NATIONAL THRIVE WEEK MENGETENGAHKAN PESAKIT KANSER TAHAP LANJUT DAN METASTATIK DI MALAYSIA


Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Rangkaian Kanser Paru-paru Malaysia (LCNM), dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), bersama-sama dengan Pfizer Malaysia melancarkan “National Thrive Week” yang julung kali diadakan, lantas menghidupkan platform yang memberikan fokus terhadap komuniti kanser tahap lanjut dan metastatik supaya semua orang yang menghidap kanser - biar tahap awal, lanjut, mahupun metastatik - dapat menerima sokongan sama rata sepanjang kehidupan mereka.

Majlis perasmian itu disaksikan oleh Menteri Kesihatan Sementara Malaysia, Yang Berhormat Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta Puan Liew Swee Lee, Setiausaha BCWA; Dr Anand Sachithanandan, Presiden LCNM & Perunding Pakar Bedah Kardiotorasik; Dr Dalilah Kamaruddin, Ketua Pegawai Perubatan di Pusat Saringan Kanser, NCSM; Pn Luksanawan Thangpaibool, Ketua Kluster Negara - Malaysia, Brunei & Pakistan; dan para tetamu jemputan.

“Kanser adalah penyakit yang sangat lazim, hampir separuh daripada jumlah semua lelaki dan satu pertiga daripada wanita akan mendapat diagnosis kanser dalam hidup mereka. Di Malaysia, 49,000 individu dianggarkan mendapat diagnosis kanser pada tahun 2020, dan angka ini dijangka akan meningkat kepada lebih daripada 66,000 kes baharu setiap tahun menjelang 2030. Walau bagaimanapun, keadaan dunia sejak dua tahun lepas mungkin akan membuat perubahan yang tak dapat diramalkan terhadap jumlah yang diunjurkan. Kelewatan rawatan dan pengagihan semula sumber hospital akan membawa kepada diagnosis lewat,” kata Yang Berhormat Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Kesihatan Sementara Malaysia.

“Kita sedia maklum bahawa program saringan, diagnosis awal dan intervensi dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit kanser, tetapi kita harus pertimbangkan dan ambil tindakan lanjut bagi memperbaiki kelestarian rawatan kanser dan pilihan penjagaan bagi mereka yang menghidap kanser - biar di tahap awal, lanjut, mahupun di tahap metastatik. Kami juga perlu mengakui kesempitan kewangan yang dihadapi oleh pesakit, menggalakkan perkongsian antara sektor awam dan swasta, dan terus meningkatkan kadar kecelikan kesihatan melalui program pendidikan dan kesedaran.”

“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pelancaran “National Thrive Week” yang julung kali diadakan hari ini. Saya harap kempen ini akan lebih meningkatkan kefahaman dan penerimaan kita terhadap semua yang menghidap kanser pada masa ini,” tambah Yang Berhormat Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mara ke hadapan bersama, dengan maklumat, jawapan dan harapan

Pelbagai aktiviti akan dianjurkan bersama BCWA, LCNM, NCSM dan Pfizer Malaysia untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser tahap lanjut dan metastatik, sempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara dan Bulan Kesedaran Kanser Paru-paru pada bulan Oktober dan November. Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah:
  • Forum awam yang bertajuk "Thrive in The Moment: An Insight Into Living With Cancer" yang merupakan sesi perkongsian oleh Puan Chang Chu San, pahlawan kanser payudara metastatik, Dr Tho Lye Mun, Naib Presiden LCNM dan Pakar Onkologi Klinikal, serta Cik Sri Ram Seetha, Pakar Intervensi Keperluan Khas dan Jurupulih Bermain Bertauliah, NCSM.
  • Pelancaran laman web Thrive-Malaysia.com, sumber digital komprehensif untuk pesakit tahap lanjut dan metastatik yang baru didiagnosis dan penjaga mereka di mana mereka akan mempunyai akses kepada pelbagai tips dan artikel kesihatan, video pendidikan serta buku panduan pesakit dan buku audio yang boleh dimuat turun untuk membantu pesakit dan orang tersayang sepanjang perjalanan mereka, daripada peringkat saringan, diagnosis, penentuan tahap, rawatan, sehinggalah ke tahap pengawasan kanser.
  • Berjalan Bersama BCWA bagi menghimpunkan komuniti kanser payudara di Malaysia, meraikan perjalanan hidup mereka sepenuhnya dan terus berkembang maju di sebalik diagnosis mereka, bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara pada bulan Oktober.
  • Strim langsung di media sosial oleh LCNM bertajuk ‘Is It Lung Cancer?’ bersama Dr Hilmi Lockman, Perunding Pernafasan & Perubatan Dalaman
  • Lawatan maya ke Perpustakaan Digital Tun Abdul Razak NCSM untuk memperkenalkan sumber yang ada seperti buku, laporan, buku panduan dan bahan pendidikan lain berkenaan dengan pencegahan, penjagaan, rawatan dan sokongan kanser untuk komuniti kanser.
Selain itu, kempen ini akan meneruskan usaha memupuk kesedaran melalui platform media sosial empat organisasi berkenaan dengan kandungan seperti video pendek yang bersemangat daripada mangsa kanser, simposium digital dan banyak lagi untuk memberikan inspirasi kepada komuniti kanser.

“Kanser payudara dan paru-paru adalah dua kanser yang paling lazim, serta punca utama kematian disebabkan kanser di seluruh dunia 1,2. Situasi ini mencetuskan idea National Thrive Week dan mendorong kami untuk bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi kami yang dihargai - BCWA, LCNM dan NCSM - bagi menghidupkan platform ini. Kami membayangkan National Thrive Week akan menjadi acara tahunan untuk mengumpulkan sumber dan sokongan bagi pesakit kanser tahap lanjut dan metastatik. Matlamat kami adalah untuk mengumpulkan orang ramai untuk turut terlibat dengan menjadi penyedia maklumat, jawapan dan juga pembekal harapan,” kata Puan Luksanawan Thangpaibool, Ketua Kluster Negara untuk Pfizer Malaysia, Brunei & Pakistan.

Di Malaysia, kira-kira 95% kes kanser paru-paru didiagnosis pada tahap lanjut1, dan walaupun mendapat diagnosis awal, hampir 30% wanita yang menghidap kanser payudara tahap awal akhirnya akan berkembang ke tahap penyakit metastatik2.

“Di BCWA, kami memahami bahawa diagnosis kanser payudara metastatik adalah sesuatu yang mencabar dari segi emosi dan fizikal, tetapi pesakit tidak perlu melaluinya bersendirian. Kami telah menubuhkan satu kumpulan sokongan pesakit kanser payudara metastatik untuk memberi tumpuan kepada isu-isu pesakit mBC termasuklah sokongan psikososial, akses kepada rawatan dan advokasi. Kami berharap untuk membuat perubahan positif di mana semua orang yang menghidap kanser payudara - biar tahap awal, lanjut, mahupun metastatik- dapat menerima sokongan sama rata," kata Puan Liew Swee Lee, Setiausaha BCWA.

Sentimen beliau disokong oleh Dr Dalilah Kamaruddin, Ketua Pegawai Perubatan di Pusat Saringan Kanser, NCSM. “Pengalaman setiap pesakit kanser adalah berbeza, tetapi maklumat dan sokongan yang betul boleh membantu mereka mengemudi perjalanan hidup dengan kanser. Rawatan kanser memerlukan lebih daripada sekadar prosedur dan ubat yang betul1. Matlamat kami di NCSM adalah untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang takut akan kanser dengan mewujudkan pemahaman yang lebih baik tentangnya yang akan membawa kepada pencegahan dan pengesanan awal. Kami berusaha untuk menyokong pesakit dan penjaga mereka dengan pendekatan holistik melalui inisiatif pendidikan tentang penyakit itu dan cara menangani kanser dalam pelbagai fasa,” kata Dr Dalilah Kamaruddin.

Beban penyakit kanser memberikan tekanan fizikal, emosi dan kewangan yang luar biasa kepada setiap pesakit serta keluarga, komuniti, dan individu lain terkesan akibat daripada penyakit berkenaan1. Kebimbangan terhadap wang dan pekerjaan, kesukaran menjadualkan dan menghadiri pelbagai rundingan dan kegawatan emosi yang timbul disebabkan diagnosis yang teruk ini adalah cabaran yang perlu diatasi oleh mereka yang menghidap kanser2.

Presiden LCNM, Dr Anand Sachithanandan menjelaskan bahawa ramai pesakit kanser paru-paru dapat menjalankan hidup dengan selesa selepas diagnosis mereka disebabkan kemajuan dalam dunia perubatan. “Kita perlu tahu bahawa kanser paru-paru ada kemungkinan untuk disembuhkan jika dapat dikesan awal, dan terapi pelbagai mod dan pendekatan pelbagai disiplin boleh memastikan ramai pesakit hidup akan dengan lebih lama dan bermakna selepas didiagnosis8. Kami mengalu-alukan masa depan di mana masyarakat mempunyai pemahaman yang lebih mendalam tentang kanser paru-paru supaya lebih banyak kanser dapat didiagnosis pada peringkat awal dan mengurangkan kadar kematian akibat kanser paru-paru,” kata Dr Anand.

National Thrive Week 2022 berharap untuk memberi inspirasi kepada komuniti kanser di Malaysia supaya terus maju ke hadapan di sebalik diagnosis mereka. Anda juga berkemungkinan besar mengenali seseorang yang hidup dengan kanser. Libatkan diri anda dengan menjadi seorang penyedia maklumat, jawapan dan pembekal harapan. Untuk maklumat lanjut mengenai National Thrive Week 2022, sila layari https://www.thrive-malaysia.com/.

Comments

Popular posts from this blog

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

FIRETALK 2024 BY NOURUL DEPP KEMBALI SUNTIK MOTIVASI, UBAH MENTALITI