KELUARGA ISKANDAR THE MOVIE BUAT KECOH DI ASTRO FIRST JULAI INI



Drama bersiri keluarga paling berpengaruh bagi saluran Astro untuk dua musim dan sekaligus melayakkannya menjadi ‘Siri Televisyen Komedi Terbaik’ bagi Anugerah Lawak Warna selama dua tahun berturut-turut kini kembali menerusi filem ‘Keluarga Iskandar The Movie’ (“KITM”).

Buat mereka yang rindukan keluarga besar ini, Mak Jah bersama anak-anak serta cucu akan meriuhkan pawagam di rumah anda, Astro First saluran 480 mulai 16 Julai 2020. Meskipun awalnya ia dirancang untuk tayangan di pawagam, namun istimewa buat penonton Astro boleh menonton kesimbungan siri komedi ala mockumentary ini buat pertama kali.


KITM masih menerapkan latar tentang kehidupan keluarga arwah Haji Iskandar yang mempunyai pelbagai ragam serta gelagat sebagai rencah utama filem. Menariknya, KITM akan merungkai segala persoalan yang tergantung dalam siri sebelumnya serta ia dipadatkan lagi dengan babak-babak yang mampu membuat penonton tidak senang duduk, tak kering gusi dan juga menitiskan air mata.


Ternyata pengarah Wan Hasliza Wan Zainuddin berjaya menggandingkan kesemua elemen ini dan menggarapnya menjadi satu naskhah yang pasti mampu meninggalkan kesan kepada penonton. Penerbit Eksekutif dan pada masa yang sama turut memikul tanggungjawab sebagai Pengarah, Wan Hasliza Wan Zainuddin berkata “Saya dan produksi mengambil keputusan untuk menghasilkan sebuah filem yang akan menjawab segala persoalan yang tercetus daripada cerita 2 pada penghujung musim kedua ‘Keluarga Iskandar’. Justeru, saya berharap kemunculan filem ini dapat mengubati rindu peminat serta menarik peminat baru yang sebelum ini tidak pernah menonton drama siri ini.”


Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad melahirkan rasa berbesar hati kerana pihaknya diberi kepercayaan untuk membawa filem KITM terus kepada penonton. Ini sekaligus mengukuhkan lagi peranan Astro Shaw dalam menyediakan platform kepada pemain industri tanah air untuk mempersembahkan karya mereka kepada kelompok sasaran dengan menyediakan rangka pemasaran yang inovatif seterusnya memastikan kepuasan penonton sentiasa berada di paras yang terbaik menerusi sajian penuh variasi yang disediakan. “Meskipun keadaan sekarang ini menyaksikan orang ramai telah kembali sibuk dengan rutin harian, namun sambutan tayangan filem di Astro First masih positif. Buktinya, filem terdahulu iaitu ‘Town Mall’, ‘Syif Malam Raya’, ‘Ada Apa Dengan Dosa’ dan ‘Manap Karaoke’ masih utuh mengungguli carta filem Astro First.


Terbaru, istimewa buat penonton, Astro Shaw membawakan sebuah filem komedi kekeluargaan. Lebih mengujakan, jenama Keluarga Iskandar sememangnya dekat dengan penonton Astro. Ini dapat dilihat menerusi momentum drama siri popularnya yang pada awalnya ditayangkan di saluran Astro Prima, manakala bagi musim kedua di saluran Astro Warna. Kami yakin ramai yang ternanti-nanti akan kemunculan semula Keluarga Iskandar, lebih-lebih lagi apabila banyak persoalan yang ditinggalkan pada pengakhiran musim kedua.


Jadi, kemunculan KITM akan menjawab segala tanda tanya peminat. Malah, buat penonton baharu masih boleh menikmati filem ini kerana kami merasakan KITM adalah sebuah karya yang baik di mana ia mempersembahkan realiti kehidupan dan karakter-karakter yang dekat dengan masyarakat di samping menerap nilai murni yang mampu dijadikan pengajaran. Harapan kami agar KITM dapat menghiburkan penonton serta mampu mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan sesama masing-masing," ujar Raja Jastina Raja Arshad.


Sebahagian besar barisan pelakon KITM terdiri daripada pelakon-pelakon asal siri kegemaran ramai itu. Antaranya adalah Kismah Johar, Hilal Azman, Zain Hamid, Anita Baharom, Azhar Sulaiman, Raja Ema, Sobri Anuar, Hiera Hassan, Izz Ilham, Khayrisyah Kemal, Wan Rania Humairah, Taqim Zaki, Wan Adam Danish dan Dhia Iskandar.

Selain itu, ia turut dimeriahkan lagi dengan penampilan khas para pelakon lain seperti Nabila Razali, Ajak Shiro, Faiz Dickie, Zarina Zainuddin, Amy Mastura, Razak Ahmad, Haeriyanto Hassan, Ustaz Nazri dan Shahkimin.


KITM mengisahkan Keluarga Iskandar merancang untuk konvoi bersama ke majlis perkahwinan Faris iaitu bekas teman lelaki Adibah di Pontian, Johor. Akan tetapi perjalanan ke majlis Faris agak lambat kerana Mak Jah asyik memaksa keluarganya menyinggah ke setiap satu rumah saudara sepanjang perjalanan ke Pontian. Dek kerana kebosanan, Princess dan Dardar telah merancang untuk ke taman tema tanpa pengetahuan keluarga mereka. Kehilangan mereka berdua telah menggemparkan keluarga Iskandar.


Temui karakter-karakter kesayangan anda menerusi filem KITM yang ditayangkan terus ke pawagam rumah anda, Astro First di saluran 480 bermula 16 Julai 2020.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton filem ini selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem ini, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING