BOOST MEMBERI JENAMANYA NAFAS BAHARU SERTA UMUMKAN RANCANGAN MASA DEPAN DI RANTAU INI UNTUK MENJANA PERTUMBUHAN TANPA BATASAN

Berikutan penerimaan Lesen Bank Digital baru-baru ini daripada Bank Negara Malaysia (BNM), Boost telah melancarkan jenamanya yang diberi nafas baharu hari ini, serta mengumumkan rancangan baharu bagi bulan-bulan akan datang dan tahun 2023. Pembaharuan jenama ini melambangkan aspirasi Boost untuk meningkatkan tahap keterangkuman kewangan di Malaysia dan di seluruh rantau Asia Tenggara menerusi kuasa teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Pembaharuan jenama Boost ialah fasa seterusnya selepas penjenamaan semula Boost pada tahun lepas untuk menyatukan perkhidmatan kewangan digital Axiata. Sejak itu, Boost, yang sebelum ini hanya dikenali sebagai eDompet, telah meluaskan tawaran melangkaui pembayaran tanpa tunai, untuk meliputi pinjaman alternatif, teknologi insurans (insurtech), dan perkhidmatan pembayaran rentas sempadan - menjadi sebuah syarikat teknologi kewangan (fintech) spektrum penuh. Sebagai langkah seterusnya dalam evolusinya, jenama Boost baharu ini memperkenalkan unsur visual sekunder yang menyerlahkan pelbagai perniagaan sambil menambah baik logo.

“Setelah meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia untuk mengguna penyelesaian digital sejak hampir lima tahun, Boost kekal di hadapan industri menerusi ciri teknologi kewangan inovatif yang menggunakan AI untuk memacu pertumbuhan berterusan. Perniagaan kami terus mencatatkan pertumbuhan kukuh sambil mencapai pelbagai mercu jaya penting sejak itu. Antaranya adalah penarafan gred pelaburan A1 daripada RAM bagi perniagaan pembiayaan kami dan kejayaan memperolehi Lesen Perbankan Digital. Sambil kami meneroka peluang baharu, jenama Boost yang diperbaharui ini mencerminkan cita-cita yang tidak terbatas untuk memperkasakan semua di seluruh rantau ini dengan penyelesaian kewangan digital,” kata Sheyantha Abeykoon, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Boost.

Momentum Pertumbuhan Kukuh

Sejak awal tahun, ekosistem teknologi kewangan menyeluruh Boost yang merangkumi aplikasi teknologi kewangan pengguna, penyelesaian bagi peniaga, perniagaan pembiayaan berasaskan AI, dan juga platform pembayaran rentas sempadan terus mencapai mercu jaya baharu. Ini jelas dilihat daripada nilai transaksi kasar keseluruhan (Gross Transactional Value) yang meningkat 26.8% sejak awal tahun (Year-To-Date), mencecah RM2.9 bilion pada separuh pertama 2022, dengan hasil bersih mengikuti pertumbuhan trajektori yang sama.

Di samping itu, Boost mencatatkan peningkatan YoY lebih 2x dari segi nilai pembiayaan yang diberikan di seluruh rantau, peningkatan 43.1% dalam bilangan titik sentuhan peniaga yang mencecah lebih 500,000 peniaga di seluruh Malaysia dan Indonesia, peningkatan 10.5% dalam bilangan pengguna sehingga lebih 10 juta, serta pertumbuhan 4-angka bagi penggunaan BoostBills. Kini, berjuta-juta pelanggan di seluruh rantau, yang merangkumi pengguna dan peniaga, telah diperkasakan oleh Boost dan momentum pertumbuhan diramal akan diteruskan.

Usaha Boost mempelopori inovasi dan meringkaskan penyelesaian kewangan telah mendorongnya untuk menceburi sektor pembayaran bil pada 2018 dengan BoostBills, ciri pembayaran bil dalam talian yang unik di Malaysia. BoostBills membolehkan pengguna menyemak dan membayar beberapa bil sekali gus secara automatik bagi lebih 50 penyedia perkhimatan bil. Ciri inovatif ini mendapat sambutan yang luar biasa dengan trend pengguna menjalani kehidupan tanpa batasan melonjak dengan ketara. BoostBills melihat peningkatan tahunan lebih 5,800% dalam bilangan pembayaran bil secara automatik dan lebih 4,000% dalam pembayaran beberapa bil sekali gus di BoostBills.

Sheyantha menambah bahawa: “Semua pengguna kami menikmati pengalaman yang lancar tanpa batasan untuk memenuhi semua keperluan kewangan mereka kerana anda boleh memanfaatkan pelbagai penyelesaian kami di satu aplikasi fintech pengguna. Manakala, para peniaga kami boleh memanfaatkan sokongan pembiayaan mudah yang boleh disesuaikan kepada keperluan mereka. Matlamat utama kami ialah untuk memberi inspirasi kepada pengguna dan peniaga bagi mencapai kehidupan impian.”

Jenama Tanpa Batasan Untuk Semua

Sejajar dengan pertumbuhan berterusan Boost, jenama yang diberi nafas baharu ini melambangkan era baharu tanpa batasan bagi Boost sebagai jenama fintech serantau spektrum penuh yang memperkasakan pengguna dan peniaga dari segi kewangan, sambil mengekalkan legasi kukuh yang diyakini pengguna. Jenama baharu Boost menampilkan logo ditambah baik yang lebih tinggi dan padat, dengan warna merah yang lebih pekat, dan disusuli oleh laluan beraneka warna. Paling penting sekali, logo baharu turut memaparkan cogan kata baharu ‘Be Unstoppable’.

Diana Boo, Ketua Pegawai Pemasaran, Boost, berkata: “Setiap aspek pembaharuan jenama kami, daripada logo dan tipografi sehingga kepada laluan beraneka warna serta cogan kata baharu telah dipertimbangkan dengan teliti untuk memberi inspirasi kepada pelanggan untuk menghadapi sebarang cabaran hidup dan merealisasikan potensi penuh mereka. Di samping itu, rupa bentuknya juga telah mengubah aplikasi dan laman web Boost, yang disusun reka supaya lebih mudah diakses dan mesra untuk semua bagi menggalakkan penggunaan digital dan keterangkuman kewangan lanjut. Kami berharap untuk meringankan beban kewangan orang ramai, dan membolehkan mereka bebas meneroka segala impian tanpa batasan – inilah maksud ‘Be Unstoppable’.”

Kemungkinan Baharu dengan Penyelesaian Inovatif

Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, pelanggan Boost boleh memanfaatkan ciri penyelesaian pinjaman, simpanan dan pelaburan yang lebih baik. Malah jenama ini juga akan menceburi pasaran baharu, sambil mengukuhkan operasi di Indonesia sebagai persediaan menjadi sebuah bank digital.

Bank digital yang dinanti-nantikan ini dijangka meningkatkan capaian industri dan mengukuhkan tahap keterangkuman kewangan dengan memastikan perkhidmatan kewangan lebih mudah didapati oleh mereka yang kurang atau langsung tidak menerima perkhidmatan bank, menerusi penyelesaian teknologi kewangan yang inovatif.

“Di Indonesia, kami sedang meluaskan tawaran kami dengan bekerjasama dengan peserta penting dalam ekosistem seperti syarikat barangan pengguna laris, telekomunikasi, penyedia direct-to-home content , dan lain-lain. Kami juga sedang meninjau kemungkinan untuk menyesuaikan model pinjaman berasaskan teknologi kewangan kami bagi menyediakan penyelesaian dan produk nilai tambah kepada peniaga, sebagaimana yang telah dilaksanakan di Malaysia. Kami juga akan memeterai kerjasama penting untuk meluaskan operasi pinjaman menerusi sumber perbankan dan bukan konvensional,” tambah Sheyantha.

Boost juga umumkan rangkaian produk baharu bagi pengguna dan juga peniaga yang bakal dilancarkan sepanjang 2022 dan 2023 dengan ganjaran lebih menarik, termasuk saiz dompet lebih besar dan banyak lagi. Salah satu daripada perkhidmatan terkini yang dilancarkan demi manfaat peniaga ialah Biz Booster premium baharu, iaitu alat analisis data sebagai perkhidmatan (DaaS), untuk membolehkan mereka menjangkaui sempadan dan meluaskan lagi perniagaan masing-masing.

Untuk maklumat lanjut mengenai pembaharuan jenama Boost, sila layari: https://bit.ly/3TLHxY0


Comments

Popular posts from this blog

PUBG MOBILE CAMPUS CHAMPIONSHIP 2022 KINI KEMBALI! PELUANG TERAKHIR KE PMNC 2022!

KEHADIRAN WATAK-WATAK BAHARU MENCERIAKAN ASTRO SMK MUSIM 3