FILEM PENDEK ‘(PLASTIK)’ - SATU SERUAN KESEDARAN UNTUK MENGAKHIRI PENCEMARAN PLASTIK


Tayangan perdana global ‘(PLASTIK)’ memberikan penonton gambaran menakutkan masa depan yang dicemari plastik daripada kaca mata seorang kanak-kanak.

Filem tersebut mempunyai naratif visual yang menyedihkan dan mengharukan, pada masa yang sama menyampaikan mesej yang jelas dan mudah: Ambil tindakan pantas untuk menghentikan pencemaran plastik dengan mengatakan ‘tidak’ kepada plastik pakai buang.

Dilancarkan bersempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia, filem pendek ini adalah satu peringatan bahawa kita hanya ada #SatuBumiSahaja dan terdapat keperluan segera agar manusia dapat hidup secara harmoni dan lestari bersama alam semula jadi.

Diterbitkan oleh Philip Rom bersama Sean Lin dari Studio Birthplace sebagai produser, filem pendek itu memaparkan seorang kanak-kanak perempuan yang melihat dunia melalui satu botol plastik, membenarkan imaginasinya bergabung dengan dunia realiti untuk menyaksikan bagaimana hubungan manusia dengan plastik pakai buang boleh bertukar kepada suatu yang boleh memudaratkan sekiranya tidak dikawal.

“(PLASTIK) mengetengahkan sikap endah tidak endah kita terhadap isu terbabit. Menerusi kaca mata Aisya, pelakon cilik berusia 10 tahun yang amat berbakat, kami melihat dia sebagai wakil generasi muda yang kian sedar dan menyaksikan sikap tidak ambil peduli dan kerosakan yang berlaku pada alam. (PLASTIK) menyaksikan perjalanan Aisya yang berubah daripada seorang kanak-kanak yang sebelum ini tidak mengetahui isu yang melanda kepada insan yang lebih peka dan memacu perubahan demi kesejahteraan sejagat,” ujar Sean Lin, Pengasas Bersama Studio Birthplace dan Produser (PLASTIK).

(PLASTIK) menerima sokongan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana ia menyerlahkan Resolusi 5.2 UNEA, yang mana 175 negara ahlinya telah sebulat suara bersetuju untuk membangunkan persetujuan sah untuk mengakhiri pencemaran plastik menjelang tahun 2024. Filem itu diinspirasikan oleh satu kempen dalam talian anjuran Projek Edaran Asia Tenggara Program Alam Sekitar PBB dan MeshMinds yang memaparkan pejuang kelestarian di rantau Asia Tenggara yang menggunakan alatan digital bagi menggalakkan tindakan individu dan kolektif untuk membasmi pencemaran plastik di rantau ini.

Semasa penggambaran dilakukan di Sepang, sebahagian daripada amalan kelestarian Studio Birthplace adalah untuk meminimumkan impak kerja mereka terhadap alam sekitar dengan mengehadkan penggunaan plastik pakai buang. Pengeluaran karbon daripada kenderaan semasa penggambara turut dikira dan diganti sebanyak 150% menerusi penanaman pokok.

Hati penonton terus tersentuh dengan runut bunyi asal (soundtrack) balada penuh nostalgia berjudul ‘Just a Dream’ nukilan artis tempatan, MKNK dan dipersembahkan oleh JSN.

“Untuk hidup dan terus berkembang, individu perlu belajar mengikuti langkah insan lain. Malah, kita belajar sesuatu dengan melihat dan mengikuti langkah. Filem mempunyai kuasa untuk mempengaruhi perubahan sosial menerusi kisah-kisah yang berimpak dan menarik perhatian. Kami berharap penghasilan satu filem pendek yang memaparkan pelakon dan krew dari Asia Tenggara sepenuhnya ini akan mempertingkatkan keterlibatan orang ramai dan merangsang perubahan sikap jangka panjang dalam kalangan penonton belia di rantau ini bagi mengambil tindakan, sama ada secara individu mahupun kolektif, untuk membasmi pencemaran plastik,” kata Kay Vasey, Pengasas MeshMinds dan Produser Eksekutif (PLASTIK).

Tindakan memeliharan iklim itu telah dibincangkan dalam satu sesi panel yang diadakan pada 3 Jun lalu, diikuti dengan tayaran perdana filem pendek ini yang menyentuh mengenai implikasi pencemaran plastik. (PLASTIK) juga mencetuskan sesi pertukaran idea untuk memupuk perubahan sikap dalam kalangan penduduk rantau ini bagi menghentikan penggunaan plastik pakai buang.

Ahli-ahli panel terlibat termasuk Isabelle Louis, Timbalan Pengarah Serantau UNEP di Asia Pasifik; Sean Lin, Pengasas Bersama Studio Birthplace; Kathlyn Tan, Pengasas Bersama Coastal Natives; Sydney Steenland, Pengasas Sea Monkey Project dan Cher Chua Lassalvy, Pengasas Tengah Island Conservation. Duta Besar Sweden ke Thailand, Tuan Yang Terutama Jon Åström Gröndahl telah menyampaikan mesej khas pada acara berkenaan.

“Mesej pada filem ini adalah amat jelas. Ia tidak melarikan diri daripada mempamerkan isu krisis plastik yang melanda. Filem ini menerapkan elemen-elemen yang menghantui tetapi pada masa yang sama menyerlahkan momen-momen yang menggembirakan dan menggelikan hati yang bagi saya penonton - khasnya yang baru terdedah mengenai topik pencemaran plastik - perlukan,” kata Kathlyn Tan, Pengasas Bersama Coastal Natives.

Satu mesej penting yang dikongsikan ahli-ahli panel adalah kepentingan untuk mendekati dan mendidik komuniti di Asia Tenggara serta Barat bagi mempertingkatkan kesedaran serta pemahaman berkenaan isu yang dibincangkan.

“Masih terdapat pengetahuan yang terhad bagaimana plastik boleh berada di lautan. Kami mempunyai beberapa projek yang dirancang, sebahagian besar daripadanya mengenai cara untuk mempertingkatkan pengetahuan orang ramai serta memastikan agar plastik tidak dibuang dan berada di laut. Itulah matlamat utama kami,” kata Sydney Steenland, Pengasas The Sea Monkey Project.

Pandangan ini turut menerima sokongan Cher Chua Lassalvy, Pengasas Tengah Island Conservation yang turut memberikan analogi: “Usaha pembersihan pantai adalah satu yang amat baik tetapi ia seperti kita mop lantai ketika air dari pili masih terbuka dan air daripada tab mandian masih mencurah keluar. Pelbagai usaha yang kami lakukan dan filem ini mampu menyumbang kepada langkah itu. Ia juga mampu mendekatkan kami dengan komuniti dan bekerjasama dengan perniagaan lain.”

“(PLASTIK) disiarkan pada saat yang amat bertepatan, khasnya apabila jelas dilihat kepentingan untuk mendekati pengguna dan pembuat keputusan dengan mesej yang berkaitan dengan kehidupan seharian kita. Saya berharap filem ini boleh diedarkan ke sekolah-sekolah dan memberikan ilham kepada kanak-kanak untuk bersemangat seperti pejuang-pejuang kelestarian tempatan yang sedang menangani masalah pencemaran plastik,” kata Isabelle Louis, Timbalan Pengarah Serantau UNEP di Asia Pasifik.

Kuasa tindakan individu diberi penekanan pada filem dan panel-panel terlibat. Seperti protagonis dalam filem pendek berkenaan, setiap individu mempunyai keupayaan untuk mewujudkan kesan beriak (ripple effects) yang mampu mengubah masa depan dunia ke arah yang lebih lestari. Dapatkan inspirasi daripada filem yang membangkitkan semangkat, (PLASTIK), secara dalam talian dan uar-uarkanya melalui media sosial!

Kita perlu bertindak sekarang untuk menghentikan pencemaran plastik bagi lautan yang bersih demi masa depan generasi akan datang kerana kita hanya ada satu bumi.

Sertai pergerakan yang diketuai oleh pejuang-pejuang kelestarian bersemangat dari Asia Tenggara ini. Pilih satu tabiat mudah untuk mengelakkan penggunaan plastik pakai buang selama 100 hari dan teruskan amalan itu sepanjang hayat. Tag @meshminds dan @studiobirthplace di laman Instagram dan kongsikan kehidupan lestari anda yang berharmoni dengan alam semula jadi!


Comments

Popular posts from this blog

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

PROGRAM BAHARU ‘THE HARDEST SINGING SHOW’ CABAR VOKAL DAN KREATIVITI PENYANYI HEBAT TEMPATAN DI ASTRO