PERMAISURI AGONG BERKENAN RASMI PROGRAM "BACK TO NATURE" DI PAVILION BUKIT JALIL
Bersahabat dengan alam sambil melahirkan usahawan dalam kalangan ibu tunggal, suri rumah, orang asli dan belia yang berkemahiran menghasilkan produk eco-friendly. Itulah matlamat utama Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) menganjurkan Program Back to Nature hari ini.
Bersama program ini, PSJKM turut memperkenalkan teknik mengekstrak warna dan corak daripada tumbuhan untuk dipindahkan keatas sehelai fabrik iaitu teknik Natural Dye dan Eco Printing. Teknik ini dapat mengurangkan penggunaaan pewarna sintetik dalam industri pembuatan fabrik sekaligus dapat mengurangkan pencemaran alam.
Program hari ini disempurnakan oleh Penaung PSJKM iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Dalam titah ucapannya, Tunku Azizah menzahirkan kebimbangan terhadap kualiti alam sekitar dan menyeru semua rakyat Malaysia untuk kembali menyintai alam ini.
“Sekiranya kita tidak mempunyai kesedaran untuk menyayangi alam kita ini, pastinya kita akan terus melakukan kerosakan demi kerosakan yang akhirnya akan membinasakan kehidupan kita. Mungkin hari ini kita rasa selesa dengan persekitaran kita, tetapi bagaimana pula dengan persekitaran yang akan kita wariskan kepada anak cucu kita pada masa akan datang? Oleh yang demikian, melalui program kita pada hari ini, saya berharap kita dapat melahirkan semula rasa cinta kepada alam ini”, titahnya.
Bukan itu sahaja, Tunku Azizah juga menyeru seluruh rakyat Malaysia, syarikatsyarikat korporat dan jabatan kerajaan untuk memberi sokongan kepada produk-produk kraf tempatan.
“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memberikan perhatian kepada produk-produk kraf tempatan dan saya menyeru syarikat-syarikat korporat serta jabatanjabatan kerajaan membeli produk yang dihasilkan oleh usahawan bawah bimbingan persatuan ini untuk dijadikan hadiah cenderamata atau corporate gift untuk promosikan produk kraf tempatan kepada orang ramai”, titahnya lagi.
Menurut Pengerusi PSJKM pula, Puan Fully Chye Goet Lee, Natural Dye dan Eco Printing merupakan satu kemahiran yang mudah untuk dipelajari dan ini merupakan peluang kepada artisan untuk meneroka peluang keusahawanan yang baru.
“Teknik ini mudah untuk dipelajari dan jika kita mampu menguasai kemahiran ini, kita dapat meneroka peluang-peluang keusahawanan yang baru dengan menawarkan produk yang lebih segar dan unik”, katanya.
Program Back to Nature akan mula dianjurkan bermula 18 - 26 Jun 2022 di Pavilion Bukit Jalil kemudiannya akan dianjurkan di negeri-negeri lain seluruh negara.
Terdapat pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang program ini berlangsung antaranya pameran produk Natural Dye dan Eco Printing, persembahan demonstrasi, gerai jualan The Tunku Azizah Handmade Market dan bengkel D.I.Y Indigo Writing & Drawing. Orang ramai dijemput hadir memeriahkan program ini.
Untuk maklmumat lanjut, sila layari:
Laman web: https://sewingworld.com.my/
Instagram: https://www.instagram.com/sewingworld_/
Comments
Post a Comment