4 PETUA UNTUK MENIKMATI SNEK DENGAN LEBIH BIJAK


Bagi ramai rakyat Malaysia, kebiasaan untuk menikmati snek atau kudapan adalah sebahagian daripada budaya makan kita. Lebih-lebih lagi dengan pelbagai pilihan seperti kuih-muih, biskut, coklat, kerepek, keropok, kekacang, buah-buahan, dan juga banyak variasi minuman. Sesetengah orang mungkin mengambil snek untuk alas perut di antara waktu makan, ada juga yang perlukan snek apabila kurang bertenaga. Satu tinjauan oleh Mondelez International menerusi kempen #JomSnekBijak mendapati 74% rakyat Malaysia menikmati snek untuk menyenangkan hati serta memuaskan selera.

‘Snek dengan lebih bijak’ atau mindful snacking merupakan satu pendekatan positif yang memfokuskan kepada konsep makan dengan bersebab (niat), makan dengan lebih peka (beri perhatian) dan dengan bersederhana. Ia menggalakkan kita untuk bertanya kepada diri sendiri, ‘Apa saya teringin nak makan dan apa sebabnya?’, ‘Tekstur atau rasa apa yang saya idamkan – manis, masin, masam atau lain- lain’, dan ‘Bagaimana perasaan saya selepas makan hidangan atau snek tersebut?’ Amalan ini akan membantu anda untuk lebih memahami dan peka dengan makanan dan snek yang dinikmati.

Mari ikuti empat petua atau tip yang dapat membantu anda membuat pilihan yang lebih bijak.

1. PEKA DENGAN ISYARAT BADAN ANDA – LAPAR, TERINGIN, KENYANG DAN PUAS MAKAN

Cuba beri perhatian dan peka dengan isyarat atau pencetus dalaman badan anda, kerana ianya adalah petunjuk sama ada keinginan untuk makan pada masa itu adalah keperluan fungsi atau emosi. Tanya diri, adakah anda mengidamkan sesuatu untuk hilangkan rasa lapar, atau kerana anda rasa tertekan, atau rasa kurang bertenaga dan perlukan snek. Walau apapun snek yang anda pilih, sekiranya anda lebih peka dengan mengapa dan apa jenis snek yang diidamkan, ianya dapat mendorong ke arah pilihan yang lebih bijak, serta menggalakkan pengambilan nutrisi seimbang.

2. MAKAN DENGAN PERLAHAN

Nikmati makanan atau snek anda secara perlahan-lahan. Jangan gelojoh! Ini kerana amalan makan secara perlahan dapat menghindari daripada jadi pelahap atau terlebih makan. Kunyah sehingga habis, sebelum makan suapan yang seterusnya. Terbukti makan dengan perlahan mempunyai banyak kebaikan, termasuklah penghadaman yang lebih baik, mendapat lebih kepuasan, serta membenarkan badan anda untuk menghantar isyarat kepada otak bagi memaklumkan bahawa anda sudah kenyang – kerana otak memerlukan lebih kurang 20 minit dari mula makan untuk mencetuskan isyarat ‘Saya dah kenyang’.

3. RANGSANGKAN SEMUA DERIA SEMASA MAKAN

Nikmati snek dengan menumpukan kesemua deria pancaindera anda – bukan hanya deria rasa, malah juga deria hidu, sentuhan, penglihatan, serta nikmati keenakan rasa, aroma, tekstur, bentuk dan warna snek tersebut. Jika anda melakukan aktiviti lain semasa makan, seperti menggunakan telefon atau menonton TV, ia mungkin akan menyebabkan anda terlebih makan, atau rasa tidak puas makan.

4. RUJUK KEPADA KUANTITI ATAU PORTION YANG DISARANKAN PADA BUNGKUSAN PRODUK SERTA BAHAN-BAHAN

Antara petua mudah untuk mengimbangi snek yang dimakan ialah dengan merujuk kepada kuantiti atau portion yang disarankan serta ikon ‘Snack Mindfully’ pada bungkusan produk. Malah, sebelum mendapatkan snek, jadikannya satu kebiasaan untuk membaca bahan-bahan dan fakta nutrisi pada bungkusan. Gunakan peluang apabila ingin menikmati snek dengan menambah khasiat dalam makanan harian, antaranya dengan memilih snek seperti buah-buahan, kekacang atau kudapan yang lebih sihat, dan bukan semata-mata untuk puaskan keinginan makan.

Perlahan-lahan biasakan diri untuk lebih peka apabila menikmati snek dan cuba untuk kekal konsisten. Beri galakan dan motivasi kepada diri sendiri dan keluarga anda untuk mencapai keseimbangan dan memupuk hubungan yang lebih positif dengan makanan. 

      

Feature photo by: Food photo created by teksomolika - www.freepik.com


Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!