‘KEMBALILAH’ MERUPAKAN HADIAH ISTIMEWA JACLYN VICTOR KEPADA PEMINAT


Jaclyn Victor yang terserlah dengan vokalnya yang mantap dan padu, kini muncul dengan single terbaharunya iaitu ‘KEMBALILAH’. Lagu istimewa ini ditujukan khas buat peminat setianya yang sentiasa memberi sokongan sepanjang 20 tahun berkecimpung dalam bidang seni. 

Jaclyn begitu teruja apabila dilamar oleh komposer dan penulis lirik kreatif iaitu Gerald Sellan dan Adrian Puan. Menurut Jaclyn, “Mula-mula tu saya memang terkejut apabila Gerald dan Andrian approach saya dan beritahu yang mereka nak saya nyanyikan lagu hasil karya mereka. Kedua mereka ni berada di New York! 

Jadi, saya pun terbang ke sana untuk merealisasikan impian mereka dan juga diri saya sendiri. Semasa proses pembikinan di dalam studio dan menghafal lirik, saya terus jatuh cinta dengan lagu ini. 

Setiap bait lirik lagu ini mempunyai makna yang sangat mendalam. Lagu ‘KEMBALILAH’ ini mempunyai mesej yang kuat iaitu menyentuh tentang iman, harapan, cinta abadi, peluang kedua dan juga kelahiran semula (faith, hope, everlasting love, second chances and re-birth). 

Melodi lagu ini sememangnya mendayu dan penuh bermakna. Bayangkan betapa terujanya saya dapat menyanyikan lagu ini kerana pembikinan lagu ini sahaja memakan masa lebih 10 tahun. Ini yang dinamakan “peluang kedua”. Walaupun mengambil masa yang lama tetapi ia pasti datang dan jangan sekali-kali berputus-asa!” 


Ini turut diakui oleh Gerald Sellan, selaku komposer lagu istimewa ini. “Sejujurnya saya adalah peminat tegar Jaclyn Victor dan percaya dengan bakatnya sebelum Malaysian Idol muncul. Bekerja dengan Jaclyn adalah seolah-olah impian menjadi kenyataan! 

Ketika menulis lirik ‘KEMBALILAH’, suara Jaclyn yang berlegar-legar di dalam kepala saya! Bayangkan betapa minatnya saya dengan vokal beliau. Harapan kami walaupun lagu ini ditulis dalam Bahasa Malaysia, para pendengar dapat menghayati kandungan lirik yang penuh bermakna ini dan sekaligus menangkap emosi pendengar seluruh dunia. 

Saya percaya, bahasa bukan penghalang apabila ianya berkaitan dengan lagu yang asli apatah lagi bila ianya menyentuh emosi pendengar.” 

Jaclyn merupakan bintang legenda dan senang untuk bekerja dengannya. Itu yang diungkapkan oleh Andrian selaku penulis lirik. “Memang bertuah dan seperti satu penghormatan apabila dapat bekerja dengan seseorang yang berkaliber dan dihormati ramai. Bagi saya, tiada siapa yang layak untuk menyanyikan lagu ‘KEMBALILAH’ ini kecuali Jaclyn! Diharapkan lagu ini bukan sahaja menjadi siulan pendengar Malaysia, namun di luar negara juga.” 

‘Kembalilah’ merupakan lagu single pertama hasil Jaclyn sendiri setelah hampir 20 tahun berkecimpung di dalam bidang seni. Inilah salah satu daripada impian Jaclyn ketika mula-mula menjejakkan kaki ke dalam persada muzik. 

Ini merupakan kejayaan terbesar buat dirinya kerana berjaya menghasilkan lagu single pertamanya di bawah naungan syarikatnya sendiri iaitu Rag Doll Records! 

Bermula dari pemilihan lagu, terbang ke New York seorang diri untuk membuat rakaman di studio sahabat baiknya Adrian dan Gerald, perancangan promosi sehinggalah ianya berkumandang di corong-corong radio serta di platform digital. Semuanya adalah hasil titik peluhnya sendiri. 


‘KEMBALILAH’ lagu bergenre pop ballad edaran Believe ini telah dilancarkan di semua platform digital serentak pada 26 Mei 2023 lalu. Lirik muzik video ‘KEMBALILAH’ juga sudah boleh ditonton di laman YouTube, https://www.youtube.com/@Jaclyn_Victor dan muzik video rasmi pula pada Jumaat ini, 2 Jun 2023.


Comments

Popular posts from this blog

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!