AHIRINE AHIRUDIN SAKIT BADAN LAKONKAN AKSI LASAK DALAM 'GADIS JOLOBU THE MOVIE'


Meskipun berstatus anak kepada pengamal media berpengaruh yang juga Pengarah Eksekutif Petra News, Datuk Ahirudin Attan, pendatang baharu Ahirine Ahirudin, 26, mengakui bapa tidak pernah menghalang minatnya untuk terjun dalam dunia lakonan. 

Bapanya juga sentiasa menyokong apa sahaja minatnya sama ada dalam dunia seni, bidang penyiaran mahupun kewartawanan. “Sebelum ini, saya pernah bertugas sebagai wartawan penyiaran dan pengacara program televisyen (TV). 

“Selepas menceburi bidang lakonan, saya masih menulis secara sambilan, tetapi dalam portal automotif,” katanya. 

Kata Ahirine, bapa mencadangkannya tinggal di kampung selama sebulan bagi menguasai dialek Negeri Sembilan dalam filem Gadis Jolobu The Movie arahan CL Hor yang berpengalaman mengarahkan filem di China, Hong Kong dan Korea Selatan itu. 

Dalam filem genre komedi romantik, pemegang Ijazah Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu bergandingan dengan barisan pelakon otai iaitu Datuk Hattan, Khir Rahman dan Joey Daud. 

“Saya boleh memahami dan bertutur sedikit dialek Negeri Sembilan kerana abah berasal dari Lubok Cina, Melaka. Sudah tentu ahli keluarga banyak bertutur dialek Negeri Sembilan. 

“Kampung abah hanya bersebelahan Kampung Lonek, Negeri Sembilan yang menjadi lokasi penggambaran filem ini. “Namun, saya tidak boleh tinggal lama di kampung kerana ada komitmen kerja lain,” katanya. 

Filem terbitan syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studios Sdn Bhd turut menampilkan anak Hattan, Adam E dan Nizam Laksamana. Menariknya, filem berteraskan dialek Malaysia itu memberi tumpuan pada budaya dan tradisi Minangkabau dari Negeri Sembilan. 


Mengulas watak Jijah dalam filem, kata Ahirine, ia mempunyai persamaan dengan dirinya yang menyukai aktiviti lasak dan sukan permotoran. Katanya, watak Jijah, gadis yang berasal dari kampung dan bersifat lemah lembut, tetapi meminati sukan lasak. “Jijah adalah gadis yang bertugas sebagai pegawai tentera dan pulang ke kampung untuk menjaga neneknya. 

“Saya tidak perlu bertutur dialek Negeri Sembilan pekat sangat kerana Jijah bekerja di bandar. “Selain dibantu Hattan dan pelakon kelahiran Negeri Sembilan, ada guru lakonan memberi bimbingan dari segi dialek dan sebagainya,” katanya. 

Ditanya babak mencabar, Ahirine berkata, dia mengalami sakit badan lebih seminggu ketika merealisasikan babak pertarungan dengan penjahat. “Selain dibantu koreografer aksi, saya memang ada asas dalam seni mempertahankan diri iaitu Muay Thai dan Krav Maga. 

“Masih banyak aspek lakonan yang perlu diperbaiki terutama ekspresi muka. Ini kerana sebelum ini saya banyak berada di belakang tabir untuk babak aksi dan lagak ngeri dalam filem,” katanya. 


Mengenai kerjasama dengan Hattan, kata Ahirine, dia mudah mendapatkan keserasian dengannya. “Pada mulanya, saya risau untuk bekerja dengan artis otai seperti Hattan. “Maklumlah, watak Jijah banyak dengan Atan (Hattan) termasuk babak romantik. 

“Bagaimanapun, selepas saya bawa Hattan naik motosikal pusing bendang dan ronda keliling kampung, perasaan risau hilang, malah sering ketawa dengan telatah lucunya,” katanya. Bukan sahaja Hattan, kata Ahirine, dia juga tiada masalah bekerjasama dengan Khir dan Joey. 


“Saya tidak kekok bergandingan dengan Khir dan Joey kerana pernah menemubual mereka ketika menjadi wartawan penyiaran. “Mereka adalah pelakon profesional dan tahu apa yang perlu dilakukan di lokasi penggambaran. 

Begitu juga dengan pengarah, CL Hor,” katanya. Kata Ahirine lagi, filem Gadis Jolobu The Movie turut menyerlahkan sisi komedi dalam dirinya. “Saya sebenarnya suka buat orang ketawa kerana tidak mahu berasa tekanan di lokasi. “Khir dan Joey juga suka buat lawak. Jadi, saya memang ketawa dan terhibur dengan telatah mereka,” katanya. 

Gadis Jolobu The Movie dihasilkan susulan kejayaan lagu duet Hattan bersama Waris, Gadis Jolobu yang meraih tontonan hampir 10 juta di You Tube


Gadis Jolobu The Movie akan menemui penonton di pawagam GSC di seluruh negara dan platform Over-The-Top (OTT), Get PLAY bermula 4 Ogos depan.

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?

PERSEMBAHAN BALET SENSASI LONDON MENAMPILKAN PENARI CILIK CEMERLANG, SOPHIA ONG DARI SELANGOR, DALAM BALLET NIGHTS KUALA LUMPUR!