RESORTS WORLD GENTING LANCAR PERKHIDMATAN ULANG-ALIK EV DENZA D9 DALAM USAHA MEMPERKUKUH KELESTARIAN
Resorts World Genting (RWG) terus memperkukuh komitmennya terhadap agenda kelestarian menerusi majlis penyerahan rasmi kenderaan elektrik (EV) DENZA D9 Premium, sekali gus memperkenalkan perkhidmatan ulang-alik MPV elektrik pertama di dalam resort tersebut.
Majlis penyerahan kenderaan elektrik (EV) yang berlangsung di Awana Village pagi semalam menghimpunkan wakil daripada RWG, DENZA Sime Motors dan BYD Sime Motors bagi meraikan kerjasama strategik ini.
DENZA D9 Premium yang diperkenalkan akan menyediakan perkhidmatan ulang-alik untuk tetamu yang bergerak antara Genting Grand dan Crockfords, sekali gus menawarkan pengalaman pengangkutan yang lebih selesa, premium dan mesra alam di dalam resort. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan RWG dalam mengurangkan pelepasan karbon serta menyokong penyelesaian mobiliti hijau, selaras dengan aspirasi kelestarian syarikat secara menyeluruh.
Dalam ucapannya semasa majlis tersebut, Spencer Lee, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran, dan Perhubungan Awam menekankan kepentingan penggunaan alternatif pengangkutan yang lebih mesra alam di dalam resort bersepadu itu. “Pengenalan perkhidmatan ulang-alik EV DENZA D9 ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan kelestarian RWG. Seiring usaha kami meneroka pelbagai inisiatif hijau dalam operasi, kami turut berhasrat meningkatkan pengalaman tetamu dengan menyediakan pengangkutan yang bukan sahaja cekap dan mewah, tetapi juga lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.
![]() |
| Spencer Lee, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran, dan Perhubungan Awam RWG |
Bea Kwang Tat, Ketua Bahagian Runcit, Denza Sime Motors berkata, “Kami berbesar hati sejurus RWG memilih DENZA D9 sebagai kenderaan bagi perkhidmatan ulang-aliknya. Direka dengan penekanan terhadap keselesaan dan kemewahan yang sofistikated, kami percaya DENZA D9 mampu meningkatkan pengalaman keseluruhan tetamu selaras dengan penjenamaan dan kedudukan resort ini. Penyerahan ini juga menandakan permulaan kepada perjalanan jangka panjang kami dalam memperkukuh kehadiran di Malaysia serta terus menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi yang diyakini pelanggan.”
RWG merupakan resort bersepadu pertama dalam industri yang memperkenalkan DENZA D9 Premium sebagai sebahagian daripada operasi perkhidmatan pengangkutannya, sekali gus mengukuhkan komitmen terhadap inovasi serta amalan hospitaliti mampan.
DENZA D9 Premium elektrik sepenuhnya menyokong usaha kelestarian RWG dengan menawarkan pilihan pengangkutan yang lebih hijau dan mesra alam di dalam resort. Dilengkapi teknologi Blade Battery daripada BYD, MPV mewah ini turut memberikan pengalaman perjalanan yang lebih senyap dan lancar kepada para tetamu.
Direka dengan mengutamakan keselesaan penumpang, DENZA D9 Premium dilengkapi susun atur tempat duduk tiga baris yang luas serta tempat duduk premium kulit NAPPA, di samping keselesaan ruang kabin penumpang yang dipertingkatkan, sekali gus menaikkan pengalaman perjalanan ulang-alik antara Hotel Genting Grand dan Hotel Crockfords ke tahap yang lebih eksklusif.
RWG terus komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif yang lebih hijau dan mesra alam di seluruh resort, dengan pengenalan perkhidmatan ulang-alik EV DENZA D9 menjadi satu langkah ke arah operasi yang lebih lestari. Selain usaha mobiliti hijau, RWG turut memperkenalkan pelbagai tarikan eko pelancongan dan berteraskan alam semula jadi seperti Eufloria, sebuah taman bunga dan arca yang diinspirasikan daripada keindahan alam bagi memupuk penghargaan terhadap biodiversiti dan alam semula jadi, serta Genting Nature Adventures yang menggalakkan para pengunjung menerokai persekitaran hutan hujan di sekeliling melalui pengalaman luar yang lebih lestari dan imersif.
Untuk maklumat lanjut, sila layari rwgenting.com atau ikuti saluran media rasmi RWG.
.jpg)
.jpg)
.png)
Comments
Post a Comment