UNCLE BOB LANCARKAN MENU BAHARU DENGAN NUGET DAN SCHNITZEL HARVEST GOURMET NESTLÉ
Meneruskan momentum Nestlé Malaysia menceburi segmen makanan berasaskan tumbuhan dalam sektor Di Luar Rumah, NESTLÉ PROFESSIONAL telah melancarkan kerjasama terbaharu dengan Uncle Bob, sebuah rangkaian restoran ayam goreng popular di seluruh negara. Kerjasama ini bakal menyaksikan pelancaran menu tanpa daging pertama Uncle Bob menggunakan rangkaian produk berasaskan tumbuhan Harvest Gourmet daripada Nestlé. Sedia untuk dihidangkan di 89 restoran Uncle Bob di Sabah, kerjasama ini bermatlamat untuk memberi pilihan kepada rakyat Malaysia yang mahu mencuba sajian pengganti daging sambil terus menikmati rasa kelazatan ayam goreng rangup daripada Uncle Bob.
Menu berasaskan tumbuhan ini akan menggunakan Schnitzel Berasaskan Tumbuhan Harvest Gourmet dan juga Nuget Berasaskan Tumbuhan yang baru dilancarkan. Semua produk Harvest Gourmet dibuat di Malaysia dengan bahan semula jadi yang berkualiti seperti soya bukan GMO dengan kandungan serat tinggi selain daripada menjadi sumber protein yang baik tanpa menjejaskan rasa dan teksturnya.
Cik Yit Woon Lai, Pegawai Eksekutif Perniagaan, NESTLÉ PROFESSIONAL berkata, “Rangkaian berasaskan tumbuhan Harvest Gourmet membolehkan kami memenuhi keperluan pengguna yang semakin menitikberatkan soal kesihatan dan mahu merangkumkan makanan alternatif berasaskan tumbuhan dalam diet masing-masing. Sambil kesedaran tentang makanan berasaskan tumbuhan dan pengambilannya terus meningkat di Malaysia, kami berharap untuk menggiatkan kerjasama dengan rakan-rakan makanan dan minuman (F&B) kami.
“Sejajar dengan itu, kami teruja untuk bekerjasama dengan Uncle Bob, sebuah rangkaian yang sedang berkembang pantas di seluruh negara yang bertekad meningkatkan pengambilan makanan berasaskan tumbuhan. Uncle Bob bakal menjadi pengendali F&B pertama yang menghidangkan menu berasaskan tumbuhan Harvest Gourmet di Sabah dan kami ingin memanfaatkan kerjasama ini untuk bersama-sama meluaskan segmen berasaskan tumbuhan di Malaysia.”
Kelvin Ng, Pengarah Uncle Bob, berkata “Kami berbesar hati dan sukacita kerana telah dipilih oleh Nestlé, salah satu syarikat pengeluar F&B terbesar di dunia untuk menjadi sebahagian daripada usaha melancarkan produk berasaskan tumbuhan 100% di Sabah.”
“Penyelesaian tanpa daging telah mendapat sambutan yang menggalakkan di banyak tempat di dunia. Kini, kita tidak perlu lagi mengembara ke negara-negara lain untuk mencuba makanan berasaskan tumbuhan kerana kita ada pilihan tersebut di Sabah, iaitu dengan mengunjungi Uncle Bob. Makanan berasaskan tumbuhan tanpa daging adalah satu kemajuan besar dalam industri F&B di Borneo, dan Uncle Bob berbangga untuk menjadi jenama perintis yang memperkenalkannya di sini.”
Boleh didapati di Sabah mulai Ogos 2022, menu berasaskan tumbuhan pertama Uncle Bob akan menawarkan hidangan seperti ‘Bukan Ayam’ Goreng Berasaskan Tumbuhan (Plant-Based Fried Unchicken), Burger Segi Empat Panjang Berasaskan Tumbuhan (Plant-Based Oblong Burger), Nuget Keemasan Rangup Berasaskan Tumbuhan (Plant-Based Crispy Golden Nuggets) dan Nuget Keemasan KBOB Berasaskan Tumbuhan (Plant-Based KBOB Golden Nuggets) yang disediakan secara ala-carte dan juga sebagai set sajian yang disertakan dengan minuman MILO atau Sjora, pada harga antara RM9.90 hingga RM11.90.
Comments
Post a Comment