DRAMATARI 'RATU KUNING LANGKASUKA' BAKAL DIPENTASKAN DI ISTANA BUDAYA SEPTEMBER INI


Ratu Kuning Langkasuka adalah karya dramatari yang dihasilkan oleh IstanaBudaya bertujuan mengangkat genre persembahan yang berbeza, sarat dengan garapan artistik serta mempunyai nilai estetika yang lebih tinggi. 

Dramatari ini juga diangkat untuk menyerlahkan profesionalisme para koreografer dan kebolehan kumpulan Artis Tari Istana Budaya dalam menterjemahkan naskhah legenda di pentas berprestij tanah air, diiringi muzik Orkestra Tradisional Malaysia (OTM). 

Diarahkan oleh Sabera Shaik, penggiat teater tanah air yang telah mementaskan banyak teater di dalam dan luar negara, dibantu oleh Zainal Abidin Bujang, salah seorang koreografer senior Istana Budaya, selaku Pengarah Tari dan arahan muzik oleh Mohd Yazid Zakaria, konduktor dan pengarah OTM. 

Ratu Kuning Langkasuka berkisarkan kisah cinta agung pasangan diraja Ratu Kuning danYang Dipertuan Muda Johor yang melalui pelbagai onak dan duri dilalui tatkala melayari bahtera perkahwinan. 

Muncul pula Dang Sirat yang menggunakan pelbagai muslihat untuk menawan hati Yang Dipertuan Muda Johor demi mencapai kekuasaan yang diinginkan. 

Disebabkan perkara tersebut, hati Ratu Kuning berkecai dan memberi kesan kepada hubungan perkahwinan mereka serta kerajaan yang diperintah baginda.

Akibat malu dengan kecurangan yang dilakukan, Yang Dipertuan Muda Johor kembali ke negeri asal. Tahun berganti tahun, rasa rindu dan cinta yang mendalam menyebabkan RatuKuning berlayar ke Johor kerana perasaan rindu yang tidak dapat diungkapkan kepada suaminya. 

Persoalan sama ada Ratu Kuning dan Yang Dipertuan Muda Johor dapat disatukan, bakal menjadi klimaks dalam pementasan ini. 

Dramatari Ratu Kuning Langkasuka akan dipentaskan selama tiga (3) hari iaitu pada 23& 24 September 2022, 8:30 malam manakala pada 25 September 2022, 3:00 petang di Panggung Sari, Istana Budaya. 

Tiket berharga RM35.00, RM55.00, RM85.00 & RM125.00 boleh didapati di laman sesawang Istana Budaya www.istanabudaya.gov.my bermula 1 Ogos 2022 dan di Kaunter Box Office seperti berikut: 
  • 21 - 22 September 2022 - 11:30 pagi hingga 3:00 petang 
  • 23 September 2022 - 3:00 petang hingga 9:00 malam 
  • 24 - 25 September 2022 - 3:00 petang hingga 9:00 malam. 

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi Bahagian PemasarandanPengurusan Panggung di talian 03 4026 5555/ 5546 / 5553. 

Orang ramai yang ingin menyaksikan persembahan ini perlu lengkap divaksin, memakai pelitup muka sepanjang persembahan dan mematuhi SOP MKN serta peraturan sedia ada di Istana Budaya. Kanak-kanak berusia enam (6) tahun ke atas dibenarkan menonton dengan syarat ditemani ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap vaksinasi. Pihak Istana Budaya berhak menghalang orang ramai yang bergejala dan tidak mematuhi SOP daripada memasuki premis.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!