SIARAN ‘HATI YANG DIKHIANATI’ DIREHATKAN KERANA PKP 3.0

 

Susulan perlaksanaan PKP 3.0 melibatkan sekatan pergerakan skala penuh bagi sektor sosial dan ekonomi yang dikeluarkan oleh kerajaan atas faktor keselamatan, pihak Astro Prima dan syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd. mengambil keputusan untuk menghentikan sebarang aktiviti penggambaran drama adaptasi ‘Hati Yang Dikhianati’ atau ‘HYD’ yang kini masih lagi ditayangkan menerusi slot Tiara pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang berkuatkuasa serta merta.


Keputusan ini sekaligus memberi kesan kepada slot jadual siaran drama tersebut yang juga terpaksa direhatkan buat sementara waktu bagi episod ke-41 dan seterusnya bermula Isnin depan, 7 Jun 2021. Drama bersiri terbaharu ‘Derita Untuk Bahagia’ akan mengambil alih slot tersebut dan akan ditayangkan secara eksklusif buat pertama kali mulai 7 Jun ini.

Untuk makluman, drama ‘HYD’ mengetengahkan format interaktif ‘open-ended’ yang memberikan kuasa kepada netizen untuk menentukan plot twist dan kesudahan drama tersebut. Jalan penceritaan dan pembinaan watak turut dipengaruhi oleh maklum balas audiens dan rekod jumlah tontonan dari semasa ke semasa. Jumlah keseluruhan episod untuk drama adaptasi ini juga turut bergantung kepada penerimaan penonton.

Drama ‘HYD’ diarahkan oleh sutradara Riza Baharuddin serta turut menampilkan barisan penulis skrip yang diketuai oleh Eenaz Mokhtar. Antara barisan pelakon yang membintangi drama bersiri ini termasuklah Isyariana, Amar Baharin, Mona Allen, Zamarul Hisham, Che Puan Syamim Farid, Afifah Nasir, Arena Iman, Shah Iskandar, Mia Nasir, Fazlina Ahmad Daud, Sahronizam Noor serta ramai lagi.

Sebarang keputusan terkini berkenaan sambungan drama ‘HYD’ akan diumumkan kemudian.

Norzeha Mohd Salleh, Pengurus Saluran Astro Prima berkata, “Demi keselamatan bersama dan langkah berwaspada untuk mengelakkan sebarang risiko dan masalah jangka panjang, kami akur dengan perlaksanaan sekatan skala penuh yang dikeluarkan oleh kerajaan. Melihat kepada peningkatan kadar kes aktif semasa yang kini berada di peringkat kritikal, keputusan tersebut tidak mengejutkan dan sudah dijangka awal.

Selain memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, keputusan untuk menghentikan sebarang aktiviti penggambaran drama ‘HYD’ berkuatkuasa serta merta ini juga merupakan sebahagian daripada usaha proaktif kami untuk memutuskan rantaian Covid-19’.

Pihak Astro kini dalam usaha menyusun jadual baharu untuk sambungan drama tersebut dan masih belum boleh berkongsi sebarang maklumat lanjut mengenainya kerana perlu mengambil kira situasi semasa pandemik. Selain aspek keselamatan, faktor-faktor lain seperti ketersediaan lokasi, kesesuaian tarikh dan garis masa, syarat SOP yang lebih ketat dan sebagainya perlu dipertimbangkan.

Pengalaman menghadapi situasi sebegini sejak arahan PKP 1.0 dikeluarkan Mac tahun lalu amat membantu kami membuat persediaan awal sekiranya ia berulang kembali. Walaupun drama ‘HYD’ tidak dapat diteruskan menerusi slot Tiara mengikut perancangan asal, drama terbaharu ‘Derita Untuk Bahagia’ yang bakal kami pertaruhkan untuk mengisi kekosongan slot tersebut juga tidak kurang hebatnya.

Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran, drama ini berjaya disudahkan hasil kerjasama kreatif dan komitmen semua pihak yang terlibat. Syabas kami ucapkan terutamanya kepada Ejump selaku pengarah yang sanggup menyahut cabaran yang diberikan untuk berkarya di luar kotak dan zon selesa. Semoga drama ‘Derita Untuk Bahagia’ akan mengubat hati para pengikut setia slot Tiara di Astro Prima sekaligus diterima baik oleh rakyat Malaysia. Semoga terhibur!”

Ejump Mohd, Pengarah ‘Derita Untuk Bahagia’ berkata, “Syukur alhamdulillah saya dapat bekerjasama dengan barisan pelakon yang amat profesional dan mempunyai chemistry yang baik. Suasana di set penggambaran juga amat seronok dan hubungan kami rapat seperti sebuah keluarga.

Walaupun kami diuji dengan pelbagai cabaran sepanjang penggambaran dijalankan, namun saya berasa beruntung kerana dikurniakan sebuah pasukan yang amat komited dan cukup membantu. Selain berdepan dengan dua kali perlaksanaan fasa PKP, kami juga terpaksa menangguhkan penggambaran selama 40 hari, kehilangan lokasi, pertukaran di saat akhir dan sebagainya. Walaupun penuh kekangan, pengalaman tersebut amat manis dan cukup bermakna kepada perjalanan karier saya sebagai pengarah.

Para peminat drama tempatan perlu menonton drama ini kerana ia sarat dengan elemen yang cukup dekat dengan masyarakat kita seperti kekeluargaan dan persahabatan. Selamat menonton!”


Drama bersiri ‘Derita Untuk Bahagia’ terbitan Astro Prima dan syarikat produksi MIG Productions Sdn. Bhd. merupakan sebuah naskhah asal yang mengangkat genre kekeluargaan, persahabatan dan cinta. Drama 30 episod arahan Ejump Mohd ini turut menampilkan David Teo selaku Penerbit.

Kisah ‘Derita Untuk Bahagia’ bakal bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 7 Jun 2021 di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Comments

Popular posts from this blog

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

PROGRAM BAHARU ‘THE HARDEST SINGING SHOW’ CABAR VOKAL DAN KREATIVITI PENYANYI HEBAT TEMPATAN DI ASTRO