'IBLIS DALAM DARAH' BAKAL MERASUK DI PAWAGAM MALAYSIA MULAI 18 MEI INI


Filem genre seram terbaharu dari Indonesia, “Iblis Dalam Darah”, akan mula menghantui pawagam seluruh negara bermula Mei ini. Filem sulung arahan pengarah Yannie Sukarya ini mengisahkan tentang iblis yang boleh merasuk manusia melalui saluran darah dan menyesatkan mereka untuk melakukan perbuatan yang tidak rasional.


Giat menjadi antara genre yang paling diminati ramai serta sering mendapat sambutan hangat penonton Malaysia, filem seram Iblis Dalam Darah bakal menyajikan penonton dengan babak lonjakan ketakutan (jump scare) yang mendebarkan. Menurut Pengarah Filem Yannie Sukarya, "Saya ingin menghasilkan sebuah filem yang boleh dikaitkan dengan kehidupan seharian. Tanpa kita sedari, syaitan dan iblis boleh merasuk tubuh manusia melalui darah, dan mempengaruhi perlakuan kita. Jadi saya terpanggil untuk mengutarakan kisah ini dalam bentuk sebuah filem.”


Iblis Dalam Darah diterbitkan oleh nama yang tidak asing lagi dalam arena filem seram Indonesia, Penerbit Helroad Production Helfi Kardit. Menurut beliau, filem tersebut menjalani penggambaran di Gunung Salak, di sebuah rumah yang terletak dalam kawasan hutan yang sunyi.

“Lokasi ini dipilih kerana kami ingin menggambarkan kehidupan golongan berpendapatan rendah yang sering dipinggirkan dalam menghadapi masalah. Selain adegan di sekitar kawasan kampung dan hutan Gunung Salak, kami juga membuat penggambaran di kawasan sungai dan gua,” tambah Helfi.

Filem seram berunsurkan agama ini dibintangi oleh barisan pelakon Indonesia, seperti Ryass Randa, Michelle Joan, Cut Ashifa Al’ar, dan Soraya Rasyid. Mengulas mengenai pemilihan pelakon, Yannie berkata bintang utama Ryaas Randa dipilih kerana kemerduan suara beliau ketika membaca al-Quran.


“Pada awalnya, kami sebenarnya sudah mempunyai pilihan untuk watak utama filem ini, namun kami masih tercari-cari pelakon yang mempunyai suara merdu serta boleh mengaji, bersesuaian dengan watak yang dibawa. Akhirnya, kami memilih Ryaas Randa. Barisan pelakon hebat yang ada dalam filem ini memberikan lakonan berkualiti dan kami harap ianya akan menarik penonton untuk menonton filem ini,” kata Yannie.

Berpeluang untuk membintangi filem Iblis Dalam Darah, Ryaas Randa meluahkan rasa bangga. Pelakon lulusan D’Academy ini turut mengaku pernah berasa runsing dengan kemampuan dirinya untuk melakonkan watak yang dibawa.


“Dalam filem ini, ada adegan yang memerlukan saya untuk membaca ayat suci Ruqyah dengan lantang. Pada mulanya, saya risau tidak dapat melakukannya dengan baik. Namun, Alhamdulillah, saya berjaya melakonkan babak ini dan saya amat berpuas hati,” kata Ryaas.

Iblis Dalam Darah akan mula ditayangkan di pawagam pada 18 Mei 2023. Ikuti akaun Facebook dan Instagram mm2 Entertainment Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai filem-filem terbaharu.

Comments

Popular posts from this blog

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI