SUNWAY CARNIVAL MALL GANDAKAN RUANG RUNCITNYA
Sunway Malls masih berada di landasan bagi projek fasa penambahannya sementara merungkai barisan pekedai utama yang akan menyertai Sunway Carnival Mall baru-baru ini.
Projek pengembangan yang bernilai RM500 juta ini bakal menyaksikan Sunway Carnival Mall menggandakan ruang runcitnya kepada 1 juta kaki persegi daripada keluasan semasa, iaitu 500,000 kaki persegi serta mengesahkan bahawa 95% daripada ruang tersebut telah disewa setakat ini. Fasa penambahan pusat beli-belah ini dijadualkan siap pada 1 April 2022 dan dijangka bakal dihuni 100% menjelang separuh kedua tahun 2022. Ia juga mengunjurkan bahawa kunjungan tahunannya akan mencecah 12 juta setelah projek tersebut disempurnakan.
Penambahanan ruang runcit ini akan memberi peluang kepada Sunway Carnival Mall untuk memperkenalkan pelbagai jenama yang pertama kali membuka tirai operasinya di bahagian tanah besar negeri Pulau Pinang, di samping kedai-kedai yang juga buat julung kalinya akan bertapak di Pulau Pinang serta aneka kedai berformat besar; iaitu termasuk jenama-jenama antarabangsa, serantau, dan tempatan seperti Jaya Grocer, JD Sports, Bath & Body Works, Innisfree, Laneige, Victoria Secret, dan banyak lagi. Ia juga bakal menempatkan GSC Cinemas yang terbesar di wilayah utara dengan 13 buah skrin.
Dengan keluasan berganda, jumlah kedai akan meningkat sebanyak 60% daripada 220 kedai kepada 350 kedai. Secara kolektif, langkah ini dijangka bakal merancakkan aktiviti ekonomi dan sosial menerusi tambahan 1,500 peluang pekerjaan baharu buat komuniti tempatan.
Meskipun proses pengembangan ini terpaksa menghadapi cabaran wabak COVID-19; Sunway Malls kekal optimistik mengenai potensi jangka panjang bagi pasaran runcit di Pulau Pinang.
Mengikut data ekonomi tahun 2019sebelum pandemik melanda, median pendapatan isi rumah bulanan di Pulau Pinang meningkat pada kadar yang tinggi berbanding median perbelanjaan isi rumah tahunan sepanjang 2016–19, menyingkap peningkatan dalam pendapatan boleh guna. Ia mencakupi pecahan isi rumah T20 yang keempat terbesar di dalam negara.
Pulau Pinang juga menikmati kadar urbanisasi yang tinggi pada paras 91% dengan kepadatan populasi sebanyak 1,500 individu per kilometer persegi, iaitu antara yang tertinggi di Malaysia.
“Pulau Pinang merupakan pasaran yang sangat urban, juga berpendapatan tinggi lagi arif. Tunjang yang kukuh ini menunjukkan betapa pentingnya bagi kami untuk bersedia menyambut kepulangan normaliti,” jelas HC Chan, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls & Theme Parks.
“Hasrat Sunway Malls adalah untuk memastikan pengaruh jenama runcitnya dikenali lebih komprehensif dan melangkaui sempadan Lembah Klang hingga ke pasaran urban utama yang lain. Kami ingin menjana pertumbuhan, menggubah dan menyempurnakan landskap peruncitan di Pulau Pinang,” tambah Chan.
“Kami juga percaya bahawa wawasan berjangka panjang dan progresif yang turut melangkaui krisis semasa adalah dikehendaki. Oleh itu, kami masih yakin dan akan meneruskan pembangunan buat masa hadapan - didahului dengan Sunway eMall, dan kini menerusi pengembangan Sunway Carnival Mall. Visi jangka panjang industri pusat beli-belah masih cerah dan teguh,” ujar Chan.
Menurut Pengurus Besar Sunway Carnival Mall, Chai Wen Yew, objektif utama pusat beli-belah ini adalah untuk memberi khidmat buat warga Pulau Pinang serta menunaikan keperluan komunitinya yang kian berkembang, terutamanya di tanah besar Seberang Perai .
“Tuntasnya, hasrat kami adalah untuk membekalkan sebuah pengalaman yang menarik, interaktif dan yang terbaik bagi memenuhi gaya hidup para pengunjung tidak kira latar belakang mereka. Perniagaan fizikal masih akan kekal relevan pascapandemik. Kunjungan yang dibuat ke pusat beli-belah merupakan satu aktiviti sosial, ia memberi peluang kepada kita untuk bersua dengan rakan-rakan, membuat kenalan baharu, dan mendapatkan barangan berkualiti,” tambah Chai.
“Setelah fasa penambahan tersebut disempurnakan, fokus kami yang seterusnya adalah ke atas penambahbaikan bangunan Sunway Carnival Mall,” simpul beliau.
Sementara itu, kumpulan pusat beli-belah ini juga telah melaporkan pemulihan yang positif. Setakat November 2021, trafik dan jualan, masing-masing telah menunjukkan paras normaliti 80% dan 90% berbanding jangka waktu yang sama pada tahun 2019 sebelum pandemik. Kumpulan pusat beli-belah ini menjangkakan angka ini dapat dikekalkan sehingga musim perayaan pada hujung tahun ini.
Sunway Malls optimistik bahawa pemulihan ini dapat diteruskan mengikut panduan keselamatan yang digariskan oleh kerajaan. Ia menjangkakan paras prestasi setaraf prapandemik dapat dikecapi dalam tempoh yang terdekat.
Comments
Post a Comment