SEARCH UMUMKAN KONSERT BERSEJARAH ‘ENDEMIK’ YANG BAKAL BERLANGSUNG DI ZEPP KUALA LUMPUR



SEARCH yang dianggotai oleh Amy, Nasir, Hillary Ang dan Man Kidal hari ini mengumumkan bahawa ia akan menganjurkan konsert bersejarah yang dinamakan KONSERT ENDEMIK pada 4 dan 5 Jun 2022. Kumpulan rock nombor satu di Malaysia tersebut telah memilih Zepp Kuala Lumpur – sebuah venue terbaru bertaraf antarabangsa di ibu kota sebagai lokasi konsert yang sememangnya amat dinanti-nantikan oleh semua peminat SEARCH di Malaysia dan rantau Asia.

“KONSERT ENDEMIK bukan sekadar konsert biasa. Ia adalah kemuncak kepada karier SEARCH yang telah bermula sejak tahun 80an lagi. Zepp Kuala Lumpur dan semua yang menghadiri acara tersebut bakal menjadi saksi kepada konsert terbaik kami. Venue ini mempunyai segala fasiliti bagi penganjuran konsert bertaraf antarabangsa dan saya percaya peminat-peminat kami, samada yang lama mahupun dari generasi baru bakal merasakan kehebatan konsert ini dari pelbagai segi. Kami amat mementingkan bukan sahaja keselesaan, malah kualiti, keselamatan dan pelbagai lagi faktor yang menjadi jaminan naskhah hebat dari kami”, menurut Amy.


Zepp Hall Network Inc. ditubuhkan pada tahun 1998 dan mempunyai sebelas dewan konsert di seluruh dunia termasuk sembilan di Jepun, satu di Taipei dan yang terbaru di Kuala Lumpur. Zepp Kuala Lumpur bertempat di Bukit Bintang baru sahaja dibina dengan kos RM100 juta berkapasiti 2,500 orang dilengkapi dengan ciri-ciri concert hall terbaik setaraf dengan jenama Zepp lain seluruh dunia.

LOL Asia sebagai penganjur KONSERT ENDEMIK menyatakan bahawa ianya adalah konsert solo pertama di Zepp Kuala Lumpur. Rizal Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif, LOL Asia, berkata, “Kami amat berbangga dengan kolaborasi tiga penjuru di antara SEARCH, LOL Asia dan Zepp Kuala Lumpur ini. Zepp adalah jenama global dan SEARCH sebagai sebuah kumpulan rock legenda terunggul adalah pilihan paling tepat untuk membuka tirai Zepp Kuala Lumpur sebagai konsert solo pertama. Venue ini lengkap dengan kemudahan state-of-the-art paling moden termasuk sistem audio dan pencahayaan berkualiti tinggi, susunan audiens ala stadium, VIP box dan lain-lain justeru menjanjikan konsert paling epik dan bakal melakar sejarah di dalam lipatan industri seni tanahair terutama scene rock n roll”.


Jelas Amy lagi, “Nama ENDEMIK dipilih bersesuaian dengan situasi dunia. Bersama-sama dengan Nasir, Hillary dan Man Kidal kami tidak sabar untuk bertemu dengan semua peminat-peminat yang telah lama menantikan saat ini. Selain lagu-lagu signature SEARCH, kami juga mempunyai material baru yang belum pernah dipersembahkan secara live. Jumpa anda semua di Zepp Kuala Lumpur pada 4 Jun ini!”.

Tiket KONSERT ENDEMIK akan mula dijual pada 28 April 2022. Layari lolasia.bigtix.io untuk maklumat lanjut berkenaan pembelian tiket.

Comments

Popular posts from this blog

STUDY MELBOURNE HUB KUALA LUMPUR KEMBALI BEROPERASI DI LOKASI BERWAJAH BAHARU, MENGUKUHKAN HUBUNGAN DUA HALA ANTARA MALAYSIA DAN VICTORIA