RAWATAN TAMBAHAN DISARANKAN UNTUK HIPERTENSI TIDAK TERKAWAL


Kumpulan Kerja Penyahsarafan Renal Malaysia (MyRDN), sebuah usaha sama antara Persatuan Hipertensi Malaysia dan Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, memberi previu kertas konsensus mereka mengenai penyahsarafan (denervation) renal buat pertama kalinya hari ini. Kertas tersebut memberi saranan dan garis panduan untuk pakar-pakar penjagaan kesihatan mengenai penggunaan prosedur ini dalam merawat pesakit hipertensi.

Profesor Datin Dr Chia Yook Chin, Pengerusi Bersama MyRDN dan Bekas Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia berkata: “Hipertensi adalah satu masalah yang serius di negara kita, di mana tiga daripada 10 rakyat Malaysia mengalami tekanan darah tinggi, namun hanya separuh daripada mereka sedar bahawa mereka menghidap penyakit ‘tersembunyi’ ini.

“Selain itu, walaupun 90% daripada pesakit yang tahu mereka menghidap hipertensi mengambil ubat-ubatan, hanya separuh dapat mengawal tekanan darah mereka dengan baik. Ini bermakna kira-kira 1.4 juta rakyat Malaysia menghidap tekanan darah tinggi tidak terkawal - sama ada kerana tidak sedar mereka menghidap penyakit ini atau tidak mendapat terapi yang optimum - seterusnya mendedahkan mereka kepada komplikasi seperti serangan jantung, strok dan pelbagai penyakit jantung lain.”


Pakar runding kanan keluarga tersebut menambah: “Penyahsarafan renal boleh membantu merawat sesetengah pesakit hipertensi. Sebagai contoh, mereka yang mengalami hipertensi rintangan, sering tidak dapat mematuhi rutin pengambilan ubat-ubatan walaupun telah menerima nasihat dan kaunseling, atau mengambil pelbagai jenis ubat-ubatan untuk penyakit-penyakit komorbiditi lain.”

Penyahsarafan renal adalah sejenis prosedur invasif minimum di mana gelombang frekuensi radio disasarkan pada saraf-saraf simpatetik renal (buah pinggang) untuk mengurangkan aktivitinya yang menyumbang kepada masalah hipertensi. Ia dijalankan di bawah anestesia dan sedatif, dan pesakit biasanya dibenarkan pulang sehari selepas menjalani prosedur tersebut.

Keputusan awal dari ujian percubaan klinikal SPYRAL HTN-ON MED yang sedang dijalankan menunjukkan bahawa pesakit hipertensi tidak terkawal yang mengambil satu hingga tiga ubat-ubatan antihipertensi mengalami penurunan tekanan darah sistolik sebanyak 9.0 mmHg dan penurunan tekanan darah diastolik sebanyak 6.0 mmHg (diukur secara berterusan dalam tempoh 24 jam melalui pengawasan ambulatori) enam bulan selepas menjalani prosedur tersebut. Sebaliknya, pesakit yang menjalani prosedur sham (iaitu angiogram renal, dan bukan penyahsarafan renal) mengalami penurunan tekanan darah sistolik sebanyak 1.6 mmHg dan penurunan tekanan darah diastolik sebanyak 1.9 mmHg]. Keputusan penuh ujian klinikal tersebut dijangka akan diumumkan pada hujung tahun 2022.

Dr Ong Tiong Kiam, pengerusi bersama MyRDN dan ahli majlis Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia berkata, “Penyahsarafan renal adalah sejenis prosedur yang selamat dan agak ringkas, namun adalah penting untuk menguruskan jangkaan pesakit tentang hasilnya.

Penurunan tekanan darah adalah secara berperingkat, dalam masa beberapa bulan, dan pesakit masih perlu meneruskan pengambilan ubat-ubatan seperti biasa sebaik saja menjalani prosedur tersebut. Dalam jangka panjang, prosedur itu akan membolehkan pesakit mengawal tekanan darah mereka dengan lebih baik, walaupun mereka mungkin tidak akan dapat menghentikan terus pengambilan ubat-ubatan antihipertensi. Manfaat utama prosedur ini adalah penurunan risiko kerosakan organ dan penyakit jantung, seperti serangan jantung dan strok akibat hipertensi tidak terkawal.”

Pakar runding kardiologi dan ketua Jabatan Kardiologi Hospital Besar Sarawak itu menambah: “Sebaiknya, penyahsarafan renal perlu ditawarkan sebagai rawatan awal untuk pesakit yang menepati kriteria saranan untuk prosedur tersebut. Namun, penting untuk mereka mengetahui bahawa pengubahsuaian gaya hidup dan ubat-ubatan antihipertensi masih perlu diteruskan untuk merawat tekanan darah tinggi. Penyahsarafan renal berfungsi sebagai rawatan tambahan untuk mengekalkan penurunan tekanan darah tinggi bagi pesakit yang memenuhi kriteria untuk prosedur tersebut.”

Prof Datin Dr Chia dan Dr Ong menghadiri sesi perkongsian umum tersebut dengan disertai pakar kardiologi kanan Institut Jantung Negara Dato’ Seri Dr Azhari Rosman, Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia Dr Alan Fong Yean Yip dan Bekas Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad, yang berkongsi pengetahuan dan kepakaran masing-masing mengenai hipertensi dan penyahsarafan renal semasa perbincangan panel dan sesi soal jawab bersama pihak media.

Feature photo by: Woman photo created by freepik - www.freepik.com


Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

NESTLÉ MALAYSIA DAN BSMM BERGANDING BAHU MEMBANTU PENDUDUK TERJEJAS BANJIR : 5,000 KOTAK BARANGAN MAKANAN ASAS DISEDIAKAN BARISAN SUKARELAWAN

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?