FORUM KANDUNGAN LANCAR VISI BARU SEMPENA ULANG TAHUN KE-20


Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Forum Kandungan) mengumumkan penjenamaan semulanya, dengan menekankan komitmen untuk merealisasikan ruang digital yang lebih selamat dan kandungan yang lebih inklusif untuk semua.

Ditubuhkan pada tahun 2001, Forum Kandungan adalah badan pengawalseliaan kendiri bebas yang berfungsi untuk menggalakkan penghasilan dan penggunaan kandungan yang bertanggungjawab di semua medium rangkaian elektronik. Dengan penjenamaan semula ini, Forum Kandungan berazam untuk menyempurnakan hala tuju baru dan memantapkan peranannya dalam industri kandungan.

Pengarah Eksekutif Forum Kandungan, Mediha Mahmood, menyatakan usaha penjenamaan semula ini menandakan iltizam organisasi tersebut untuk meningkatkan penglibatan orang ramai dalam semua inisiatif Forum Kandungan. “Kami menggalakkan penglibatan masyarakat umum dalam usaha berterusan Forum Kandungan untuk lebih progresif bagi memastikan ekosistem pengawalseliaan diri kandungan diperkukuhkan lagi di Malaysia. Pada masa yang sama, kami ingin mengekalkan kepercayaan masyarakat dengan sentiasa bersikap telus dalam segala inisiatif kami. Sempena ulang tahun ke-20 Forum Kandungan pada tahun ini, ia adalah peluang yang terbaik untuk kami mengemas kini jenama kami, dan bekerjasama dengan orang ramai untuk turut memperhebatkan lagi ekosistem industri kandungan Malaysia,”katanya.

Forum Kandungan juga berhasrat untuk merealisasikan objektif utamanya iaitu menggalakkan pengawaseliaan kendiri kandungan di Malaysia. Ini dapat dicapai dengan penglibatan berterusan oleh masyarakat. "Industri kandungan adalah amat luas, dan pada zaman ini, semua kandungan dapat disebarkan dengan tersangat pantas. Kawalseliaan kendiri adalah cara yang terbaik untuk menggalakkan ekosistem kandungan yang sihat. Ini memerlukan penglibatan penghasil dan juga pengguna kandungan, di mana semua pihak diberi kesedaran tentang amalan terbaik (best practices) yang digunapakai dan juga diberi kuasa untuk memupuk kandungan yang beretika,”kata Mediha.

Demi merealisasikan hasrat untuk meningkatkan penglibatan masyarakat, Forum Kandungan bakal melancarkan rundingan awam di seluruh negara. Dijadualkan bermula pada akhir bulan September tahun ini, rundingan awam ini bertujuan untuk mendapatkan maklum balas dari pihak berkepentingan dan juga masyarakat umum, mengenai cadangan semakan semula Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Kod Kandungan).

“Rundingan awam ini adalah inisiatif penting yang sejajar dengan visi baru Forum Kandungan dan kami berharap ianya dapat menghimpunkan sebanyak mungkin perspektif dari pelbagai lapisan masyarakat. Semua pindaan yang disarankan adalah berdasarkan kepada isu-isu semasa yang telah muncul di lanskap media tempatan. Maklum balas orang ramai adalah sangat penting kerana ianya dapat membantu kami merumuskan amalan dan inovasi terbaik yang relevan dalam industri kandungan negara ini”kata Mediha.

Digubal oleh Forum Kandungan dan diperkenalkan pada tahun 2004, Kod Kandungan adalah garis panduan lengkap yang menggariskan amalan terbaik dan piawaian etika untuk pencipta dan penyebar kandungan. Usaha terakhir bagi semakan Kod Kandungan telah dilaksanakan pada tahun 2019 dan ianya juga telah melibatkan rundingan awam, di mana pihak berkepentingan memberi maklum balas untuk empat pindaan utama, termasuk peruntukan baru untuk melindungi privasi di kalangan pengguna.

Sementara itu, semakan semula yang diusulkan tahun ini adalah bertujuan untuk mengatasi jurang dasar yang telah wujud dalam pengawalseliaan kandungan, khususnya untuk isu-isu penting yang baru timbul. Antara fokus utama untuk semakan semula tersebut merangkumi peruntukan yang menangani penyalahgunaan dalam talian dan keganasan berdasarkan gender, pembelaan hak Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mendapatkan akses kepada kandungan dan larangan terhadap kandungan yang menyinggung OKU serta peruntukan yang melarang eksploitasi agama untuk memasarkan produk atau perkhidmatan.

Dalam memastikan kesinambungan usaha Forum Kandungan bagi aspek perlindungan pengguna, pindaan lain yang disarankan adalah untuk menggalakkan iklan yang bertanggungjawab, melalui peruntukan yang memastikan para pempengaruh media sosial (social media influencers) dan pemberita mendedahkan promosi berbayar, dan juga peruntukan yang lebih baik untuk melindungi anak-anak di bawah umur dari menjadi sasaran manipulasi iklan.

Maklumat lanjut mengenai rundingan awam bagi semakan semula Kod Kandungan serta saluran bagi maklum balas awam akan dipaparkan di http://www.contentforum.my

Feature photo by: Woman photo created by our-team - www.freepik.com

Comments

Popular posts from this blog

ANTA MALAYSIA MELANCARKAN KEMPEN SUMBANGAN KASUT SEMPENA RAMADAN

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA