mencegah flu adalah keputusan yang mungkin boleh menyelamatkan nyawa diri sendiri dan orang yang tersayang. 

Beliau berkata, “ Kempen ‘Cegah Flu, Norma Baharu’ ini seiring dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk tidak mengabaikan influenza dan isu-isu kesihatan masyarakat yang lain di kala COVID-19.” 

Tambah beliau lagi: “Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih 1 billion kes flu berlaku setiap tahun, di mana 3 hingga 5 juta berada dalam keadaan parah, dan meragut nyawa lebih 650,000 orang seluruh dunia. WHO menyarankan supaya kumpulan berisiko tinggi – seperti kanak-kanak, ibu hamil, pesakit penyakit kronik, dan warga emas – mendapatkan vaksin influenza setiap tahun untuk melindungi diri mereka. 

“Menurut WHO, vaksinasi flu tahunan merupakan kaedah terbaik – apabila diiringi dengan pengamalan kebersihan diri dan gaya hidup sihat – bagi mencegah jangkitan influenza, penyakit parah dan komplikasi berkait yang boleh membahayakan nyawa. 


Professor Dr Zamberi Sekawi, Pengerusi Malaysian Influenza Working Group, percaya bahawa kempen ‘Cegah Flu, Norma Baharu’ tiba pada waktu yang tepat. 

Kata beliau, “Setelah berbulan menjalankan kehidupan yang terkawal, rakyat Malaysia sedang mula untuk kembali ke rutin harian mereka di bawah ‘norma baharu’. Namun, masih terdapat risiko untuk mendapat jangkitan influenza apabila orang ramai mula bergaul di tempat kerja, sekolah dan kompleks membeli belah. Hal ini mungkin boleh menyebabkan peningkatan kes flu dalam beberapa bulan akan datang. Kita patut mengambil langkah pencegahan seperti mendapatkan vaksinisasi flu bagi melindungi diri kita.” 

Bagi menunjukkan komitmen mereka dalam mencegah flu, pelbagai organisasi telah bersetuju untuk mempromosikan kempen ini kepada ahli-ahli persatuan mereka dan orang ramai. 

Antara mereka yang terlibat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Rotary Club District 3300, Pertubuhan Perubatan Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia, Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Majlis Kebangsaan Persatuan-Persatuan Warga Emas Malaysia, University of the Third Age, dan Persatuan Pengendali Jagaan Berkediaman Warga Emas SeMalaysia. 

Organisasi lain yang berminat untuk menyokong inisiatif ini boleh menghubungi matters@ifl.my untuk maklumat lanjut. 

Kempen ini dikukuhkan lagi dengan sokongan selebriti media sosial dan artis-artis seperti Scha Alyahya, Awal Ashaari, Alyssa Dezek, Jeryl Lee Pei Ling, Dr Say Shazril, Debbie Goh, Betty Rahmad, Douglas Lim, Dr Halina Mohd Yunos, dan ramai lagi. 

Kempen ‘Cegah Flu, Norma Baharu’ dianjurkan oleh program Immunise4Life, dengan usahasama Malaysian Influenza Working Group (MIWG) dan disokong oleh inisiatif Vaccination Is Protection. 

‘Cegah Flu, Norma Baharu’ merupakan kesinambungan daripada kempen besar-besaran ‘Pencegahan Flu Pengikat Kasih Sejati’ yang dilancarkan pada tahun 2019 oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan merupakan kempen pencegahan influenza terbesar di Malaysia sejak 2009 apabila pandemik influenza A (H1N1) melanda dunia. 


Program Immunise4Life ditubuhkan pada 2013 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) dan Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC). Untuk maklumat lanjut tentang Immunise4Life, sila layari www.immunise4life.my atau hubungi Sekretariat Immunise4Life di matters@ifl.my

Apa Kata Pakar Lain Tentang Pencegahan Flu 

MARI LINDUNGI ANAK-ANAK KITA 

Profesor Dato’ Dr Musa Mohd Nordin
Wakil Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) dalam Program Immunise4Life 

“Ibu bapa sepatutnya melindungi anak-anak mereka, terutamanya yang menghadiri tadika, sekolah dan pusat penjagaan kanak-kanak. Jangkitan boleh berlaku dengan mudah, disebarkan kepada kawan-kawan, dibawa ke rumah di mana ia disebarkan kepada adik-beradik yang lebih muda, ibu bapa serta datuk dan nenek. Dalam kalangan kanak-kanak yang lebih kecil, flu boleh membawa kepada komplikasi yang mungkin membawa maut termasuklah pneumonia berunsur virus, jangkitan bakteria invasive, dan kegagalan pelbagai organ. 

“Mereka yang berumur 5 tahun dan ke bawah adalah lebih berisiko; begitu juga mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma, isu neurologi dan perkembangan neurologi, masalah hormon, paru-paru, jantung, buah pinggang dan hati. Malah, kajian di Malaysia menunjukkan bahawa 88% daripada kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital akibat flu berumur 5 tahun dan ke bawah, 36% mempunyai masalah kesihatan yang lain, dan 2% tidak berjaya diselamatkan. 

“Kami menggalakkan ibu bapa untuk memberi vaksinasi flu kepada anak mereka seawal 6 bulan dan secara tahunan bagi memastikan perlindungan yang berterusan.” 


PERLINDUNGAN UNTUK ORANG DEWASA 

Professor Dr Ariza Adnan
Wakil Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC) dalam Program Immunise4Life 

“Flu boleh membahayakan orang dewasa, terutamanya mereka yang mempunyai penyakit kronik. Ianya boleh memburukkan lagi penyakit sedia ada dan boleh mengakibatkan komplikasi yang meragut nyawa seperti strok, serangan jantung, komplikasi diabetes, dan kegagalan respiratori. 

“Mereka yang berumur 65 tahun ke atas sukar untuk melawan jangkitan flu dan akhirnya membawa padah untuk mereka. Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa anggaran 70% kemasukan ke hospital akibat flu dan 90% kematian yang berkait dengan influenza berlaku di kalangan pesakit yang berumur 65 tahun dan ke atas. 

“Mereka boleh mendapat komplikasi akibat flu dengan cepat, seperti pneumonia. Paru-paru mereka akan mengalami keradangan, mengakibatkan bendalir memenuhi kantung udara sehingga sukar untuk bernafas dan kandungan oksigen dalam darah menurun dengan bahayanya. 

“Seiring dengan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, warga emas perlu mendapatkan vaksinisasi flu setiap tahun. Ianya merupakan langkah yang mudah dan dapat menjimatkan kos untuk mengelakkan diri daripada perlu menghadapi penderitaan yang diakibatkan oleh penyakit ini.” 

Orang ramai adalah dijemput untuk mula berikrar cegah flu dalam norma baharu dengan klik butang ikrar di laman web, www.actoflove.ifl.my


Comments

Popular Posts