DRAMA KAHWIN PAKSA ‘CIK AYU MEE SANGGUL’ TIDAK KLISE
Drama bersiri ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ merupakan sebuah naskah asal yang mengangkat genre komedi romantik terbitan syarikat produksi Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. Berbeza dengan penceritaan kisah perkahwinan paksa yang sering disajikan sebelum ini, drama ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ memaparkan pengorbanan seorang janda muda yang mengahwini seorang duda tanpa ikatan cinta untuk menjadi ibu tiri kepada anaknya yang masih kecil dan memerlukan perhatian seorang ibu.
Idea asal dan skrip drama bersiri 16 episod ini diilhamkan oleh Nieza Nahar serta turut diarahkan oleh sutradara Idora Abdul Rahman. Drama ini turut dibintangi oleh Amelia Henderson dan Aqasha selaku teraju utama di samping barisan pelakon seperti Aryan Adzrin, Iman Zulkarnain, Shiqin Kamal, Fimie Don, Asha Merican, Nabil Aqil, Aznah Hamid, Mahmud Ali Bashah, Izzendra, Natasha Hamzah dan ramai lagi. Lebih istimewa lagi, drama ini turut diserikan dengan penampilan khas oleh Dato’ Rosyam Nor, Dynas Mokhtar dan Cat Farish.
‘Cik Ayu Mee Sanggul’ bakal bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 27 Julai 2021 menerusi slot Megadrama secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Raqim Ahmad, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro berkata, “Berdasarkan pengalaman kami, secara umumnya sebahagian besar audiens tempatan menggemari drama yang ringan dan santai. Oleh itu, kami selesa memilih genre ‘rom-com’ sebagai naratif penceritaan yang menggerakkan drama terbaharu taruhan slot Megadrama iaitu ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ kerana ia dekat dengan kelompok sasaran kami.
Tema cinta dan kasih sayang yang diangkat menerusi drama ini juga tidak klise, justeru ia memiliki keistimewaan tersendiri dengan jalan cerita yang ringkas tetapi mengesankan. Sungguhpun berunsur santai, drama ini juga sarat dengan mesej positif yang dapat memberi teladan sekaligus bakal mengheret emosi penonton untuk menyelami keindahan, kemanisan dan tangisan demi mencari kebahagiaan dalam sesebuah hubungan.
Syabas kami ucapkan kepada semua yang terlibat dengan pembikinan drama ini terutamanya kepada produksi Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. kerana berjaya menterjemahkan drama ini dengan baik dalam bentuk visual. Semoga drama ini diterima baik sekaligus mencipta fenomena yang tersendiri di kalangan peminat drama Melayu tempatan. Selamat menonton!”.
Idora Abdul Rahman, Pengarah ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ berkata, “Pengalaman mengarahkan drama ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ sewaktu musim pandemik Covid-19 dan fasa PKP masih berjalan amat mencabar sekali. Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai kekangan, pengalaman tersebut amat bermakna dan menyeronokkan. Saya bertuah kerana dapat bekerja dalam sebuah pasukan besar
yang sanggup bersusah payah bersama dan saling berkongsi idea dan pandangan demi mendapatkan hasil yang terbaik untuk naskhah ini.
Sebagai pengarah, saya juga amat gembira dengan keserasian yang berjaya dicipta oleh barisan pelakon terutamanya di antara Amelia Henderson dan Aqasha yang menyandang watak utama dalam drama ini. Umpama mee sanggul dan kuahnya, walaupun berlainan rasa dan tekstur tapi bila disatukan akan mendapat hasil yang sangat sedap untuk dinikmati. Begitulah antara hero dan heroin, gandingan mereka begitu serasi walaupun kedua watak tersebut mempunyai karakter dan personaliti yg berbeza.
Drama ini lengkap dengan pelbagai rasa yang mampu menceriakan hari sesiapa yang menonton. Ada rasa masam,manis, sedih dan gembira. Semoga terhibur!”
SINOPSIS:
Mengisahkan pengorbanan seorang balu muda yang menikahi seorang duda tanpa ikatan cinta demi menjadi ‘ibu segera’ kepada Uwais, anak duda tersebut. Ayu adalah pengusaha Mee Sanggul yang berjaya di Kota KL. Perkenalan dan hubungan rapatnya dengan Uwais serta Nek Wan ditentang oleh Akhtar apabila mendapat tahu Ayu adalah isteri kepada Arwah Tuan Baharom yang mewarisi segala hartanya. Akhtar skeptikal terhadap status janda Ayu kerana pengalaman pahitnya bersama bekas isterinya. Uwais pula masih kecil dan memerlukan perhatian seorang ibu. Ayu berkorban dan membuat keputusan untuk meminang Akhtar sendiri. Ayu juga didekati lelaki-lelaki lain dalam hidupnya yang sentiasa menjadi penghalang kisah cintanya.
Comments
Post a Comment