BAYER PERKENAL TELEFARMASI PERANCANGAN KELUARGA

 

Bayer telah memperkenalkan telefarmasi pertama di Malaysia khusus untuk perancangan keluarga di platform DOC2US. Platform telefarmasi ini mensasarkan untuk memperkasa wanita bagi memikul tangungjawab kesihatan pembiakan mereka dan membuat keputusan perancangan keluarga yang tepat menerusi alat kontraseptif oral yang mudah diperolehi dan telekonsultasi percuma oleh ahli farmasi.

Bayer, dengan kerjasama Alpro Pharmacy, BIG Pharmacy dan platform teleperubatan DOC2US melancarkan telefarmasi pertama untuk memperkasa dan mendidik wanita tentang kesihatan pembiakan mereka dan pilihan perancangan keluarga. Artikel harian yang terpampang di versi web dan aplikasi akan membolehkan pengguna terlibat dan menghadam maklumat penting kesihatan. DOC2US, doctor poket peribadi yang terdapat di hujung jari anda, membenarkan pengguna untuk berkomunikasi secara maya dengan pakar penjagaan kesihatan bila-bila masa di mana jua. Malah pelanggan yang datang terus boleh mendapatkan nasihat dengan lancar bersama pakar penjagaan kesihatan dari Alpro Pharmacy dan BIG Pharmacy, mendapatkan pil kontraseptif oral yang ditetapkan secara elektronik dan dengan mudah memilih penghantaran secara percuma (tertakluk pada Terma dan Syarat) atau mengambil sendiri di farmasi berdekatan. Telefarmasi ini kini terdapat di laman sesawang DOC2US dan akan tersedia di aplikasi mudah alih menjelang penghujung Ogos. 

“Peningkatan kebimbangan mengenai penularan COVID-19 telah mempercepat penggunaan teleperubatan di dalam negara, di mana semakin ramai rakyat Malaysia kian terbuka untuk menerima penyelesaian maya sebagai pilihan yang selamat dan berdaya maju dalam mencari penjagaan kesihatan dalam norma baharu masakini. Kami meramalkan unjuran ini berkembang, didorong oleh fakta bahawa DOC2US mencatatkan lebih daripada 200,000 preskripsi elektronik ditandatangani dari bulan Jun tahun lalu hingga Mei tahun ini. Penggunaan teleperubatan yang tinggi di Malaysia dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ditambah dengan jangkaan pengguna untuk menggunakan perkhidmatan kesihatan digital yang lebih besar dalam beberapa tahun akan datang akan membenarkan kita untuk memenuhi keperluan komuniti yang berpengalaman dalam teknologi dan menawarkan mereka kemudahan yang lebih baik, dan terutama sekali kepada wanita - akses untuk mendapatkan nasihat atau preskripsi kontraseptif bagi membantu kesihatan mereka dan merancang keluarga," kata Raymond Choy, Ketua Pegawai Eksekutif DOC2US. 

Oleh kerana masyarakat menghabiskan lebih banyak masa di rumah dalam tempoh sekatan pergerakan, kekerapan kehamilan yang tidak dirancang dan menjadi ibu bapa yang tidak dijangka semakin meningkat. Ramai wanita menangguhkan untuk mendapatkan nasihat pakar secara bersemuka dan rundingan perubatan mengenai keperluan kesihatan dan perancangan keluarga mereka kerana sekatan COVID-19 dan takut dijangkiti virus. Oleh itu, kekurangan atau ketiadaan keperluan untuk merancang keluarga berkemungkinan besar mengakibatkan kepada kehamilan yang tidak dirancang. 

Statistik kehamilan yang tidak dirancang di Malaysia dalam dekad yang lalu menunjukkan kadar purata pembuangan bayi berlaku tiga hari sekali. Bilangan kehamilan yang tidak dirancang meningkat semasa fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dapat dilihat di dalam laporan oleh Persatuan Hak Kesihatan Wanita Malaysia (RRAAM). Talian pengguguran mereka menyaksikan peningkatan panggilan hampir sepuluh kali ganda mengenai kehamilan lewat dan pada masa yang sama, klinik melaporkan penurunan kedatangan pesakit sebanyak 50% kerana sekatan perjalanan dan masalah kewangan1.

Ia sering tidak dibicarakan, tetapi kehamilan yang tidak dirancang dapat memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan mental, fizikal, dan emosi wanita. Ia juga boleh menyebabkan atau menambahkan tekanan kepada desakan kewangan, terutama di waktu ketidaktentuan yang sedang kita hadapi. Ahli Farmasi dari Alpro Pharmacy Malaysia, Jah Hanini berkata: “Ada banyak faedah dalam merancang keluarga terutama berkaitan dengan kewangan dan kesejahteraan keseluruhannya tetapi tidak ramai yang mencari pakar perunding yang sangat diperlukan. Kami menggalakkan wanita untuk berbincang dengan ahli farmasi atau doktor mereka untuk mempertimbangkan pilihan perancangan keluarga yang ada supaya mereka dapat memilih satu cara yang paling sesuai dengan gaya hidup dan keadaan mereka."

Peningkatan kehamilan yang tidak dirancang menunjukkan kekurangan dan kesedaran yang rendah terhadap pilihan perancangan keluarga, yang disumbangkan oleh stigma budaya atau agama, yang diperburuk oleh wabak masakini. Ia juga boleh menyebabkan ketakutan yang tidak wajar terhadap kesan sampingan dan risiko atau kesalahfahaman lain, yang akhirnya menghalang wanita daripada mendapatkan maklumat dan nasihat perubatan mengenai kontrasepsi oral.

"Kami mahu membersihkan stigma dan kesalahfahaman mengenai risiko kontraseptif oral atau kesan sampingan, dan mendidik wanita tentang pilihan yang ada supaya mereka dapat menjaga kesihatan pembiakan mereka. Platform ini menghubungkan pengguna dengan BIG Pharmacy untuk rundingan telefarmasi percuma dan ia memaparkan artikel, kajian penyelidikan dan forum terbuka yang dikhususkan untuk membantu keperluan perancangan keluarga. Kami berharap inisiatif ini dapat membantu menyelesaikan sebarang kebimbangan,” kata Loh Veng Foon, Pengurus Pembangunan Perniagaan, BIG Pharmacy.

Untuk melancarkan platform telefarmasi, tetamu khas Lim Jack Shen, Bendahari Kehormat, Persatuan Ahli Farmasi Malaysia yang mewakili Amrahi Buang, Presiden Persatuan Ahli Farmasi Malaysia, bersama Tasha Shilla telah menyertai panel perbincangan bersama DOC2US, Alpro Pharmacy dan BIG Pharmacy, dan berkongsi pendapat mereka tentang memperkasa wanita untuk menjaga kesihatan mereka dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka melalui perancangan keluarga.

Amrahi berkata, "MPS sangat menyokong pelbagai usaha dan strategi pencegahan untuk mendidik wanita mengutamakan kesihatan mereka dan membuat pilihan tepat mengenai perancangan keluarga. Merancang keluarga akan dapat meningkatkan kualiti hidup dari segi kewangan dan kesejahteraan keseluruhan. Wabak COVID-19 telah menimbulkan ancaman secara tiba-tiba untuk kesihatan wanita dan kemampuan untuk merancang keperluan keluarga mereka dengan membataskan rundingan kesihatan secara bersemuka bagi mendapatkan nasihat pakar. Pelancaran telefarmasi pertama Malaysia yang dikhususkan untuk perancangan keluarga datang tepat pada masanya dan merupakan langkah inovatif untuk memberi lebih banyak ahli farmasi peranan aktif dalam meningkatkan pendidikan dan kaunseling kontrasepsi. Meningkatkan akses kepada alat kontraseptif dapat mengurangkan keperluan merancang keluarga yang tidak dijangka serta menghilangkan mitos kontraseptif dan tindakan mendapatkan nasihat perubatan. "

Sebagai ibu, isteri dan wanita yang berjaya dalam kerjaya, Tasha Shilla berkongsi bahawa "merancang bila waktu untuk memiliki anak dengan nasihat yang betul telah membenarkan saya untuk terus kekal dalam halatuju kerjaya saya dan memberi keluarga saya fleksibiliti untuk mempersiapkan diri bagi langkah seterusnya mengikut keselesaan kami. Terdapat rasa bebas tertentu semasa membuat keputusan merancang keluarga dengan tepat. "

Usaha Bayer untuk meningkatkan kesedaran mengenai manfaat perancangan keluarga dan kaunseling kontraseptif mendorong wanita untuk membuat pilihan yang tepat dengan kebebasan untuk memutuskan bila dan berapa ramai anak yang mahu dimiliki. Ini termasuk chatbot ‘Ask Maya’ dan laman sesawang ‘How U Know’ yang bertujuan untuk merapatkan jurang pengetahuan dengan memberikan akses lebih mudah kepada maklumat yang boleh dipercayai mengenai pilihan kontraseptif dan kesihatan pembiakan.

Angeline Chong, Ketua Unit Perniagaan - Penjagaan Kesihatan Wanita Malaysia, Singapura dan Brunei, Bayer Pharmaceuticals berkata "Bayer mempunyai sejarah panjang dalam kesihatan wanita dan kami telah menyokong program perancangan keluarga selama lebih daripada 50 tahun dengan portfolio kontraseptif inovatif kami. Kami terus berinovasi untuk mencari cara baru bagi melibatkan wanita setiap hari dan melengkapkan mereka dengan maklumat yang tepat dalam pemilihan dan penggunaan alat kontraseptif yang berkesan. Pelancaran platform telefarmasi baru hari ini yang dikhususkan untuk perancangan keluarga membawa komitmen kami ke tahap seterusnya dengan memanfaatkan industri kesihatan digital yang kian berkembang. Kerjasama kami dengan DOC2US, Alpro Pharmacy dan BIG Pharmacy bertujuan untuk memberi peluang kepada wanita mengawal kesihatan pembiakan mereka dan berusaha untuk menyediakan ruang yang selamat bagi keperluan perancangan keluarga mereka.”

Kerjasama antara Bayer dan DOC2US adalah komitmen jangka panjang yang memanfaatkan sumber teleperubatan untuk menyokong kesihatan wanita dan meningkatkan kesedaran mengenai kaedah perancangan keluarga yang ada. "Platform ini menghubungkan pesakit dengan ahli farmasi dan memberikan akses yang lancar kepada nasihat perubatan atau preskripsi pada bila-bila masa, di mana sahaja - tanpa mengira perubahan larangan pandemik," Angeline mengakhirinya.

Untuk maklumat lanjut mengenai perancangan keluarga dan nasihat telefarmasi percuma, sila lawati https://bit.ly/BayerDOC2US.


Feature photo by: People photo created by jcomp - www.freepik.com

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!