BAGAIMANA IMUNOTERAPI BOLEH MELATIH SISTEM IMUN DENGAN LEBIH BAIK KETIKA MELAWAN KANSER


Hari Kanser Sedunia disambut pada tanggal 4 Februari setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kanser yang boleh hadir dalam pelbagai bentuk dan memberikan pelbagai kesan, serta cara rawatan dan pemulihannya. Teknologi merawat kanser telah semakin bertambah baik dan maju dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan salah satu teknologi baru yang telah dikenalpasti berkesan dalam merawat kanser ialah rawatan Imunoterapi yang juga telah berada di Malaysia.

Imunoterapi adalah sebuah rawatan yang unik, di mana ia menggunakan sistem imun badan untuk melawan kanser. Pakar Perunding Onkologi daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Hafizah Zaharah Ahmad menerangkan bahawa sistem imun adalah seperti sepasukan polis di dalam tubuh - ia direka untuk melindungi tubuh daripada sebarang jangkitan dan penyakit. Sistem imun juga boleh melindungi tubuh manusia daripada pembentukan kanser. Kebiasaannya, ia dapat mengesan dan menghapuskan sel yang rosak atau sel yang bermutasi dalam badan lalu menghapuskannya sebelum ia menjadi ancaman ketara.

Namun begitu, kanser masih boleh berlaku apabila sistem imun tidak cukup kuat untuk membunuh sel kanser atau apabila sel kanser bersembunyi daripada sistem imun (sel kanser berupaya untuk menyerupai sel normal yang lain).

Apa yang membezakan Imunoterapi daripada rawatan lain?

Imunoterapi berbeza sebagai rawatan kanser kerana ianya lebih bersasar. Imunoterapi merawat pesakit dengan bertindak ke atas sistem imun mereka.

“Imunoterapi pula menggunakan sistem imun untuk melawan kanser. Imunoterapi boleh meningkatkan atau mengubah cara sistem imun berfungsi supaya ia boleh mengenali dan membunuh sel-sel kanser,” jelas Dr Hafizah.

Sel kanser bermula daripada sel-sel normal, justeru sistem imun tidak selalunya dapat mengecam sel kanser sebagai ancaman. Sel kanser ini diibaratkan seperti boleh menekan butang 'brake' pada sel imun lalu menyebabkan sistem imun tidak dapat menyerangnya. ‘Checkpoint inhibitors’ (sejenis imunoterapi) pula akan menurunkan semula ‘brake’ ini dari sistem imun dan membantu ia mengenali serta menyerang sel-sel kanser.

Beliau menambah bahawa pelbagai ejen imunoterapi akan diberikan dalam bentuk infusi ke dalam vena (IV) dengan kekerapan setiap dua, tiga atau empat minggu sekali dan boleh diberikan secara sendiri atau digabungkan dengan terapi sasaran (targeted therapy) atau kemoterapi. Bagi tahap kanser yang lebih ketara, rawatan imunoterapi secara amnya akan dijalankan selama 2 tahun berserta pemantauan rapi daripada doktor pakar.

Memastikan pesakit mendapat rawatan yang sesuai

Walaupun imunoterapi mungkin dilihat sebagai sebuah sinar harapan untuk pesakit kanser, Dr Hafizah menekankan bahawa tidak semua kanser akan bertindak balas dengan baik terhadap rawatan imunoterapi.

Sebelum memulakan imunoterapi, pesakit perlu menjalani ujian biomarker tertentu seperti ujian PD-L1 yang perlu dilakukan terhadap spesimen kanser untuk memastikan pesakit akan mempunyai tindak balas terhadap rawatan. Imunoterapi boleh digunakan sebagai rawatan untuk pelbagai jenis kanser termasuklah kanser paru-paru bukan sel kecil, kanser payudara tiga kali ganda negatif, kanser kepala dan leher, kanser serviks, kanser gastrik, kanser esofagus, kanser pundi kencing, melanoma (sejenis kanser kulit), kanser hati, karsinoma sel renal serta kanser endometrium dan kanser kolon.

Dr Hafizah juga berkongsi pengalamannya dengan pesakit yang bertindak balas dengan baik terhadap rawatan imunoterapi termasuklah seorang pesakit wanita yang dirawatnya dua tahun lalu dengan kanser kulit tahap lanjut yang telah merebak dan tidak bertindak balas terhadap rawatan kemoterapi. Walau bagaimanapun, selepas menjalani imunoterapi pesakit tersebut kekal dalam keadaan remisi sehingga ke hari ini.

“Seorang lagi pesakit yang sedang menjalani rawatan imunoterapi di bawah rawatan saya ialah seorang lelaki yang menghidap kanser kolon tahap 4. Ujian biomarker telah dilakukan pada spesimen kanser beliau dan disahkan sesuai untuk imunoterapi. Keputusan pengimejan terbaru beliau menunjukkan kanser sudah hampir pulih sepenuhnya. Walau bagaimanapun, tidak semua pesakit sesuai untuk menjalani imunoterapi. Seperti dijelaskan di atas, ujian biomarker khas perlu dijalankan sebelum menentukan kesesuaian rawatan ini,” kata Dr Hafizah.

Kesan sampingan, simptom dan alahan

Seperti mana-mana rawatan lain, imunoterapi juga memberikan kesan sampingannya.

“Kesan sampingan imunoterapi pula adalah berbeza kerana mekanisme tindakannya juga berbeza. Secara amnya, rawatan ini dapat diterima baik oleh pesakit, dengan kemungkinan untuk mendapat kesan sampingan seperti rasa letih, ruam kulit atau sakit otot atau sendi.

“Walaupun jarang berlaku, sesetengah pesakit juga boleh menunjukkan reaksi alahan termasuk pening, jantung berdegup laju, muka bengkak atau masalah pernafasan. Selain itu, pesakit juga perlu tahu jika mereka mengalami tindak balas autoimun yang boleh menyebabkan masalah serius kepada paru-paru, usus, hati, kelenjar hormon, buah pinggang, kulit atau lain-lain. Antara simptom yang perlu diberi perhatian ialah cirit-birit, sakit perut yang teruk, batuk yang semakin teruk, sesak nafas atau kesukaran bernafas,” tambah Dr Hafizah.

Setiap pesakit mempunyai perjalanan tersendiri untuk bebas daripada kanser, tetapi Dr Hafizah memberi jaminan bahawa penyelidikan kanser telah mendorong rawatan kanser ke era baru yang dapat membawa kepada kadar kawalan kanser atau kadar penyembuhan yang lebih tinggi. Beliau mengesyorkan orang ramai untuk mengambil insurans perubatan bagi menguruskan kos rawatan yang semakin meningkat – dan setiap pesakit harus berunding dengan doktor mereka untuk mencari pilihan rawatan terbaik apabila disahkan dengan diagnosis kanser.

Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Sebarang maklumat, sila hubungi +603 9772 9191 atau email kami di smcv-enquiry@sunway.com.my. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Sunway Medical Centre Velocity, sila layari www.sunmedvelocity.com.my (Facebook: Sunway Medical Velocity).

Comments

Popular posts from this blog

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA