POP BALADA 'DAHLIA' - PELUANG KEDUA BUAT NASHRAIN


Betullah kata orang tuah itu tidak pernah salah alamat, mungkin sedikit lewat, namun bagi penyanyi lelaki berpengalaman bersuara lunak, Nashrain, peluang kedua yang diberikan oleh label rakaman terbaharu tanah air yang kian terkenal, Armani Entertainment Group (AEG) tidak harus dipersiakan.

Terbaharu, beliau hadir dalam sebuah sidang media bagi memperkenalkan single pertamanya di bawah naungan AEG berjudul ‘Dahlia’ hasil ciptaan komposer terkenal, Anas Amdan yang telah pun dilancarkan pada 29 Julai yang lalu.


“Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya saya diberikan peluang kedua yang tidak ternilai ini hasil kepercayaan pihak AEG yang ‘nampak’ bakat yang saya ada. Selain itu, platform yang disediakan pihak rakaman lengkap kerana mempunyai team yang cekap dan sentiasa membantu saya dalam apa jua perkara,” ujar bapa kepada Ozil dan Ardhani ini.

Single Dahlia yang sudah pun mencapai lebih 70,000 jumlah tontonan di YouTube sejak dilancarkan rata-ratanya menerima respon yang sangat memberangsangkan, tambah Nashrain, “Semuanya berjalan lancar seperti yang direncanakan dan walaupun masih baharu saya percaya lama-kelamaan ia akan membuahkan hasil kerana kejayaan tidak diraih dalam sekelip mata. Kebanyakan komen yang saya terima, ramai yang tertunggu bila saya akan muncul dengan lagu baharu setelah tidak muncul dengan mana-mana single setelah sekian lama.

“Selain itu, sidang media pada kali ini juga turut menampilkan rakan-rakan seperjuangan saya seperti Emeer Bakri dan Yunadia yang masing-masing telah muncul dengan single mereka.


“Dan melalui sidang media yang diadakan ini juga dapat mengumpulkan kesemua rakan media yang sudah lama tidak saya temui, yang penting dapat mengeratkan hubungan silaturahim.

Menurut Nashrain, Dahlia mempunyai signifikasi yang istimewa dalam hidupnya, jelas beliau, “Lagu ini adalah berdasarkan cerita sebenar yang berkait rapat dengan hubungan kekeluargaan, tambahan pula kita baharu sahaja dalam fasa pemulihan sejak berlakunya bencana COVID-19, ramai yang kehilangan orang tersayang dan ada pula terpaksa berjauhan dengan keluarga, sebagai ketua keluarga saya harus menggalas tanggungjawab ini demi mencari rezeki dan mengejar cita-cita.

Sebagai penyanyi berpengalaman, Nashrain percaya pada bakat kerana tanpa bakat tidak akan ke mana-mana, katanya, “Dalam dunia serba moden ini, pembangunan teknologi digital hanya membantu dari belakang dan buka nombor satu, jadilah penyanyi yang sentiasa bersiap siaga, dan hargai sokongan peminat.

“Saya tidak mengejar kemasyhuran, saya betul-betul ikhlas dalam berkarya dan langkah pertama saya adalah menembusi pasaran arus perdana dan membuktikan kemampuan saya yang sebenar.

Menurut Dato’ KK Chua, selaku Ketua Pegawai Eksekutif Armani Media, “Sidang media pada hari ini selain ingin memperkenalkan Nashrain, Emeer Bakri dan Yunadia, merupakan usaha AEG dalam memperkenalkan bakat baharu dan juga berpengalaman dengan menyediakan platform yang lengkap buat mereka yang betul-betul berkelayakan dan mempunyai pakej yang lengkap.

Layak digelar comeback kid, Nashrain percaya peluang itu terbuka luas jika sabar dan yakin, “Untuk peminat yang mengenali saya, lagu ini untuk anda semua. Terima kasih kerana sentiasa menyokong saya dan percaya pada bakat yang saya ada. Semoga Dahlia menjadi permulaan peluang kedua saya dan doakan saya agar dapat berikan yang terbaik buat semua.


Lagu ‘Dahlia’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian popular seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton oleh peminat secara eksklusif hanya di saluran YouTube Armani Entertainment.

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?

PERSEMBAHAN BALET SENSASI LONDON MENAMPILKAN PENARI CILIK CEMERLANG, SOPHIA ONG DARI SELANGOR, DALAM BALLET NIGHTS KUALA LUMPUR!