MALAYSIA BINA DATABASE GENETIK KANSER PAYUDARA ORANG ASIA


Dengan kerjasama Universiti Cambridge dan Pusat Perubatan Subang Jaya, Cancer Research Malaysia telah membina pangkalan data genetik dan genomik kanser payudara orang Asia yang terbesar sehingga kini. 

Terdahulu, majoriti genom yang berciri (jumlah DNA dalam organisma), yang digunakan dalam penyelidikan kanser payudara adalah daripada wanita Kaukasia - kurang daripada 5% datang daripada orang Asia, walaupun orang Asia membentuk lebih daripada separuh populasi dunia. 

“Maklumat genomik membolehkan kami melakukan diagnosis secara lebih tepat, serta memilih rawatan yang paling sesuai untuk setiap pesakit. Oleh itu, mustahak bagi kita menutup jurang dalam penyelidikan genom orang Asia, jika tidak kita berpotensi kehilangan maklumat genetik penting yang mungkin jarang didapati dalam kalangan orang Kaukasia, tetapi lazim dalam orang Asia. Melalui kajian, kami mendapati orang Asia berisiko tinggi mendapat kanser payudara yang agresif, lebih cenderung mempunyai gen TP53 bermutasi dan mempunyai profil tumor imun yang diperkaya. Penerbitan ini membuka pintu kepada penambahbaikan dalam ketepatan perubatan bagi pesakit kanser payudara Asia,” kata Profesor Datin Paduka Dr Teo Soo Hwang, OBE, Ketua Pegawai Saintifik di Cancer Research Malaysia, yang memimpin kajian ini. 

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal sains berprestij, Nature Communications, merupakan kolaborasi antara Cancer Research Malaysia, Profesor Carlos Caldas dan Dr Suet-Feung Chin dari Institut Penyelidikan Kanser UK Cambridge, Universiti Cambridge, Profesor Pathmanathan Rajadurai dan Profesor Emeritus Dato’ Dr Yip Cheng Har dari Pusat Perubatan Subang Jaya. 

Susunan genomik daripada 560 sampel tumor kanser payudara dianalisis dan didapati subjenis agresif yang mengekspresikan protein HER2 kerap berlaku dalam kalangan wanita Asia berbanding Kaukasia. 

“Subjenis kanser payudara HER2 adalah antara yang paling agresif, justeru faktor risiko mungkin berbeza daripada jenis kanser payudara yang lain. Kajian kami menunjukkan orang Asia mempunyai risiko yang lebih tinggi terhadap penyakit agresif jenis ini, sekaligus menekankan keperluan terhadap lebih banyak penyelidikan dilakukan dalam kalangan orang Asia supaya kita dapat menyelamatkan lebih ramai nyawa,” ulas Profesor Emeritus Dato’ Dr Yip Cheng Har, Perunding Pakar Bedah Payudara di Pusat Perubatan Subang Jaya, Ramsay Sime Darby Healthcare. 

Penyelidikan tersebut juga menunjukkan gen TP53 - sering disebut sebagai “penjaga genom” kerana melindungi sel normal daripada menjadi sel barah - lebih sering berubah dalam kanser payudara orang Asia berbanding Kaukasia. 

“TP53 sering bermutasi dengan lebih agresif dalam hormon negatif kanser payudara pada wanita Kaukasia. Pada pesakit kanser payudara Asia pula, kami melihat terdapat peningkatan mutasi TP53 dalam kes reseptor hormon positif, sekaligus menjadikan kadar kelangsungan hidup lebih rendah,” kata Dr Suet-Feung Chin, Penyelidik Senior di Universiti Cambridge, yang turut sama mempelopori kajian ini. 

“Kami juga mendapati kanser payudara orang Asia biasanya terdapat kehadiran sel-sel imun, oleh itu jika kita berjaya mencari cara untuk melawan lapisan yang melindungi kanser daripada dikesan oleh sistem imun tersebut, berkemungkinan kita dapat meningkatkan kelangsungan hidup bagi pesakit kanser payudara Asia,” kata Dr Pan Jia Wern, pengarang pertama kajian dan Timbalan Ketua Bioinformatik di Cancer Research Malaysia. 

Para penyelidik berpendapat peta genomik ini telah merangsang pendapat baharu mengenai rawatan kanser payudara untuk orang Asia. Sebagai contoh, percubaan klinikal baharu untuk menguji imunoterapi terhadap pesakit kanser payudara Asia telah bermula pada Julai 2020, diketuai oleh Cancer Research Malaysia dengan kerjasama ahli onkologi di Universiti Malaya dan Hospital Universiti Nasional Singapura. Meskipun begitu, lebih banyak lagi yang boleh dan harus dilakukan. 

“Hari ini menyaksikan pencapaian penting dalam misi kami untuk menyelamatkan nyawa melalui penyelidikan dalam kalangan orang Asia. Sasaran kami adalah untuk terus memastikan penyelidikan genomik lebih pelbagai dan inklusif agar semua populasi beroleh manfaat daripada kemajuan teknologi,” kata Profesor Datin Paduka Dr Teo Soo Hwang. 

Pasukan di Cambridge diketuai oleh Dr Suet-Feung Chin dan Profesor Carlos Caldas, di mana kemudahan makmal teras yang hebat telah membolehkan pemprofilan genomik secara ekstensif dilakukan. Profesor Caldas berkata, “Kami sangat berbesar hati dapat turut serta dalam kajian penting ini, yang saya gelar sebagai Asian METABRIC, kerana kajian ini selari dengan usaha kami untuk mencirikan kanser payudara secara ekstensif dan stratifikasi tumor kepada salah satu daripada 11 Kluster Integratif.” 

Kajian ini disokong oleh geran penyelidikan dan dana amal daripada Majlis Penyelidikan Perubatan UK melalui Dana Newton-Ungku Omar, Yayasan Scientex, Yayasan Sime Darby, Yayasan PETRONAS, Cancer Research UK dan kumpulan syarikat Estee Lauder. Baca hasil kajian di https://www.nature.com/articles/s41467-020-20173-5.

Kapsyen:

Duduk Dari Kiri 
  • Professor Pathmanathan Rajadurai, Consultant Pathologist at Subang Jaya Medical Centre (Lead Pathologist) 
  • Professor Datin Paduka Dr Teo Soo Hwang, OBE, Chief Scientific Officer, Cancer Research Malaysia (Lead of the Genomics Study) 
  • Professor Emeritus Dato' Dr Yip Cheng Har, Consultant Breast Surgeon at Subang Jaya Medical Centre (Clinical lead) 
Bersama kumpulan Cancer Research Malaysia yang terlibat dengan kajian Genomics (berdiri)

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

BUKAN SEKADAR HIBURAN, FILEM "MEREKA YANG TERTEWAS' MENGAJAK PENONTON MERENUNG MAKNA KEHIDUPAN

DARI DUBLIN KE RESORTS WORLD GENTING: RONAN KEATING BERSEDIA UNTUK PERSEMBAHAN YANG MENAKJUBKAN DI ARENA OF STARS PADA 15 FEBRUARI!