MENGAJAK RAKYAT MALAYSIA AMAL CARA HIDUP LEBIH SIHAT MELALUI CABARAN KECERGASAN

KL Wellness City Sdn Bhd, pembangun berwawasan hab kesihatan bersepadu 360 darjah, meneruskan usaha untuk mentakrifkan semula pengalaman masyarakat terhadap aktiviti sihat dan meningkatkan mutu kehidupan menerusi acara Cabaran Kecergasan Fizikal yang akan diadakan buat julung kalinya pada Disember 2022.

Acara ini bakal diadakan di KL Wellness City, Bukit Jalil dan merupakan cabaran kecergasan yang terdiri daripada laluan halangan CrossFit yang mempunyai tahap kesukaran yang berbeza. Matlamat utama acara ini adalah untuk mewujudkan sebuah platform yang menyatukan para atlet tempatan dan antarabangsa serta para peminat sukan daripada lingkungan umur 16 hinggalah 70 tahun untuk mencabar kekuatan serta meningkatkan tahap kesukanan dalam diri mereka. Untuk memenangi cabaran ini, pelumba perlu menghabiskan larian sejauh 5 kilometer dan merentasi lima halangan yang akan mencabar kekuatan dan daya tahan fizikal mereka.

Salah satu daripada lima cabaran ini ialah membawa pemberat 10kg ke titik yang seterusnya. Kekuatan stamina dan ketabahan para pelumba juga akan diuji menerusi aktiviti plank selama 2 minit, merangkak di bawah kawat duri dan melakukan 50 burpee. Untuk cabaran terakhir, para pelumba perlu berendam di dalam air sejuk untuk menguji ketahanan mental dan kesungguhan untuk menamatkan cabaran.

Dato’ Dr. Colin Lee, Pengarah Urusan KL Wellness City, percaya bahawa cabaran kecergasan fizikal ini akan lebih mendorong masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan mampan. Beliau berkata: “Statistik daripada para peserta industri mendapati rakyat Malaysia kini lebih mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan mereka sejak pandemik, dengan dua daripada lima rakyat Malaysia kini mula bersenam dengan lebih kerap.

“Di KL Wellness City, kami berpendapat bahawa aktiviti senaman fizikal di tempat terbuka adalah cara yang berkesan untuk memupuk individu supaya lebih peka tentang kesejahteraan dan kesihatan mereka. Kami juga amat berbesar hati dengan peluang yang diberikan untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat melalui Cabaran Kecergasan kami.”

KL Wellness City melihat program Cabaran Kecergasan ini sebagai peluang untuk memajukan sektor pelancongan sukan di Malaysia di mana sasaran para peserta terdiri daripada warga Malaysia dan ekspatriat.

Cabaran Kecergasan KL Wellness City bakal berlangsung pada 11 Disember 2022 dan mengalu-alukan kehadiran para peserta sama ada sebagai individu atau bersama rakan-rakan mereka di bawah kategori korporat. Larian berhalangan dibahagikan kepada tiga kategori umur (Junior untuk 16 – 29 tahun, Terbuka untuk 30 – 44 tahun dan Master untuk 45 tahun dan ke atas) dan terbuka kepada para peserta lelaki dan wanita.

Yuran pendaftaran untuk Cabaran Kecergasan ialah RM79 seorang (RM99 selepas 31 Oktober 2022). Para peserta akan menerima beg barangan bernilai RM150, kit perlumbaan, medal penamat, cip masa, t-shirt penyertaan, baucer makanan, perlindungan insurans dan sijil penyertaan (elektronik). Para peserta boleh mendaftar di https://register.racexasia.com/my/klfc22/registrations sebelum 15 November 2022.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai acara tersebut, ikuti laman Facebook KL Wellness City @klwellnesscity.


Comments

Popular posts from this blog

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!