IMPIAN PEMINAT WESTLIFE MENJADI NYATA DI KONSERT THE WILD DREAMS TOUR


Kembali ke Malaysia dengan konsert jelajah dunia - The Wild Dreams Tour, Westlife mengubati rindu para peminat setianya di Malaysia dengan konsert bukan untuk satu malah dua malam!  

Westlife, kuartet Ireland yang dianggotai oleh Shane Filan, Kian Egan, Mark Feehily dan Nicky Byrne. Mereka telah berkecimpung di dunia muzik sejak 25 tahun lalu dan masih mampu menggegarkan stadium. 


Kali terakhir boyband Ireland ini membuat persembahan di Malaysia adalah pada tahun 2019. Selepas empat tahun menyepi, kini mereka kembali membawakan nostalgia boyband di Axiata Arena, Kuala Lumpur dalam konsert yang dianjurkan oleh Trumpet International.


Danial Chuer, penyanyi dan penulis lagu muda berbakat dari Tawau, Sabah membuka tirai konsert dengan dua buah lagu - I Have Nothing oleh Whitney Houston dan lagu Melayu berjudul Ku Bersuara yang dipopularkan oleh Ernie Zakri. Vokal yang mantap daripada penyanyi baru berusia 21 tahun ini memukau dan mendapat tepukan gemuruh daripada penonton yang hadir.


Westlife memulakan persembahan mereka dengan Starlight, sebuah lagu daripada album studio kedua belas mereka, Wild Dreams yang dikeluarkan pada November 2021. Ia merupakan single pertama mereka dalam masa dua tahun dan ditulis bersama oleh ahli kumpulan Shane Filan dan Mark Feehily, serta beberapa penggubah lagu legenda lain. 


Lagu kedua mereka, Uptown Girl yang dikeluarkan pada tahun 2000 mendapat sorakan dan tepukan bergemuruh. 

Arena Axiata telah bertukar menjadi sebuah pentas karaoke besar-besaran apabila para peminat turut menyanyikan bersama lagu-lagu Westlife yang menjadi kegemaran mereka.
 

Antara lagu-lagu yang dibawakan adalah When You're Looking Like That, Fool Again, If I Let You Go, My Love dan Sweat It again

Persembahan diteruskan dengan medley lagu-lagu Abba yang termasuk Mamma Mia, Dancing Queen, Waterloo, Gimme! Gimme! Gimme and Thank You For The Music. 

Westlife menyanyikan medley What About Now/ Mandy sebelum membawakan I Lay My Love On You, Seasons of the Sun dan World of Our Own/ Crazy. 


Konsert Westlife tidak lengkap tanpa dendangan Flying Without Wings yang mendapat sambutan gemuruh daripada semua. Westlife meninggalkan pentas sebaik sahaja lagu tersebut.

Dengan sorakan "encore" yang bertalu-talu dari penonton, Westlife kembali menyerikan pentas dengan Hello My Love dan You Raise Me Up sebelum mengucapkan selamat malam dan selamat tinggal kepada semua.


Dianggarkan 8,000 penonton telah hadir ke malam pertama konsert Westlife - The Wild Dreams Tour ini pada 23 Februari.

 

Comments

Popular posts from this blog

CARIAN TAHUN 2024: INILAH PERKARA YANG DICARI, DISAMBUT, DAN DIINGATI OLEH RAKYAT MALAYSIA

‘REAL MEN MALAYSIA: WIRA MERAH’- 8 SELEBRITI JALANI KEHIDUPAN SEBENAR JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA