MALAYSIA DIGITAL CONTENT FESTIVAL 2022 IKTIRAF INDUSTRI KANDUNGAN KREATIF DIGITAL SERANTAU

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kembali dengan Malaysia Digital Content Festival 2022 (MYDCF 2022) yang diadakan serentak bersama-sama Comic Fiesta, berlangsung dari 17 hingga 18 Disember di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

MYDCF 2022 yang dijangka menarik lebih 40,000 pengunjung dari seluruh Malaysia ini dirasmikan oleh Ketua Setiausaha KKD, YBhg. Dato’ Sri Haji Mohammad bin Mentek mewakili Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil.

YBhg Dato’ Seri Haji Mohammad bin Mentek, Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Digital (tengah) bersama YB Datuk Seri Surveyor Haji Md. Alwi bin Haji Che Ahmad, Pengerusi MDEC (kiri) dan YBrs Ts. Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC (kanan) melancarkan Malaysia Digital Content Festival (MYDCF) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 17 Disember 2022. 

MYDCF 2022 merupakan platform bagi meraikan kandungan kreatif digital terbaik daripada pencipta Malaysia dan Asia Tenggara. Sejajar dengan inisiatif strategik Malaysia Digital (MD), MDEC berhasrat untuk terus mengukuhkan ekosistem kandungan kreatif digital di Malaysia, mempromosikan kerjasama di seluruh rantau Asia Tenggara serta memperkasakan bakat kreatif tempatan sedia ada.

MDEC telah menganjurkan pelbagai program industri dan perdagangan untuk memperkasa dan memacu pertumbuhan industri kandungan kreatif digital Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa. Bagi melabuhkan tirai tahun ini, MYDCF 2022 akan mempamerkan harta intelek (IP) asli permainan dan animasi terkini untuk peminat kandungan kreatif digital.

Pada tahun ini, MDEC akan menganugerahkan pemenang Creativity@Schools Competition 2022, yang bertujuan untuk memberi inspirasi dan menyokong golongan muda untuk mencipta, mengembang dan mempersembahkan idea kreatif mereka ke peringkat dunia.

Creativity@Schools (C@S) Competition 2022 mempunyai dua kategori utama iaitu LEVEL UP@Schools Competition 2022 untuk permainan digital dan Kre8tif!@Schools Competition untuk animasi. Kre8tif!@Schools telah menerima lebih 100 penyertaan manakala LEVEL UP@Schools Competition 2022 telah mencatatkan 97 penyertaan.

Pakar-pakar industri kandungan kreatif digital akan menjadi juri bagi pertandingan C@S. Dua juri daripada studio Warnakala (Animasi) dan PlayStation Studios Malaysia (Permainan Digital) akan memilih pemenang pertandingan ini untuk dibimbing di bawah inisiatif C@S Adopt-A-Student yang bertujuan untuk memberi lebih banyak sokongan kepada bakat tempatan.

MYDCF 2022 akan menampilkan ikon industri tempatan dan antarabangsa dengan pengisian pelbagai aktiviti seperti pertandingan e-Sukan, pameran permainan, tayangan animasi dan penyampaian hadiah. Turut ditawarkan peluang pekerjaan dalam bidang industri kandungan kreatif digital oleh syarikat-syarikat yang mengambil bahagian pada kali ini.

Acara dua hari ini bakal menerima kehadiran syarikat permainan dan animasi antarabangsa seperti Larian Studios, Bandai Namco Studio, Xsolla, Omens Studio, Battlebrew Production, Weyrdworks dan lain-lain.

Pengunjung juga berpeluang untuk menyaksikan permainan yang dihasilkan oleh pembangun permainan tempatan seperti One More Dream Studios, Passion Republic, Blackfyre Media, IXI Creatives Sdn. Bhd. dan Illogical Sdn. Bhd. Tayangan animasi dari studio tempatan seperti Space Sheep Studio, Mirayi Animation Studio, All for One Production dan lain-lain turut menjadi tarikan utama buat peminat animasi.

Turut hadir pada majlis perasmian ialah Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts. Mahadhir Aziz.

Layari https://mdec.my/mydcf/ untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan acara ini.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!