PERTANDINGAN FILEM PENDEK CANON 2023: MEMPERKASAKAN BAKAT BAHARU PEMBIKIN FILEM


Canon Marketing Malaysia (“Canon”), peneraju industri fotografi dan pengimejan digital buat kali pertamanya mengumumkan penganjuran peraduan “Canon Short Film Contest 2023”. Para pembikin filem dan pencipta kandungan di seluruh negara, sama ada pengguna kamera mahupun telefon pintar dialu-alukan untuk menyertai peraduan ini dan menyerlahkan kemahiran kreatif mereka sebagai sebahagian daripada inisiatif syarikat yang menyokong bakat tempatan dalam industri perfileman secara proaktif.

Canon berusaha untuk memacu industri kreatif rakyat Malaysia dan pertandingan ini memberikan peluang berharga kepada pembikin filem serta pencipta kandungan untuk mengasah kemahiran mereka selain mendapat pendedahan sekali gus dapat memulakan kerjaya mereka. Canon berhasrat untuk memupuk pertumbuhan mampan dalam landskap perfileman Malaysia sambil menyerlahkan potensi kreatif di negara ini dengan adanya sokongan daripada Tourism Malaysia.

Canon Short Film Contest 2023 dengan temanya “Harmony in Diversity" yang bermaksud ‘keharmonian dalam kepelbagaian’ menggalakkan peserta untuk memulakan perjalanan naratif dalam menghargai budaya pelbagai yang ada disekitar kita. Selain itu, pertandingan ini memberi tumpuan terhadap filem pendek yang memaparkan pengalaman luar biasa di Malaysia seperti budaya, kepelbagaian kaum dan destinasi pelancongan: sambil menjadi medium yang memaparkan penceritaan menarik dikendalikan oleh pembikin filem tempatan kita.

Shunji Yoshikai, Presiden dan CEO Canon Marketing Malaysia, berkata, “Kami amat teruja untuk melihat penyertaan video daripada pembikin filem Malaysia baharu di Malaysia yang mencurahkan perspektif 'Harmony in Diversity' mereka melalui penceritaan visual. Canon Short Film Contest 2023 mencerminkan komitmen kami untuk memupuk bakat kreatif tempatan sambil memperkasakan penceritaan visual dalam usaha menyatukan masyarakat serta meraikan keunikan perspektif, budaya dan latar belakang mereka berpaksikan falsafah ‘Kyosei.’”

Dato' Dr. Ammar Abd. Ghapar, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, juga menyatakan hasratnya terhadap inisiatif ini, “Setiap aspek dalam negara ini memiliki keindahan tersendiri. Bermula dengan keajaiban ciptaan manusia hinggalah biodiversiti semula jadi serta percampuran budaya dan warisannya. Malaysia merupakan sebuah negara yang indah bagi mereka yang suka berkarya melalui lensa kamera. Melalui peraduan ini, Tourism Malaysia begitu teruja untuk melihat hasil kreatif para pembikin filem yang berbakat dengan cara masing-masing.”

Panel juri bagi peraduan ini terdiri daripada pakar industri yang terkenal seperti Raja Mukhriz, pengarah terkemuka yang memperoleh pelbagai anugerah sinematografi; Indra Che Muda Redzuan, Pengarah Fotografi yang terulung dengan pelbagai pengiktirafan; dan Chew Han Tah, seorang veteran dalam bidang program TV dan penceritaan. Para juri akan menilai setiap penyerahan demi mencari video yang penuh dengan inspirasi, menyentuh jiwa dan menunjukkan kemahiran teknikal yang luar biasa.

Canon telah bekerjasama dengan Nanlite, SanDisk, Sennheiser dan Zhiyun untuk menawarkan pelbagai ganjaran menarik kepada para pemenang termasuk peralatan videografi yang bernilai lebih daripada RM 200,000 keseluruhannya. Pemenang hadiah utama yang bertuah berpeluang untuk membawa pulang hadiah wang berjumlah RM 50,000. Canon Short Film Contest 2023 ini terbuka kepada setiap penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Penyertaan pertandingan akan diterima dari 1 September 2023 hingga 15 Oktober 2023. Peraduan ini mengalu-alukan penyertaan filem berdurasi tiga hingga sepuluh minit, bebas dirakam melalui mana-mana jenama kamera atau telefon pintar. Terdapat tiga kategori penyertaan – Kamera, Universiti & Kolej (bagi pelajar universiti dan kolej) dan Telefon Pintar. Peserta boleh menyerahkan filem pendek mereka melalui laman web rasmi Canon yang disertakan dengan Terma dan Syarat untuk peraduan ini.

Untuk kemas kini dan maklumat terkini mengenai Canon Short Film Contest 2023, layari https://ylwc.canon.com.my/promotion/151 atau ikuti Canon Marketing Malaysia di Facebook dan Instagram.

Comments

Popular posts from this blog

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!