SUMPAHAN NILAM UTAMA: KOMEDI-THRILLER REMAJA PENUH MISTERI
Penerbit Infinitus Productions yang menghasilkan filem pecah panggung Hantu Kak Limah dan Don Dukun, mengumumkan bakal tampilkan filem komedi-thriller terbaru Sumpahan Nilam Utama. Filem yang diterbitkan oleh Infinitus Productions dengan kerjasama Directors Think Tank dan Sunstrong Entertainment, kini dalam fasa penggambaran dan dijangka temui penonton di pawagam pada tahun 2026.
Filem ini diarahkan oleh Hyrul Anuar, pengarah yang terkenal dengan sentuhan kreatif dalam filem 3 Janda Melawan Dunia serta iklan komersial. Dengan pengalaman luas dalam menghasilkan karya dengan elemen humor dan berkualiti, Hyrul bakal mempertaruhkan bakatnya ke dalam Sumpahan Nilam Utama.
Sumpahan Nilam Utama merupakan sebuah filem komedi-thriller dengan elemen penyiasatan yang memberi tumpuan kepada perjalanan sekumpulan remaja dalam menghadapi peristiwa misteri melibatkan sebuah pemujaan. Filem ini dibintangi oleh barisan pelakon muda, Idan Aedan, Razin Qidran, Farihin Arnia, Taufiq Izmir dan Muizzuddin, serta turut menampilkan pelakon hebat Dato’ Tamimi, Ellie Suriaty, Dr. Rosdeen Suboh, Anas Ridzuan, Aloy Paradoks dan Taqim Zaki.
Penerbit Eksekutif Infinitus Entertainment, Gayatri Su-lin Pillai, menyatakan, “Infinitus Entertainment komited dalam memperkukuh landskap sinema Malaysia dengan menghasilkan pelbagai genre filem yang boleh dinikmati oleh semua penonton. Terbaru, Sumpahan Nilam Utama merupakan salah satu usaha kami untuk mempersembahkan sebuah karya yang segar dan relevan kepada penonton yang menggemari gabungan komedi dan elemen thriller. Kami memilih Hyrul Anuar untuk menerajui filem ini, dan ini merupakan kerjasama pertama dengannya. Melihat kepada gaya pengarahan beliau sebelum ini, kami yakin Hyrul membawa perspektif segar yang mampu menghidupkan penceritaan dengan identitinya yang unik. Walaupun pembikinannya masih berjalan, kami amat berbangga dengan dedikasi seluruh pasukan produksi. Kami mengharapkan Sumpahan Nilam Utama dapat meninggalkan impak kepada semua lapisan penonton serta industri filem tanah air.”
Penerbit Filem Sumpahan Nilam Utama, Syahrul Imran berkata, “Kami melihat Sumpahan Nilam Utama sebagai sebuah cerita yang menggabungkan komedi, tema coming-of-age, penyiasatan dan misteri dalam konteks lokal yang dekat dengan penonton. Gabungan elemen sebegini jarang diketengahkan dalam nashkah di layar perak, menjadikannya sesuatu yang unik dan menarik. Antara tarikan lain filem ini adalah gandingan pelakon muda, Razin Qidran, Idan Aedan, Farihin Arnia, Taufiq Izmir dan Muizzuddin, di mana mereka membawa tenaga, personaliti dan keunikan tersendiri kepada watak masing-masing. Kami sangat teruja untuk berkongsi filem ini dengan penggemar filem tempatan kelak, dan berharap ia dapat diterima ramai.”
Filem komedi-thriller ini mengisahkan empat pelajar tingkatan lima - Ilham, Hakim, Danial dan Belon, diam-diam bersembunyi di asrama pada cuti peristiwa untuk menyiasat misteri kebun manggis yang dikatakan berhantu. Namun misi mereka berubah drastik apabila Suri - gadis pujaan hati Ilham, hilang dan Farid - si pengawas skema muncul. Ketika menyelinap ke kebun itu, mereka berdepan kejadian pelik sehingga menemui bukti bahawa Suri telah diculik. Dalam usaha menyelamatkan Suri, geng berlima terseret ke dalam satu rahsia gelap sekolah. Rahsia yang jauh lebih mengerikan daripada hantu yang mereka fikirkan.
Nantikan filem Sumpahan Nilam Utama terbitan Infinitus Productions yang akan temui penonton seluruh negara pada tahun hadapan. Ikuti akaun Infinitus Films MY di semua platform media sosial untuk info terbaru dan klip menarik.
Comments
Post a Comment