PAMERAN SENI IMERSIF INYALA 2022 KINI DI FAHRENHEIT88 SEHINGGA 25 DISEMBER 2022


Pameran seni iNYALA yang bertemakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) akan mempamerkan sejumlah 17 karya seni instalasi dan digital yang mengajak pengunjung untuk menerokai kemajuan Malaysia dalam mencapai kelestarian manusia, sosial, ekonomi dan alam sekitar yang seimbang melalui gabungan data, visual, bunyi, ruang dan cahaya.

Sebagai platform progresif ini yang didedikasikan khas untuk seni, teknologi dan kelestarian, iNYALA 2022 disokong bersama oleh sekumpulan profesional industri di kalangan interdisiplin, termasuk artis digital, artis muzik, arkitek serta pakar audiovisual, komunikasi dan kreatif, dengan kerjasama pelajar-pelajar dari pusat pengajian tinggi tempatan seperti dari Universiti Malaya, Akademi Seni DASEIN, Universiti Multimedia dan Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang. Selain penyertaan seni karya dari pelajar, pameran tersebut akan menampilkan karya daripada artis antarabangsa dan tempatan seperti Kaoru Tanaka, FabU dan Jun Ong. Pertunjukan multimedia yang unik selama satu minit yang dibawa oleh karya digital dari Kaoru Tanaka, FabU dan LIE akan melibatkan kesemua 17 pemasangan seni dengan iringan muzik. Ia akan dimulai setiap jam untuk mempersembahkan pengalaman audiovisual bagi menyampaikan mesej untuk memperlihatkan keindahan dunia yang dapat dicapai sekiranya semua SDG yang saling berkait rapat direalisasikan.

“Tema tahun ini berfungsi sebagai ruang bagi pengunjung kami untuk berhenti sejenak dan memerhati setiap perkembangan dan kemajuan negara kita, khususnya mengenai SDG dan kepentingan untuk memahaminya sementara kita bangkit dari pandemik. Saya berharap keseluruhan format baharu iNYALA dalam bentuk seni generatif dapat diselami dan membawakan dialog yang berinspirasi serta membolehkan rakyat Malaysia membayangkan cara berfikir baharu dan melakukan perubahan positif demi dunia yang kita diami,” ulas Helios Loo, Pengasas iNYALA.

KUNJUNGI • TEROKAI • ALAMI DUNIA KIUB

Menjangkau lebih 3,392 kaki persegi, pameran seni media baharu iNYALA 2022 ini menghidupkan idea dunia yang indah yang diperbuat daripada kiub ‘technicolor’, bentuk simetri dan karya seni digital tanpa had. Pertunjukan ini terdiri daripada 17 pemasangan kiub dengan seni media yang dipetakan pada kanvas digital, pembentukan pengalaman visual indah yang bertindih dengan runut bunyi imaginasi dibawa oleh syarikat penerbitan muzik pemenang anugerah - Inner Voices Productions. Ia membolehkan pengunjung untuk menyelami sepenuhnya dengan data sebenar yang mendedahkan topik-topik penting di Malaysia pada masa lalu dan masa kini.



● “GLOWING PLANTS" oleh Kaoru Tanaka: Tumbuhan yang cantik dan halus sentiasa menyembuh dan menerangi hati dan jiwa kita. Tumbuhan memerlukan bahan semula jadi seperti cahaya matahari, karbon dioksida, dan air, kami sebagai manusia turut perlu memikir pilihan yang sedia ada apabila terlibat dalam penghasilan. Karya seni ini bertujuan untuk mencerminkan dan membayangkan semula bagaimana manusia boleh berubah dalam menghadapi kesan perubahan iklim melalui kaedah seperti menggunakan bahan semula jadi dalam pembuatan mampan sebagai sebahagian daripada penyelesaian yang berkemungkinan.

● “AMORPHOUS” oleh Tan Sher Lynn, FabU: Terpesona dengan estetika mikrob yang aneh, karya itu merupakan percubaan untuk mencipta semula fenomena semula jadi ini secara digital. Kita mungkin boleh belajar daripada tingkah laku organisma kecil ini yang menyerupai komputer biologi dan bagaimana ia mempengaruhi satu sama lain, membentuk rangkaian cekap serupa dengan corak yang dijana secara matematik. Dengan menjadikan yang tidak kelihatan dapat terlihat, kita boleh melibatkan diri dalam pemahaman yang lebih mendalam tentang hubungan kita dengan mikrob dan komuniti di sekeliling kita.


● “VIVID DREAMS” oleh LIE: Matlamat tanpa tindakan hanyalah mimpi. Lebih daripada sekadar kenyataan, SDG ialah usaha berterusan untuk mencapai masa depan yang lebih baik dan mampan. Kenyataan tersebut dihidupkan dengan mencipta semula ikon Matlamat Pembangunan Mampan dalam bentuk gerakan abstrak. Pergerakan berirama lampu mewakili perjalanan yang berterusan ke arah matlamat; dan kesinambungan impian yang kita boleh capai bersama untuk masa depan yang mampan.

● “TILL THE GREENS ARE GONE” oleh Si Ying: Karya ini dicipta untuk menangani SDG ke-15 – Hidupan Atas Darat. Ia mempamerkan laluan visual warna dan bentuk dari perkampungan ke pusat bandar. Di sepanjang laluan itu, ia akan berlaku peralihan beransur-ansur pemandangan daripada hijau organik yang meriah kepada rona mati kelabu keras di bangunan tinggi. Data warna dikumpul daripada gambar penebangan hutan dan kerja pembinaan yang diambil di Kuala Lumpur dan Selangor.

● “PIXELS” oleh Jun Ong: Bentuk karya seni instalasi dan pengalaman spatial iNYALA 2022 direka oleh Jun Ong. Seni instalasi itu sendiri merupakan objek dan juga rangka kerja dinamik. Dengan menggunakan sistem modular, rangka kerja yang diperbuat daripada kadbod bersama dengan pemasangan seni digital dibayangkan semula menjadi “pixelscape" yang berliku-liku membolehkan data dicerita dan divisualisasikan melalui skala dan dimensi yang berbeza. Dari jauh, pemasangan bercahaya menyerupai rupa bumi geologi manakala dari dekat mengingatkan salah satu fasad bandar yang dinamik. Seluruh tulang belakang melabuhkan dirinya di atas lantai melalui piksel yang besar dan ruang yang membolehkan pelawat mengalami bahagian dalam piksel.

Berpegang teguh pada misinya untuk menjadikan kelestarian teras kepada amalan pembuatan seni, iNYALA 2022 telah mengguna pendekatan inovatif untuk mengutamakan reka bentuk dan pembinaan pameran mesra alam dengan 75% daripada bahan yang digunakan adalah organik, diperbaharui dan boleh dikitar semula sebagai usaha untuk mengelakkan pakai buang, mengurangkan pembaziran dan kesan karbon keseluruhan. Pameran seni ini terdiri daripada dua komponen utama - panel LED dan kadbod, di mana lebih daripada 300 modul LED lama dikumpulkan di seluruh bandar untuk dibaiki dan dipakai semula menjadi instalasi kiub besar manakala kadbod adalah bahan yang sederhana dan tidak dirawat secara kimia yang diperbuat daripada kertas pulpa.

Kemasukan ke iNYALA 2022 adalah percuma, bermula dari 10:00 pagi hingga 10:00 malam.

iNYALA 2022 diterajui oleh Helio Media dengan kerjasama Filamen. Ia disokong oleh Tourism Malaysia dan Yayasan Sime Darby. Pameran seni terbaharu ini dijayakan oleh Fahrenheit88, Co-labs Coworking, NovaStar, Nextrend, De Carton, LIE Design, Inner Voices Productions, Jun Ong dan RUBIX.

iNYALA 2022 menyokong SDG yang ditakrifkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-GA). SDG merupakan satu set matlamat yang komprehensif untuk menamatkan kemiskinan, melindungi bumi kita dan memperbaiki keadaan taraf hidup serta prospek penduduk global, untuk masa kini dan masa depan.

iNYALA ialah platform progresif yang berusaha untuk memberi inspirasi kepada kemungkinan dan mencipta pengalaman baharu melalui seni media dan teknologi digital. Untuk maklumat terkini tentang iNYALA 2022, layari https://inyala.my/ serta ikuti @iNYALA.my di Facebook dan Instagram.

Comments

Popular posts from this blog

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA