CARA ELAK MAKAN BERLEBIHAN DI TAHUN BAHARU CINA

 

Tahun Baru Cina yang bakal berkunjung tiba kali ini pasti lebih meriah kerana perayaan dapat disambut bersama saudara-mara dan sahabat-handai, sambil menikmati juadah yang lazat. Namun, kebanyakan sajian dan masakan perayaan mempunyai kandungan kalori tinggi tetapi kurang nutrien yang diperlukan oleh badan kita.

Satu cara untuk mengelakkan pengambilan manisan dan makanan kurang sihat pada Tahun Baru Cina ini adalah melebihkan pengambilan protein dalam makanan, sambil mengurangkan karbohidrat terproses dan lemak. Anda akan rasa lebih kenyang dan dengan itu kurang makan dan mengelakkan kudapan kurang sihat.

Peranan Protein

Protein adalah penting untuk membantu anda membina dan mengekalkan jisim otot tanpa lemak. Sebagai sebahagian penting daripada diet yang sihat, protein merupakan salah satu blok binaan utama bagi banyak komponen sel dalam badan anda. Protein juga membantu menjadikan sajian lebih mengenyangkan. Sertakan protein dalam setiap sajian dan snek supaya kita rasa kenyang sepanjang hari sambil memenuhi keperluan protein individu – yang berbeza mengikut saiz dan komposisi badan, umur dan tahap aktiviti seseorang.

Makanan yang kaya dengan protein seperti daging, ayam, telur, kekacang dan bijian juga membekalkan vitamin-vitamin B, vitamin E, zat besi, zink dan magnesium. Jadi apabila anda menambah protein sambil mengurangkan kalori yang sia-sia, anda mendapat manfaat nutrien tambahan untuk memenuhi keperluan badan anda.

Bagaimana Untuk Elakkan Makan Berlebihan Semasa Musim Perayaan

Berikut adalah beberapa cara mengutamakan protein dalam diet sambil anda menempuh segala dugaan selera untuk beraya sakan sempena Tahun Baru Cina:


Nikmati Sarapan Sihat yang Kaya dengan Protein

Mulakan hari anda dengan sarapan yang mengandungi banyak protein – kira-kira 25 gram sudah cukup. Daripada menikmati sarapan biasa seperti bijirin atau roti, cuba minuman shake pengganti makanan atau emping oat yang dikisar dengan serbuk protein. Kajian menunjukkan bahawa sarapan yang kaya dengan protein bukan sahaja memastikan anda kenyang sehingga tengah hari tetapi juga membantu mengehadkan pengambilan makanan sepanjang hari*.

Menikmati Snek Berkhasiat

Jangan menghadiri majlis perayaan dengan perut kosong. Nikmati snek yang mengenyangkan sebelum itu, seperti yogurt Greek kosong dengan buah-buahan, atau snek bar protein sebelum anda keluar rumah.

Anda juga boleh membawa sedikit makanan ringan bersama, seperti kuaci atau bar protein jika perlu.

Pilih Sajian Perayaan dengan Teliti

Di majlis makan besar Tahun Baru Cina dan juga rumah terbuka, ada beberapa cara untuk menjaga kesihatan sambil menjamu selera. Cuba dapatkan sumber protein tanpa lemak seperti ikan, ayam dan daging tanpa lemak yang dipanggang atau sumber protein sayur seperti tauhu, dan kurangkan sos dan kuah yang berkalori tinggi.


Anda juga boleh mengurangkan pengambilan nasi putih berkanji, ban kukus dan ladu. Sebaliknya, ambil lebih banyak sayur dan juga kacang dan bijian yang kaya protein, seperti nasi perang atau tepung serat penuh. Jangan lupa untuk menjaga pengambilan ‘kalori cecair’ seperti minuman bergula dan berkarbonat di majlis perayaan yang lazimnya mengandungi banyak kalori. Secawan teh Cina kurang manis atau segelas air berbuih (sparkling water) dengan sentuhan rasa lemon atau limau nipis juga sesuai untuk sambutan perayaan tetapi tidak mengandungi kalori selain memastikan badan anda mendapat air secukupnya.

Anda tidak perlu menolak sama sekali semua hidangan dan kuih-muih Tahun Baru Cina kegemaran anda. Satu cara untuk mengawal pemakanan adalah dengan tidak mengambil kuih yang boleh didapati sepanjang tahun seperti biskut kacang, dan menikmati sedikit sajian istimewa Tahun Baru Cina, seperti tart nenas dan kuih bakul.

Jangan lupa untuk meneruskan (atau memulakan!) rutin senaman anda – anda bukan sahaja akan rasa lebih sihat, tetapi anda pasti akan tampak lebih menarik dalam pakaian raya atau cheongsam anda untuk mengalu-alukan ketibaan Tahun Harimau!

 

*Kajian ini tidak melibatkan produk Herbalife Nutrition.

Artikel oleh: Susan Bowerman, M.S., R.D., CSSD, CSOWM, FAND – Pengarah Kanan, Pendidikan dan Latihan Pemakanan Sedunia, Herbalife Nutrition 

Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA