IDEAS AUTISM CENTRE (IAC) MELANCARKAN KEMPEN KESEDARAN AUTISME

IDEAS Autism Centre (IAC), sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan Malaysia yang menyediakan program intervensi awal, terapi dan pendidikan untuk kanak-kanak dengan autisme, melancarkan kempen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Minggu Kesedaran Autisme yang akan berlangsung dari 29 Mac hingga 2 April 2023 di NU Sentral.

Presiden Pengasas dan Pengerusi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), YAM Tunku Zain Al’-Abidin, Pengetua dan Pengurus Pusat IAC, Puan Sharifah binti Salleh, Pengarah Kewangan IDEAS, Puan Mazrina Ariffin, disusuli dengan duta dan selebriti Kempen Kesedaran Autisme mengambil gambar bersama dengan kanak-kanak Autisme dari IDEAS Autisme Centre. 

Minggu Kesedaran Autisme, yang dianjurkan dengan kerjasama The Hope Branch dan Nu Sentral, merupakan kempen yang akan diadakan secara tahunan oleh IAC dengan objektif utama untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai autisme. Inisiatif ini diwujudkan bagi menarik perhatian orang ramai kepada keperluan dan cabaran individu-individu yang hidup dengan autisme. Langkah ini akan menggalakkan lagi tahap penerimaan, pemahaman dan keterangkuman individu autistik dalam masyarakat.

Majlis penyampaian ‘Mock cheque’ oleh Pengurus Besar NU Sentral, Alice You, kepada Presiden Pengasas dan Pengerusi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), YAM Tunku Zain Al’-Abidin. 

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Presiden Pengasas dan Pengerusi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), YAM Tunku Zain Al’-Abidin, disaksikan oleh tetamu-tetamu kehormat lain dan duta Kempen Ramadan.

“IDEAS Autisme Centre tidak jemu-jemu membantu dan memberikan sokongan kepada komuniti autistik, memfokuskan kepada aspek pembangunan sosial dan pendidikan untuk menolong mereka hidup berdikari pada masa hadapan. Sepanjang kempen ini, kami akan menunjukkan aktiviti yang dilakukan di dalam kelas menerusi empat buah stesen merangkumi aktiviti berteraskan motor, deria, pertuturan dan permainan. Daripada inisiatif ini, kita boleh merancakkan lagi usaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai bagi memupuk budaya penerimaan dan persefahaman dalam kalangan rakyat secara keseluruhannya.”

Dalam laporan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) pada 2022, 1 daripada 44 kanak-kanak dikenal pasti menghidap kecelaruan spektrum autisme (ASD). Penemuan ini dikesan susulan kajian yang dijalankan antara 2009 hingga 2017, yang mendapati bahawa 1 daripada 6 (17%) orang kanak-kanak berumur tiga hingga tujuh belas tahun didiagnosis mengalami kecacatan perkembangan. Walaupun sesetengah individu dengan autisme boleh hidup berdikari, sebahagian individu yang lain mempunyai kecacatan yang teruk dan memerlukan penjagaan dan sokongan sepanjang hayat. Autisme lazimnya memberi kesan kepada pendidikan dan peluang pekerjaan. Di samping itu, keluarga individu autistik juga berdepan tekanan yang signifikan dalam menyediakan penjagaan dan sokongan.

Semasa acara pelancaran, IAC membuka gerai untuk mempamerkan kegiatan yang dilakukan di pusat autisme mereka. Stesen yang disediakan menganjurkan aktiviti berasaskan deria, motor, pertuturan dan aktiviti-aktiviti menarik yang membolehkan pelawat merasai beberapa cabaran dan perbezaan unik berkaitan autisme.

Stesen interaktif ini terbuka kepada semua pelawat, tanpa mengira umur, dan ia menyediakan ruang yang selamat serta inklusif untuk pengunjung belajar dan berhubung dengan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan IDEAS Autisme Centre (IAC).

IDEAS, juga dikenali sebagai Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, ialah pertubuhan pemikir bukan berasaskan keuntungan Malaysia yang mengkhusus dalam mempromosikan penyelesaian kepada cabaran-cabaran dalam dasar awam. Organisasi ini memberikan tumpuan kepada tiga misi utama yang menyeluruh, merangkumi usaha untuk memajukan sebuah ekonomi yang berdaya saing, memastikan kepercayaan terhadap institusi dan menggalakkan pembentukan Malaysia yang bersifat lebih terangkum.

Maklumat lanjut tentang IAC dan Minggu Kesedaran Autisme boleh didapati dengan menghubungi shafiqah@ideas.org.my.

 

Comments

Popular posts from this blog

STUDY MELBOURNE HUB KUALA LUMPUR KEMBALI BEROPERASI DI LOKASI BERWAJAH BAHARU, MENGUKUHKAN HUBUNGAN DUA HALA ANTARA MALAYSIA DAN VICTORIA

DI PERSEMBUNYIAN - ALBUM PERDANA DUO FOLK POP SATWO MEMBAWA ‘ROLLERCOASTER’ MUZIK DAN EMOSI