APA YANG ANDA PERLU TAHU MENGENAI EKZEMA DAN ALAHAN PADA KANAK-KANAK?


Ekzema merupakan masalah kulit yang dialami ramai dan boleh bermula daripada peringkat bayi, dan sementara sesetengah individu dapat mengawal penyakit ini dengan kesan minimum ke atas kehidupan seharian mereka, terdapat segelintir golongan yang harus berterusan hidup dengan penyakit ini. Hal ini amat membimbangkan terutamanya terhadap ibu bapa, kerana menurut Persatuan Dermatologi Malaysia, lebih 20% kanak-kanak Malaysia menghidapi ekzema atau dikenali sebagai dermatitis atopik.

Walaupun ekzema tidak selalunya merupakan penyakit alergi (alahan), alergen boleh memainkan peranan dalam menerukkan lagi keadaan seperti hama habuk dan bulu haiwan peliharaan lalu menyebabkan kanak-kanak mengalami alahan terhadap makanan, haiwan peliharaan, hama habuk atau debunga.

Dr Melanie Majaham, Pakar Perunding Kanak-Kanak daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) berkongsi bahawa ekzema selalunya berlaku kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kulit kering. “Kulit akan menjadi gatal dan berlaku keradangan apabila terdedah kepada bahan kimia, peluh dan cuaca panas. Ini menyebabkan kanak-kanak akan berterusan menggaru bahagian yang gatal seterusnya menyebabkan kerosakan kulit dan terdedah kepada jangkitan bakteria, virus dan fungus. Kanak-kanak akan berada di dalam kesakitan, sentiasa berasa tidak selesa, berkemungkinan untuk demam dan mungkin perlu dimasukkan ke dalam hospital untuk mendapat rawatan IV antibiotik dan ubat-ubatan antivirus.”

Rawatan untuk ekzema dan alahan

Kanak-kanak dengan ekzema boleh mengalami tompokan yang merah, kering serta gatal akibat keradangan kulit. Apabila mereka kerap menggaru, ia akan menyebabkan lepuhan (blister) yang meleleh, berkerak atau luka akibat jangkitan. Dr Melanie juga menasihatkan bahawa pilihan rawatan bergantung kepada fasa penyakit ekzema itu sendiri.

“Ketika fasa ‘active flare-ups’, pesakit mungkin memerlukan krim berasaskan steroid yang penting untuk mengurangkan keradangan dan menghentikan kitaran kegatalan atau “itch-cycle”. Dalam keadaan di mana kulit sedang dijangkiti bakteria, virus atau fungus, ubat-ubatan antibiotik dan antivirus mungkin diperlukan. Ibu bapa juga perlu tahu bahawa preskripsi krim steroid akan diberikan untuk masa yang singkat adalah selamat dan tidak akan membawa kepada komplikasi jangka panjang.

“Semasa fasa subakut/kronik di mana kulit hanya kering tetapi tidak meradang secara aktif, terapi penyelenggaraan (maintenance therapy) adalah penting untuk mencegah ekzema daripada berubah ke fasa ‘flare-up.’ Terapi penyelenggaraan ini termasuklah menggunakan krim pelembap intensif yang bebas daripada pewangi dan bahan kimia tertentu. Kanak-kanak juga perlu menggunakan mandian bebas sabun untuk mengelakkan kulit kering secara berlebihan. Kulit yang basah kemudian hendaklah dikeringkan perlahan-lahan dengan menggunakan tuala. Air yang terlalu suam juga cenderung untuk membuatkan ekzema bertambah teruk,” kata Dr Melanie.

Sementara itu, Dr Juani Hayyan Abdul Karaf, Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) dan Pakar Bedah Kepala dan Leher daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) menambah bahawa pilihan rawatan untuk alahan juga berbeza-beza dan bergantung kepada tempat manifestasi bagi rawatan bersimptomatik. “Terdapat imunoterapi dalam bentuk suntikan yang boleh digunakan untuk merawat alahan, tetapi ini adalah untuk alergen tertentu seperti hama habuk rumah. Selalunya, alahan berlaku disebabkan sesuatu pencetus (trigger), jadi ibu bapa harus memerhatikan anak-anak mereka jika sering terdedah kepada makanan atau persekitaran tertentu seperti persekitaran yang berdebu, cuaca sejuk, panas atau bulu haiwan."

Dalam kes bayi yang baru dilahirkan, Dr Juani berkongsi bahawa ibu bapa harus melihat tanda-tanda intolerasi laktosa seperti cirit-birit, muntah atau ruam kulit, dan bertukar kepada pilihan tanpa tenusu.

Bolehkah kanak-kanak berterusan mempunyai ekzema sehingga dewasa?

Walaupun ia bukan kejadian yang jarang berlaku, tidak ramai yang sedar bahawa kanak-kanak yang menghidapi ekzema juga boleh mengalami alahan makanan, resdung dan asma yang juga dikenali sebagai perarakan atopik atau ‘atopic march’ - sebuah perkembangan semula jadi bagi penyakit alahan dari bayi hingga dewasa. Lebih daripada 50% kanak-kanak yang menghidapi ekzema menghidap asma ketika meningkat dewasa, dengan 33% lagi mengalami alahan makanan serta risiko yang meningkat untuk mendapat penyakit resdung.

Dr Juani berkongsi bahawa ‘atopic march’ berlaku apabila pesakit berterusan mengalami alahan yang saling berkaitan ketika di zaman kanak-kanak serta ianya akan bermula daripada ekzema.

“Atopi dikenali sebagai tindak balas imun yang berlebihan, dan secara amnya ia boleh menyebabkan reaksi di seluruh badan. ‘Atopic march’ bermula daripada penyakit kulit kerana ia merupakan penghalang badan pertama yang boleh dilanggar. Badan boleh bertindak balas secara berterusan kemudiannya bertukar menjadi alahan makanan, resdung dan asma,” kongsinya.

Adakah ekzema atau ‘atopic march’ boleh diwarisi?

Pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa genetik memainkan peranan penting dalam perkembangan keadaan atopik. Ekzema berlaku disebabkan oleh gabungan pencetus persekitaran dan genetik dan hal ini cenderung untuk berlaku jika terdapat sejarah keluarga yang mempunyai ekzema atau alahan lain seperti asma atau resdung. Pencetus persekitaran boleh disebabkan oleh faktor-faktor tertentu seperti makanan, sabun, krim atau bahan kimia. Walau bagaimanapun, bagi kebanyakan pesakit ekzema, tiada sumber yang boleh dikenal pasti sebagai pencetus penyakit ini.

Kajian juga telah menunjukkan bahawa wanita yang makan lebih banyak ayam semasa hamil boleh meningkatkan risiko ekzema pada bayi. Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa wanita hamil yang mengambil lebih banyak tenusu, telur dan diet berasaskan tumbuhan dapat memainkan peranan dalam melindungi anak mereka daripada ekzema.

Langkah pencegahan

Ketika ini, masih tiada lagi ubat-ubatan yang boleh menyembuhkan masalah kulit ataupun alahan secara kekal, namun Dr Melanie mempunyai satu nasihat untuk ibu bapa yang mempunyai anak dengan masalah ekzema: gunakan pelembap kulit!

“Ibu bapa harus memastikan anak mereka sentiasa berada dalam keadaan nyaman kerana haba boleh membuatkan ekzema bertambah teruk. Gunakan pelembap kulit sepanjang masa juga amat membantu dalam memastikan kanak-kanak kekal selesa. Elakkan daripada menggunakan sabun antiseptik yang kasar kepada kulit dan boleh menjadikan ekzema semakin teruk. Sesetengah ibu bapa berpendapat bahawa ekzema terjadi disebabkan oleh tahap kebersihan yang rendah lalu cenderung untuk menggunakan sabun antiseptik. Walau bagaimanapun, jalan penyelesaiannya ialah dengan menggunakan mandian bebas sabun dan bebas pewangi serta kaya dengan emolien (pelembap). Sabun "organik" tidak selalunya menjadi penyelesaian kerana ia mungkin tidak cukup melembapkan kulit."

Terdapat juga pelbagai langkah lain yang boleh dilakukan oleh pesakit dengan sokongan daripada ibu bapa atau penjaga mereka seperti mengamalkan pemakanan sihat dan sentiasa kekal aktif. “Ibu bapa perlu memastikan anak bersenam dengan kerap, luangkan masa di luar rumah dan dapatkan Vitamin D yang bermanfaat untuk kesihatan kanak-kanak secara menyeluruh. Kekalkan berat badan yang ideal dan dapatkan tidur yang mencukupi untuk membantu dalam membina sistem imun yang lebih kuat, " kata Dr Juani.

Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Sebarang maklumat, sila hubungi +603 9772 9191 atau email kami di smcv-enquiry@sunway.com.my. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Sunway Medical Centre Velocity, sila layari www.sunmedvelocity.com.my (Facebook: Sunway Medical Velocity).

Comments

Popular posts from this blog

KEHADIRAN WATAK-WATAK BAHARU MENCERIAKAN ASTRO SMK MUSIM 3