NETIZEN BAKAL TENTUKAN PLOT TWIST 'HATI YANG DIKHIANATI'


Drama bersiri ‘Hati Yang Dikhianati’ terbitan Astro Prima dan syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd. merupakan sebuah lagi naskhah adaptasi melayu daripada telenovela popular Venezuela, ‘My Three Sisters’ atau lebih dikenali dengan judul asal dalam Bahasa Sepanyol iaitu ‘Mis Tres Hermanas’. Kisah melodrama yang diterajui oleh Ricardo Alamo, Scarlet Ortiz dan Roberto Moll pada ketika itu pernah mencetuskan fenomena luar biasa ketika siri tersebut ditayangkan di Malaysia sekitar tahun 2002.

Karya ‘Mis Tres Hermanas’ versi Malaysia ini diarahkan oleh sutradara Riza Baharuddin serta turut menampilkan barisan penulis skrip yang diketuai oleh Eenaz Mokhtar. Antara barisan pelakon yang membintangi drama bersiri ini termasuklah Isyariana, Amar Baharin, Mona Allen, Zamarul Hisham, Che Puan Syamim Farid, Afifah Nasir, Arena Iman, Shah Iskandar, Mia Nasir, Fazlina Ahmad Daud, Sahronizam- Noor serta ramai lagi.


Tampil dengan format berbeza berbanding sebarang karya adaptasi yang pernah diterbitkan sebelum ini di platform Astro, buat julung kalinya struktur naratif penceritaan dan pembinaan watak naskhah ini bakal ditentukan berdasarkan konsep model interaktif terbuka atau ‘open-ended’ yang dipengaruhi oleh maklum balas audiens dan rekod jumlah tontonan dari semasa ke semasa. Jumlah keseluruhan episod untuk drama adaptasi ini juga turut bergantung kepada penerimaan penonton.


Menurut Norzeha Mohd Salleh, Pengurus Saluran Astro Prima, “Seperti yang umum ketahui, trend pembikinan drama dan kecenderungan audiens sering berubah mengikut peredaran masa. Oleh itu, Astro selaku pembekal kandungan utama di Malaysia memainkan peranan besar untuk menyumbang kepada perkembangan karya kreatif tanah air.

Sebelum ini, kami merupakan antara perintis awal yang mengangkat format adaptasi naskhah novel popular dan karya antarabangsa ke versi drama Melayu. Walaupun mengundang perdebatan yang hangat di kalangan peminat dan pembikin drama pada awal format tersebut diperkenalkan, namun ternyata keberkesanannya sudahpun terbukti menerusi puluhan drama yang telah kami terbitkan sebelum ini.

Terbaharu, kami ingin mengorak langkah terus ke hadapan untuk melakar sejarah baharu dengan memperkenalkan format interaktif ‘open-ended’ menerusi drama adaptasi ‘Hati Yang Dikhianati’. Menerusi format ini, kami memberikan kuasa kepada netizen untuk menentukan plot twist dan kesudahan yang mereka mahukan untuk drama ini. Sesebuah watak boleh berkembang atau dimatikan mengikut kecenderungan audiens. Begitu juga dengan jalan penceritaan secara keseluruhan.

Panel perunding khas yang berpengalaman telah dilantik untuk membuat penilaian semasa berdasarkan rekod jumlah tontonan serta maklum balas yang diterima daripada audiens. Kami juga tidak menetapkan sebarang episod khusus untuk drama ini kerana ia juga turut bergantung kepada data dan maklumat yang akan diproses oleh panel perunding kelak.



Format sebegini mungkin agak baru untuk masyarakat Malaysia. Namun, ia sebenarnya sudah popular dan sering diguna pakai oleh ramai ‘content creator’ di luar negara. Antara naskhah terkenal antarabangsa yang memberi inspirasi kepada kami untuk berkarya termasuklah ‘Hollyoaks’ dan ‘Eastenders’ terbitan BBC serta ‘General Hospital’ terbitan ABC. Ketiga-tiga naskhah tersebut sudahpun mempunyai ribuan episod dan masih lagi ditayangkan sehingga kini. Mengikut rekod juga, ramai bintang-bintang telah dilahirkan menerusi penerbitan naskhah ini.

Kemunculan media baharu telah mengubah cara audiens menikmati sesebuah kandungan pada era digital ini. Mereka juga lebih ekspresif dan mempunyai idea tersendiri yang ingin kami raikan bersama. Walaupun ini merupakan sebuah taruhan yang berani, namun kami yakin format ini akan disambut baik oleh penggemar drama Melayu yang mahukan kelainan.

Semoga drama ‘Hati Yang Dikhianati’ diterima baik dan bakal mengulangi fenomena naskhah ‘Mis Tres Hermanas’ yang asal. Selamat menonton!


SINOPSIS DRAMA ‘HATI YANG DIKHIANATI’

Setelah pemergian bapanya, Iskandar mengambil keputusan untuk berhenti persekolahannya dan terus bekerja demi membesarkan tiga adik perempuannya. 15 tahun berlalu selepas peninggalan ibu bapanya, Iskandar kini berkahwin dengan Maria dan tinggal bersama dua orang adiknya iaitu Lisa yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital komuniti serta adik bongsunya, Baby yang masih belajar.

Segalanya berubah apabila Lisa menyerang tapak pembinaan di sebelah hospitalnya dan berdepan dengan Zuhri Elyas yang merupakan ketua projek pembinaan tersebut. Pertemuan mereka secara perlahan membuahkan rasa kasih namun tanpa pengetahuan Lisa, Zuhri Elyas sebenarnya sudahpun bertunang. Dalam masa yang sama dia juga berselingkuh dengan Maria, kakak ipar kepada Lisa sendiri. Maria pula semakin tertekan ditambah dengan kehadiran adik iparnya Syaz dan suaminya Imran yang terpaksa berpindah ke rumah Iskandar kerana kehilangan kerja. Perlahan-lahan perjalanan cinta Lisa dan Zuhri ditempuh ranjau.


Drama ‘Hati Yang Dikhianati’ bakal bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 12 April 2021 di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

PESTA SEMBILAN MAHARAJA DEWA DAN AMALAN VEGETARIAN

LOSYEN DAILY MOISTURIZING ENERGIZING AVEENO® – STANDARD BAHARU DALAM PENGHIDRATAN KULIT DAN PENYEGARAN DERIA!