PAMERAN HANYA SATU: ATMA KIRANA HAYATI RUKUN NEGARA DAN WARISAN BUDAYA MALAYSIA


Balai Seni Negara menerusi Pameran Hanya Satu (Single) membawakan karya yang bertajuk 'ATMA KIRANA' oleh Abdul Shakir atau lebih dikenali sebagai Grasshopper bermula pada 9 Ogos 2023 di ruang lobi bangunan Galeri Balai Seni Negara. 

Grasshopper merupakan seorang artis multimedia terkenal di Malaysia yang sering menghasilkan karya seni digital dan interaktif. ATMA KIRANA merupakan sebuah eksplorasi seni yang mendalam dan menekankan rukun negara sebagai subjek utama. 

Atma Kirana diterjemahkan melalui Bahasa kuno Melayu atau Sanskrit sebagai “jiwa yang indah". Ia merupakan koleksi visual digital yang dipersembahkan melalui lima variasi bunga motif berdasarkan prinsip rukun negara iaitu Percaya, Setia, Luhur, Adil dan Baik. 

Karya ini memberi kesan animasi melalui bentuk dan cahaya yang menakjubkan dan dipamerkan menerusi koreografi instalasi daripada 100 panel LED tergantung yang diletakkan dengan teratur untuk membolehkan orang ramai melihat karya ini dari pelbagai sudut pandang dan seterusnya dihayati. 

Selain itu, bagi melahirkan komitmen terhadap kelestarian alam, panel LED yang digunakan bagi pameran ini terdiri daripada panel yang telah dikitar semula daripada papan iklan di sekitar bandar. ATMA KIRANA disokong oleh Yayasan TM (YTM) melalui ‘Digital Tech Incubator Programme (DTI)’. 


ATMA KIRANA turut dijayakan oleh Pixel World, Helio Media, iNYALA, Filamen, PORT Ipoh, Converse Malaysia, dan RUBIX Communications. Dalam pada itu, beberapa program sokongan seperti sesi perkongsian oleh artis serta bengkel bakal diadakan bagi meraikan pameran ini. 

Justeru, seiring dengan sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia yang bakal menjelang, Balai Seni Negara menjemput orang ramai untuk melawat karya seni yang menerapkan nilai dan prinsip rukun negara agar ianya dapat dihayati dan dijadikan amalan dalam kehidupan seharian. 

Pameran ini dibuka kepada orang ramai sehingga 30 Oktober 2023 dan masuk adalah percuma. Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara.

Comments

Popular posts from this blog

PROGRAM FAMTRIP MAJESTIC JOHOR BERSAMA MEDIA SEMPENA VISIT JOHOR 2026 (13 – 16 OKTOBER 2025 /JB – KOTA TINGGI – MERSING)

TEAL ASIA DAN WATSONS MALAYSIA BERGANDING BAHU SEMPENA HARI PENGHAPUSAN KANSER SERVIKS SEDUNIA WHO — GERAKAN HARAPAN, KETABAHAN DAN TINDAKAN

TIKTOK SHOP TINGKATKAN PERLINDUNGAN HARTA INTELEK UNTUK PMKS MENJELANG 11.11, PERTUMBUHAN 200% TAHUN KE TAHUN BAGI JENAMA DI TIKTOK MALL