HAFIZ HAMIDUN DAN INTEAM BERGABUNG DI DALAM LAGU GAPURA, LAGU NASYID CINTA KEPADA NEGARA


Sempena sambutan Hari Kebangsaan yang akan disambut tidak lama lagi, Hafiz Hamidun dan Inteam telah bergabung di dalam sebuah lagu nasyid patriotik berjudul Gapura.

Makna Gapura

Gapura yang membawa makna gerbang yang besar merupakan simbolik perpaduan dan kecintaan seluruh rakyat kepada negara yang tercinta. Penggunaan kata gapura menjadi lambang kemegahan dan kesyukuran di atas kemerdekaan yang dikecapi selama ini.


Hafiz Hamidun melamar Inteam untuk berkolaborasi

Selaku komposer dan penerbit lagu ini, Hafiz Hamidun sangat berbesar hati kerana dapat bergandingan buat kali pertama bersama Inteam, salah sebuah kumpulan nasyid paling popular di Malaysia.

“Ketika memberikan demo lagu ini kepada Inteam, saya menyerahkan sepenuhnya kepada Inteam untuk menentukan arah tuju lagu ini. Saya sangat terbuka jika Inteam mahu menjadikan lagu ini sebuah lagu cinta, seiring dengan konsep lagu-lagu popular Inteam sebelum ini.

Ternyata, Inteam memilih tema Cintakan Negara. Keterujaan Inteam untuk membawakan lagu bertemakan patriotik menjadikan saya juga bersemangat untuk menghasilkan yang terbaik untuk lagu Gapura”, kata Hafiz Hamidun.

Fedtri Yahya – bermadah untuk negara

Penulis lirik bersama, Fedtri Yahya juga begitu teruja untuk bekerjasama dalam penghasilan bersama lirik lagu ini.

“Saya begitu berbangga dapat menyumbang kepada penulisan lirik Gapura. Keindahan melodi serta alunan muzik yang tersusun rapi menjadikan proses penulisan lirik lagu ini sangat mudah dan sempurna.

Bait-bait kata yang saya pilih adalah ringkas sahaja, kerana tidak mahu menenggelamkan kemegahan tajuk yang dipililh iaitu Gapura” ujar Fedtri Yahya.


Inteam teruja dengan penerbitan bertaraf antarabangsa

Menerusi gandingan ini, Inteam telah menonjolkan kehebatan vokal mereka bersama Hafiz Hamidun. Ia begitu menyerlah melalui alunan suara yang harmoni dan penuh semangat.

“Lebih 20 tahun kami mengenali Hafiz Hamidun, kolaborasi ini menjadikan hasrat kami untuk menyanyikan lagu ciptaan Hafiz telah menjadi kenyataan. Inteam juga begitu teruja apabila dapat bekerjasama dengan pemuzik dari Istanbul untuk iringan muzik Gapura serta penghasilan yang bertaraf antarabangsa.

Harapan kami, kolaborasi ini menjadikan Gapura sebagai sebuah nasyid patriotik yang boleh diangkat bukan sahaja di Malaysia, tetapi ke seluruh dunia”, ujar Hazamin dari Inteam.

Muzik video menggunakan teknologi AI sepenuhnya

Lebih membanggakan, muzik video Gapura menggunakan teknologi kecerdasan buatan atau “Artificial Intelligence” (AI) secara sepenuhnya. Muzik video ini diterbitkan oleh Arteffects dan mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk dihasilkan.

Cabaran utama di dalam penerbitan muzik video menggunakan teknologi AI ialah untuk menghasilkan ‘prompt’ yang benar-benar tepat dan ini berjaya dicapai di dalam muzik video Gapura.

Muzik video ini boleh mula disaksikan mulai 25 Ogos 2023 di platform Youtube.

Lagu Gapura telah mula diedarkan di semua platform digital seperti Apple Music, Spotify, Deezer dan lain-lain lagi. Para peminat boleh mendengarkan Gapura mulai hari ini atau melayari https://hh.lnk.to/gapura untuk pautan kepada semua platform utama.

Gapura diterbitkan oleh Strumhit Entertainment dan Sony Music Entertainment Sdn Bhd.

Comments

Popular posts from this blog

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!