YOLO MALAYSIA MEMPERSEMBAHKAN SIRI JELAJAH KONSERT RUFFEDGE DI MALAYSIA & SINGAPURA


Walaupun berada lebih dari 2 dekad di persada muzik negara, kumpulan vokal R&B bertaraf legendaris yang dianggotai oleh Azan, Cat, Mode, Sein dan Zain, iaitu Ruffedge, masih mempunyai pengaruh yang kuat di Malaysia, dan buat kedua kalinya, syarikat penganjur acara terkemuka yang membawakan hiburan bermutu dari dalam mahupun luar negara, YOLO Malaysia sekali lagi bergabung dengan kumpulan tersebut untuk sebuah siri jelajah konsert istimewa di Malaysia dan Singapura digelar RUFFERA 'That Moment In Time’ bermula Jun hingga Ogos 2023 ini.

“Ini adalah kolaborasi kedua Ruffedge bersama YOLO Malaysia, jika dahulu konsert mereka diadakan hanya secara maya melalui aplikasi zoom ketika berlakunya pandemik, kini peminat berpeluang menyaksikan mereka beraksi secara ‘live’ di beberapa lokasi yang telah ditetapkan,” kata Haniff Hamzah, selaku Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia.


Ditubuhkan pada tahun 1997, Ruffedge mula dikenali ramai setelah menjuarai pertandingan ‘Sony Battery Face On Talent Search’ pada tahun 1999, kemudian kumpulan ini telah menghasilkan pelbagai lagu hit seperti ‘Bila Rindu’, ‘Khayalan’, ‘Lemas’, ‘Tipah Tertipu’ dan banyak lagi, Ruffedge turut melahirkan 3 album studio dan 2 album kompilasi, selain memenangi anugerah Artis Harapan Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2003, dan pernah menjadi finalis di Anugerah Juara Lagu (AJL) pada tahun 2004.

Bertemakan RUFFERA That Moment In Time, Cat berkata, “Konsert ini bukan sahaja mengimbau kenangan lalu, tetapi bagaimana muzik kami berjaya merentasi masa dan kekal relevan sehingga kini, sesetengah lagu tetap kekal ‘evergreen’ tidak kira bila mendengarnya, terutamanya sekarang dengan susuan muzik yang baharu, anda dapat merasai momen itu.

“Selain itu, konsert ini juga bertujuan mempromosikan album baharu Ruffedge yang bakal keluar tidak lama lagi, dan yang pastinya menyambut baik permintaan para penyokong yang mahukan Ruffedge mengadakan konsert semula.

Bermula pada tahun 2020, ketika negara masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19, YOLO Malaysia dan Ruffedege sudah mula bergabung dalam menganjurkan konsert atas talian dengan sambutan yang memberangsangkan, menurut Ib Harun, Pengasas YOLO Asia, “Hubungan dua hala ini bertitik tolak dari zaman pandemik lagi, kami percaya Ruffedge masih mampu membawakan persembahan yang menarik sukar untuk dilepaskan oleh peminat, dengan lagu-lagu hit mereka dan beberapa lagu baharu, kami sudah bersedia untuk menghiburkan penggemar muzik R&B dan hip-hop dengan siri jelajah konsert ini.


Setakat ini, Ruffedge masih lagi dalam proses membuat persediaan rapi bagi memastikan siri jelajah konsert berjalan dengan lancar, kata Sein, “Kami sedang giat menjalankan latihan di studio demi memberikan kepuasan maksimal buat penonton yang bakal hadir di konsert nanti.

“Dijangka durasi konsert akan berlangsung selama 2 jam dengan nyanyian lagu-lagu hit kami, beserta susunan muzik yang baharu dan lebih segar di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor negara, jadi alami sendiri pengalaman evolusi masa melalui muzik dengan visual khas, dan jangan lupa mendapatkan tiket konsert apabila penjualan mula dibuka.



Bagi yang berminat, tiket-tiket akan mula dijual pada 20 April 2023 untuk penduduk Singapura, maklumat lanjut boleh diperolehi di laman sosial YOLO Malaysia dan Ruffedge serta yoloasia.com.


Ulas Hamka Mohd Taufik, Penerbit Kreatif YOLO Malaysia, “Setiap acara muzik yang dipersembahkan oleh YOLO adalah berbeza dan sangat istimewa, walaupun kami menyediakan artis yang sama, setiap persembahan adalah unik dan tersendiri, dengan sistem bunyi dan penataan cahaya yang berkualiti tinggi, pasti menambah keseronokan persembahan dengan kejutan khas khusus buat mereka yang hadir di konsert, kami berharap agar peminat terus menyokong artis kesukaan mereka kerana melaluinya dapat memastikan industri muzik terus berkembang maju pada masa-masa akan datang.


Comments

Popular posts from this blog

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

FIRETALK 2024 BY NOURUL DEPP KEMBALI SUNTIK MOTIVASI, UBAH MENTALITI