ANDA DAH SEDIA UNTUK DIPUKAU OLEH YONNYBOII?


Hari ini penyanyi emo-rap popular Yonnyboii melakar sejarah tersendiri apabila tampil dengan sebuah album E.P. yang cukup istimewa berjudul ‘Yonny’, naskah yang akan mengungguli carta-carta muzik tempatan! Tampil dengan sembilan buah lagu, padat dengan lontaran vokal penuh emosi pastinya akan mengubat kerinduan terhadap peminat Yonnyboii yang menantikan buah tangan bintang pujaan Malaysia ini.

Sarat dengan pelbagai adunan emosi, penyanyi rap cukup terkenal sebagai pelakar melodi ini menyatakan kemunculan album E.P Yonny sebagai hadiah tidak ternilai bukan sahaja buat peminat-peminatnya bahkan sebuah karya mukadimah atau pengenalan dirinya kepada khalayak umum tentang siapakah Yonnyboii sebenar. Sungguhpun hanya berstatus album E.P, namun album ini sarat dengan pengisian jiwa muzik tulus untuk pendengar memahami gelojak rasa yang harus diteroka dan dihayati dalam setiap bait lirik dan melodi dihasilkan.


“Menerusi album E.P ini saya mengambil kesempatan memperkenalkan diri saya sebenar dengan menyatakan kejujuran setiap lenggok melodi serta pengisian lirik yang terkandung menerusi lagu-lagu saya sampaikan. Apa saya boleh nyatakan, album ini sarat merencanakan warna-warni seni Yonny, bak pelangi. Sebuah penceritaan sebelum dan selepas, ibarat rangka yang dibina untuk mengukuhkan pelengkap karya dalam album penuh selepas album E.P. Ibaratnya album E.P. Yonny adalah rangka sebelum manakala album penuh bakal terbit nanti pula merupakan binaan selepas yang telah lengkap strukturnya” jelasnya dengan teliti.

Formula Yonnyboii bikin lagu jadi jutaan tontonan

Sebagai bintang mega yang telah mencatatkan pencapaian sejarah industri hiburan sebagai lagu paling banyak dimainkan menerusi pelantar digital, Yonnyboii seakan sudah arif dengan selera pendengar sekarang. Tidak mustahil dengan kemunculan album E.P ‘Yonny’ bakal sekali lagi memukau peminat industri hiburan tanahair kerana magis yang ada pada bintang hebat seperti Yonnyboii!

Buktinya, single SALAHKU yang diterbitkan kurang beberapa bulan yang lalu telah mendapat tontonan lebih tiga juta tontonan di Youtube dan tular di semua pelantar muzik atas talian. Rentetan kejayaan demi kejayaan, tanpa memandang ke belakang, Yonnyboii terus melangkah melahirkan lagu-lagu berkualiti dalam album E.P “Yonny”, mahu mengulangi semula formula kejayaan sama dengan bekerjasama penerbit-penerbit yang dipertanggungjawab membantunya sebelum ini.

“Bagi saya, tak susah nak hasilkan album E.P. apabila dapat bekerja secara profesional dengan orang yang kita percayai. Sesunguhnya, terus-terang saya nyatakan kalau boleh saya nak buat semuanya sendiri, susah sebenarnya sebelum ini kerja-kerja seni saya dapat sentuhan orang lain. Namun selepas pengalaman kejayaan lalu, serta kualiti yang ada pada produser-produser ini menepati kehendak saya, saya rasa tidak salah untuk membina keyakinan dan mencipta semula kejayaan seperti sebelumnya,” jelasnya lagi.

Enam orang penerbit berbakat besar seperti Adam E, Freddie Laut, zachsutton, Vincent88, Mingaling dan Wolfie menjadi tunjang kepada pembikinan lagu-lagu seperti Salahku, Salahku 3.0, Pelikk, Bayang, Hidup Giler, Sheenta, Sheenta With Shee, Boleh Bla, Aku Itu Aku. Lagu Bayang misalnya mendapat sentuhan penerbit Adam E, penggubah lagu muda yang telah banyak menerbitkan lagu-lagu hit Yonnyboii sehingga menjadi siulan anak muda hari ini.

Mengambil masa kurang empat minggu ketika musim pandemik, sebanyak 80 peratus lagu-lagu dalam album E.P ini merupakan lagu-lagu yang pernah dirakamkan tetapi digubah semula dengan sentuhan penambahbaikan kualiti rakaman luar biasa.


Sheenta - Yonnyboii karang lagu cinta?

Kemunculan album E.P Yonnyboii menampilkan sisi lain penyanyi kelahiran negeri Perak ini apabila Yonny menggarap elemen cinta dalam lagu ‘Sheenta’, sebuah lagu yang berkisahkan seorang yang sudah angau dan mabuk cinta pada seorang gadis yang telah mencuit hatinya.

“Lagu ini menggambarkan bagaimana seseorang itu mahu meluahkan perasaan yang dipendam terhadap ‘crush’ dan berusaha untuk menawan hatinya. Menerusi lagu Sheenta juga dia mengisytiharkan rasa cinta pada buah hatinya itu dengan penuh rasa ikhlas dan tulus,” jelasnya tersenyum.

Apa yang menarik lagi, terdapat dua versi lagu Sheenta iaitu versi asal dan versi penampilan bersama bakat baru, Shee (Instagram - @sheeofficiall), sosial media influencer yang turut menyumbang suara dalam lagu cinta luar biasa ini. Berbeza dengan lagu-lagu hits garapannya, Sheenta pastinya akan menjadi batu pengukur terhadap kehebatan Yonnyboii menghasilkan karya secara versatile mengikut acuannya sendiri. Dengarkan, dan nilai sendiri!

“Harapan saya tidaklah terlalu tinggi, saya cuma minta pendengar menghayati sendiri setiap karya terhasil untuk mengenali siapa Yonnyboii. Setiap album baik album E.P sekalipun terkandung kisah perjalanan cerita hidup saya diterjemahkan dalam bentuk muzik, tersusun rapi untuk dikongsi secara eksklusif kepada pendengar-pendengar yang sentiasa menyokong saya. There’s story behind everything!” bicaranya lanjut dengan cukup teruja.

Album E.P berjudul ‘Yonny’ mengandungi sembilan buah lagu hebat Yonnyboii diterbitkan oleh syarikat rakaman Universal Music Malaysia dan Def Jam Malaysia boleh didengari semua pelantar muzik bermula 18 Disember 2020. 

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!