KEMPEN AMAL NESTLÉ MAGGI BERJAYA KUMPUL RM80,000 UNTUK WARGA TUA

 

Tatkala generasi berbeza berkumpul bagi menghormati tradisi perayaan Tahun Baru Cina dan memupuk rasa kebersamaan pada awal tahun ini, ia juga merupakan masa yang sesuai untuk membawa kemakmuran dan sokongan kepada warga emas yang memerlukan. Dalam semangat keikhlasan dan saling berkongsi, kempen Tahun Baru Cina ‘MAGGI Gong Xi Masak, Gong Xi Meriah’ Nestlé baru-baru ini telah berjaya mengumpul RM81,000 untuk disalurkan kepada sepuluh rumah jagaan warga emas di seluruh Malaysia.

Nestlé telah menyantuni warga emas di rumah terbabit untuk memahami dan mengenalpasti keperluan mereka seperti bekalan makanan, keperluan rumah, kerusi roda, tilam, dan peralatan elektrik termasuk ketuhar gelombang mikro dan periuk nasi. Beberapa buah rumah ini juga mengalami kerosakan harta benda akibat banjir besar pada Disember tahun lalu dan memerlukan sokongan dalam menaiktaraf dan membaikpulih kemudahan kediaman mereka.

Geetha Balakrishna, Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI, Nestlé (Malaysia) Berhad berkata, “MAGGI ialah jenama untuk rakyat Malaysia. Oleh itu, sempena menyambut Tahun Baru Cina, kami memperluaskan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat ini kepada warga emas sebagai tanda penghargaan. Kami berharap sumbangan ini akan menambah keceriaan mereka di musim perayaan, serta menggamit memori kenangan manis mereka bersama yang tersayang dan sewaktu zaman muda. Kami berbesar hati melihat ramai rakyat Malaysia turut menyokong kempen ini untuk menyumbang kepada masyarakat.

Selaras dengan janji jenama kami, Anda dan MAGGI Sajikan Kelainan (You and MAGGI Cook the Difference), kami juga telah menyumbang pelbagai bekalan makanan ke rumah jagaan warga emas kerana kami percaya bahawa makanan yang disediakan sendiri di rumah mampu membawa kebaikan dan perubahan positif kepada para penghuni rumah tersebut serta komuniti,” tambah Geetha.

Sepuluh rumah jagaan warga emas yang dipilih untuk menerima sumbangan daripada kempen Tahun Baru Cina ‘MAGGI Gong Xi Masak, Gong Xi Meriah’ Nestlé termasuk Rumah Charis, Pusat Jagaan Wargamas Air Tenang, Rumah Orang Tua Sahana dan Noble Care di Lembah Klang; Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang-orang Tua Islam Titian Abadi dan Darul Hanan di Pulau Pinang; Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan dan Pertubuhan Kebajikan Orang Kurang Upaya di Johor; Mesra Homecare Centre di Kelantan dan Pusat Penjagaan Orang Tua Grannnies di Pahang.

Cik Suzanne, Pengurus Rumah Charis, berkongsi, “Dorcas yang berusia 92 tahun merupakan penghuni tertua kami. Dorcas memperolehi kegembiraan dalam membantu pengasuh memasak setiap hari dan dengan sumbangan bekalan makanan daripada Nestlé, beliau amat teruja dalam menyediakan hidangan Tahun Baru Cina tahun ini! Sesungguhnya, kami bersyukur dan bertuah kerana ia dapat mengeratkan hubungan sesama penghuni semasa sambutan yang bermakna ini."

Bagi Pusat Jagaan Wargamas Air Tenang, sumbangan dan sokongan daripada Nestlé amat bermakna tahun ini, kerana mereka telah mengalami banjir kilat yang dahsyat pada Disember tahun lepas. Berkongsi pengalaman ini, Puan Saroja, Pengurus Rumah Pusat Jagaan Wargamas Air Tenang berkata, “Banjir telah menyebabkan banyak harta benda penghuni rosak termasuk perabot, tilam, barangan elektrik dan pakaian yang terpaksa dibuang. Kami bersyukur kerana adanya individu dan organisasi seperti Nestlé yang membantu kami bangkit daripada impak banjir itu.”

Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Nestlé sempena kempen Tahun Baru Cina 'MAGGI Gong Xi Masak, Gong Xi Meriah' menyaksikan Nestlé menyumbang RM0.10 untuk setiap penyertaan peraduan yang diterima daripada orang ramai, menjadikan jumlah sumbangan mencecah RM81,000. Untuk mengikuti kisah penghuni di rumah-rumah jagaan warga emas yang menerima sokongan daripada kempen ini, sila layari laman web rasmi MAGGI di https://www.maggi.my/en/maggi-happenings/gongxi-masak-gongxi-meriah/

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!