18 PUASA DI KAMPONG PISANG GABUNG 2 UNIVERSE MAMAT KHALID


Tentu semua tahu bila bercakap mengenai Hantu Kak Limah, francais filem komedi paling gempak nombor 1 Malaysia, jika awal tahun ini, premium Kampong Pisang Bersiri-Siri menerusi slot Astro Originals telah mendapat sambutan hangat daripada penonton sepanjang 13 minggu ia bersiaran. 

Kini, francais ini kembali lagi mengembangkan ‘universe’ nya menerusi gabungan dua ‘masterpiece’ iaitu Kampung Pisang dan 16&17 Puasa karya pengarah tersohor, Mamat Khalid. Ini adalah rentetan daripada kejayaan Kampong Pisang Bersiri-Siri; di mana ia bukan sahaja tular babak-babak, karakter dan dialog yang mencuit hati seperti “mee kari kuah laksa” di media sosial, tetapi fenomena Kampong Pisang turut mendapat perhatian serta pujian daripada Ketua Polis Balai Nusa Bestari, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor yang menyatakan bahawa jenaka Kampong Pisang Bersiri-Siri yang disampaikan dalam suasana santai mampu menghilangkan stress seharian akibat kerja.


Lebih menarik, kualiti produksinya juga telah meletakkan industri seni kreatif tempatan ke satu standard yang baru. Berikutan sambutan baik dan maklum balas positif yang diterima, pihak penerbit Astro Shaw dan produksi Enjit-Enjit Semut tidak teragak-agak untuk membawakan sebuah lagi karya terbaru arahan sutradara tersohor, Mamat Khalid iaitu 18 Puasa Di Kampong Pisang. Filem genre komedi tersebut akan menemui penonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 mulai 15 April 2021.


Uniknya, 18 Puasa Di Kampong Pisang adalah kesinambungan dan gabungan Kampong Pisang Bersiri-Siri dan telefilem eksklusif popular ketika bulan Ramadan dengan meraih kutipan memberangsangkan di platform Astro First, iaitu 16 Puasa dan 17 Puasa. Masih mengekalkan subjek utama ‘tidak berpuasa’; lebih menarik kali ini mesej yang cuba disampaikan oleh pengarah Mamat Khalid lebih berat dan pedas yang mampu menjentik hati untuk merenung kembali setiap tingkah laku manusia di samping memaparkan hiburan santai untuk seisi keluarga. Amat bersesuaian dengan bulan penuh barakah, 18 Puasa Di Kampong Pisang akan mengetengahkan mesej tersurat tentang hikmah berpuasa, zakat, fungsi Baitulmal, rukun islam, nilai murni bersedekah, solat taubat dan banyak lagi.

Manakala, daripada sudut kualiti produksi pula, karya kali ini menguji penggunaan teknik janaan imej komputer (CGI). Jalan cerita, babak-babak seperti gambaran di alam neraka, skrip serta dialog yang dipaparkan sudah pasti rekaan fiksyen semata-mata bagi menyampaikan mesej islamik dan menyerapkan rasa insaf dalam kalangan penonton.


Bagi watak pula, karakter-karakter utama daripada Kampong Pisang Bersiri-Siri masih dikekalkan. Antaranya Barkoba (Bell Ngasri), Pak Din (Kazar Saisi), Pak Karim (Mat London), Pak Jabit (Aziz M Osman), Cik Purnama (Dewa Sapri), Daud M (Joey Daud) Faguha Jabar (Rashid Othman), Ahmad Yasin (Ahmad Yasin) dan Yah Kuchei (Afea Deana). Selain itu, filem ini turut dimeriahkan dengan penampilan karakter istimewa seperti Tyson (Namron), Tyson (Jaafar Onn), Kiambang (Siti Elizad Mohamad Sharifuddin), Ustaz Kazim (Datuk Ustaz Kazim), Ayahanda Rani Kulop (Rani Kulop), Manap Sengau (Yeop Hitler), Penjaga Neraka (Man Raja Lawak) dan ramai lagi.

18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan tentang sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan. Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, tiba-tiba berlaku satu insiden. Dia telah didatangi si iblis dan membawa Barkoba kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya. Barkoba mengabaikan zakat, menganaiyai orang lain, mengajak melakukan kemungkaran serta menyebabkan kecederaan dan kematian Kiambang. Dapatkah Barkoba memperbetulkan kesalahannya yang lalu dan kembali ke dunia yang nyata dan berjayakah Barkoba menyelamatkan Kiambang.


Menurut Pengarah 18 Puasa Di Kampong Pisang, Mamat Khalid, “Filem ini membawakan pendekatan yang berbeza berbanding karya 16 Puasa & 17 Puasa. Sudah tentu nilai hiburannya masih ada, cuma terpulang kepada penonton bagaimana mahu menilai dan menerima filem ini. Apa yang boleh saya katakan, jalan cerita dan babak yang dipersembahkan mudah untuk penonton faham kerana ia memang berlaku di sekeliling kita atau memang terjadi pada diri sendiri. Sebagai manusia, mungkin kadang-kadang kita alpa dengan tanggungjawab sebagai seorang muslim, jadi diharap karya ini dapat mengajak penonton untuk refleksi diri lebih-lebih lagi dalam bulan mulia, bulan Ramadan.”

Sementara itu Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Ramai yang bertanya pada kami dan pengarah Mamat Khalid tentang kesinambungan 16&17 Puasa tahun lalu. Istimewanya tahun ini, kami tampilkan gabungan dua naskhah hebat iaitu Kampung Pisang dan telefilem yang sering diperkatakan menjelang bulan Ramadan, 16&17 Puasa yang turut menjadi salah satu telefilem yang paling tinggi ditonton di Astro First dan On Demand. Kehadiran filem 18 Puasa Di Kampong Pisang pasti akan mengubati rindu mereka di luar sana untuk menikmati hiburan dan bergelak ketawa. Lebih menarik, menerusi karya terbaru ini, penonton dapat menyaksikan sentuhan luar biasa dan dan mempunyai keunikkan tersendiri oleh Mamat Khalid Kami. Khas buat penonton, nantikan karya-karya hebat akan datang Mamat Khalid yang hanya boleh ditonton eksklusif di Astro.”


Saksikan filem 18 Puasa Di Kampong Pisang yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 15 April 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.


Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA