HILANG DALAM RINDU: DRAMA SAMARINDA TV3 YANG PENUH TEKA-TEKI DAN MAINAN EMOSI


“Mama…? Mak cik ni siapa?”

Dengan satu soalan yang polos namun penuh tanda tanya, bermulalah kisah Hilang Dalam Rindu — sebuah drama baharu yang bakal menghiasi slot Samarinda TV3. Drama ini membawa penonton menyelami perjalanan seorang wanita yang kehilangan ingatan dan terpaksa merungkai semula hidupnya, memori demi memori, untuk mencari kebenaran yang selama ini tersembunyi.

Diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn Bhd dan diarahkan oleh Along Kamaludin, drama 20 episod ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Tracie Sinidol, Jazmy Juma, Qistina Rania dan Zarif Ghazzi. Bersiaran mulai 17 Julai 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3, penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di Tonton melalui www.tonton.com.my.

Aira Nadira: Siapa Dia Sebenarnya?

Watak utama, Aira Nadira (lakonan Tracie Sinidol), terjaga daripada koma tanpa mengingati sepuluh tahun terakhir hidupnya. Lebih membingungkan, dia kini bergelar isteri kepada Nadim Eijaz (Jazmy Juma), lelaki yang dingin dan tidak menunjukkan sebarang kasih sayang terhadapnya.

Kisah Aira berlatarkan konflik rumah tangga yang rumit, hubungan beracun dengan adik iparnya, dan satu rahsia besar yang menjadikan perkahwinan itu bukan atas dasar cinta, tetapi agenda tersembunyi. Ketika benih cinta mula tumbuh dalam situasi yang serba kabur, Aira terpaksa berdepan dengan kebenaran paling pahit — siapakah dirinya yang sebenar, dan apakah yang telah dia lakukan hingga ramai membencinya?


Dua Versi Aira, Dua Dunia Berbeza

Menurut Tracie Sinidol, watak Aira benar-benar menguji keupayaan lakonannya.

“Cabaran terbesar adalah untuk menjiwai Aira dalam dua versi yang berbeza. Saya perlu tukar emosi, bahasa tubuh dan intonasi berdasarkan siapa Aira ketika itu, sama ada sebelum atau selepas koma. Aira sebelum ini penuh dengan kemarahan dan dendam, manakala Aira selepas koma pula kosong, lembut dan keliru. Secara keseluruhan, pengalaman ini sangat bermakna buat saya.”

Jangan ketinggalan menyaksikan Hilang Dalam Rindu yang akan bersiaran mulai minggu hadapan, kerana dalam setiap ingatan yang hilang, tersimpan rahsia yang belum terjawab.

Untuk info terkini dan kandungan eksklusif, ikuti laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia serta Instagram @dramasangat.

Comments

Popular posts from this blog

MANDUL BUKAN PILIHAN: BILA CINTA TERUJI OLEH TAKDIR