KAO LAURIER SUMBANG TUALA WANITA KEPADA PELAJAR B40


KAO Laurier Malaysia, dengan sokongan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), dan kerjasama MyPerintis serta rakyat Malaysia yang pemurah, telah memperuntukkan tuala wanita bernilai RM150,000 untuk disumbangkan kepada 20,000 pelajar B40 di 20 universiti awam di seluruh Malaysia. Usaha ini diselaraskan menerusi kempen ‘Kebersihan Menstruasi Adalah Hak Wanita’ yang diadakan selama tiga bulan mulai November 2021, yang berakhir dengan majlis penyerahan rasmi di Universiti Malaya.

“Sinergi antara KAO Laurier, KPT dan MyPerintis amat penting untuk mencapai wawasan kempen bagi menangani kekangan mendapatkan produk keperluan penjagaan kebersihan haid yang dihadapi oleh pelajar wanita yang sedang menuntut di universiti. Kami sukacita melihat rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat tampil untuk menghulurkan bantuan, berkongsi wawasan ‘Kirei’ kami untuk menjadikan hidup ini lebih indah buat semua. Sumbangan mereka menerusi kempen ini sesungguhnya memperkasakan pelajar wanita yang memerlukan untuk mencapai potensi penuh mereka sebagai anggota masyarakat yang produktif,” kata Presiden KAO Malaysia, Encik Itou Hirofumi.

Di peringkat global, kelestarian kini merupakan aspek penting bagi setiap organisasi dan operasi masing-masing, dalam usaha untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG). Usaha memastikan bekalan barangan keperluan penjagaan kebersihan haid menjana kesan pengganda yang berkait rapat dengan SDG, termasuk SDG 1 (tiada kemiskinan), SDG 3 (kesihatan yang baik dan kesejahteraan), SDG 4 (pendidikan berkualiti), SDG 5 (kesaksamaan jantina) dan SDG 6 (air bersih dan sanitasi).

“Akses kepada produk penjagaan kebersihan wanita ialah satu keperluan asas. Ramai pelajar wanita B40 di universiti sedang menderita kerana kemiskinan haid. Justeru, inisiatif KAO Laurier dan MyPerintis untuk meningkatkan kesedaran komuniti serta mengetengahkan keperluan produk penjagaan kebersihan asas dalam kalangan wanita B40 merupakan satu usaha yang cemerlang. Setiap orang boleh memainkan peranan masing-masing dalam membasmi kemiskinan haid. Kami berharap agar usaha sama dari semua pihak dapat membasmi kemiskinan haid,” kata wakil Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Hema Shankari Kalidasan apabila menyentuh tentang manfaat kempen in.

Penganalisis Penyelidikan EMIR Research, Amanda Yeo, telah menjadi moderator perbincangan mengenai industri dan keupayaan orang ramai untuk mencetus perubahan positif berkaitan isu kemiskinan haid selepas majlis penyerahan tersebut. Ahli-ahli panel yang terdiri daripada Naib Presiden Pemasaran KAO (Malaysia), Tan Poh Ling; Pengerusi Pengasas MyPerintis, Datuk Lawrence Low, dan Duta Jenama Laurier Night Safe, Sweet Qismina, telah berkongsi pandangan tentang tempias pandemik yang dirasai oleh komuniti B40.

Perbincangan ini mendedahkan bahawa kehilangan pekerjaan atau kemerosotan pendapatan yang dialami oleh keluarga-keluarga B40 memaksa mereka membuat pilihan untuk mengisi perut, dan sering kali barangan keperluan asas wanita berada di tempat paling bawah dalam senarai keutamaan.

Penglibatan penggiat sosial dengan komuniti B40 di peringkat akar umbi sepanjang tempoh kempen mendedahkan kekangan kewangan dalam keluarga yang terkesan telah menyebabkan sesetengah wanita menggunakan alternatif kurang selamat seperti tisu tandas, tuala buruk dan juga surat khabar untuk menguruskan proses menstruasi. Malah ada juga anak-anak gadis yang terpaksa ponteng sekolah, menyebabkan mereka ketinggalan dalam pelajaran, akhirnya menjejaskan peluang mereka mendapat kerja yang stabil pada masa depan.

Menyedari betapa serius isu ini, ahli-ahli panel bersetuju bahawa menangani punca sebenar isu ini memerlukan tanggungjawab dikongsi bersama oleh agensi kerajaan, pemain industri swasta, penyokong sosial dan anggota masyarakat.

Penyerahan rasmi sumbangan tuala wanita bernilai RM150,000 disampaikan oleh Presiden KAO Malaysia, Itou Hirofumi, dan diterima oleh wakil Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Hema Shankari Kalidasan. Majlis tersebut disaksikan oleh Pengerusi Pengasas MyPerintis, Dato’ Lawrence Low, Duta Jenama Laurier Night Safe, Sweet Qismina, pemimpin pelajar dan pelajar-pelajar daripada institusi-institusi pengajian tinggi awam yang menerima sumbangan.

KAO Laurier Malaysia melaksanakan kempen “Kebersihan Menstruasi Adalah Hak Wanita” untuk memenuhi keperluan penjagaan kebersihan para pelajar universiti daripada golongan B40. Tambahan lagi, pergerakan ini diharapkan dapat memastikan wanita muda tidak perlu lagi ponteng kelas atau aktiviti atas sebab tidak mampu untuk membeli produk sanitari.

KAO Laurier Malaysia telah berjanji untuk menyumbang satu pek rangkaian Laurier Night Safe untuk setiap pek yang dibeli oleh pengguna dari 15 November 2021 hingga 31 Januari 2022, membolehkan produk tuala wanita bernilai RM150,000 disumbangkan kepada 20,000 pelajar wanita di lebih 20 universiti awam di seluruh Malaysia.

Menerusi program Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) jangka panjangnya, Kao Malaysia telah menjadi rakan kepada anak-anak gadis selama 27 tahun yang lepas, iaitu sejak 1994, dengan usaha yang dikhususkan untuk menyokong dan mendidik mereka tentang penjagaan kebersihan diri. Setakat ini, Kao Malaysia telah membawa kesan bermakna kepada kehidupan lebih 2 juta pelajar dari lebih 8,000 sekolah, menerusi program ini. Pergerakan terbaharu ini merupakan lanjutan program ESG selama 27 tahun yang membabitkan sekolah rendah dan menengah dan kini beralih kepada bidang keperluan di institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai majlis penutup kempen “Kebersihan Menstruasi Adalah Hak Wanita”, ikuti @KaoLaurier di Facebook dan @lauriermy di Instagram

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!